SURAH “AL-DUKHAN” DAN AKHIR ZAMAN

Menggunakan kaedah asas ( العُدُولَ مِنَ الحَقِيقَةِ إلى المَجازِ لا يَجُوزُ إلّا لِدَلِيلٍ مُنْفَصِلٍ ), Ahmad al-Watari mengembangkan penghujahan al-Imam Fakhruddin al Razi RH dalam tafsirnya, Mafatih al-Ghayb mengenai surah al-Dukhan.

Menurut penulis, al-Dukhan yang dimaksudkan dalam surah al-Dukhan ialah tanda besar Kiamat sebagaimana dijelaskan dalam hadis-hadis fitan.

  1. Penggunaan lafaz فَارْتَقِبْ (nantikanlah) pada ayat 10 dan 59 iaitu perintah “menunggu penuh kesungguhan” (al-Biqaie RH) dari Allah sebanyak dua kali, satu di awal surah dan satu di akhir surah, menjelas dan menegaskan bahawa peristiwa ini bukanlah berlaku pada zaman Nabi SAW, bahkan perlu menanti dan menunggu berlakunya janji Allah itu menjelang Kiamat nanti.
  2. Bersesuaian dengan permulaan surah ini mengenai keagungan al-Quran yang turun pada malam al-Qadar iaitu malam taqdir yang akan berlaku ditulis berdasarkan pengetahuan Allah Yang Maha Sempurna ke atas segala sesuatu, maka sesuailah (tanasub) bicara selepas itu mengenai peristiwa yang bakal terjadi untuk membenarkan apa yang dikhabarkan al-Quran sebagai mengenai masa hadapan.
  3. Fenomena “al-Dukhan” yang menyebabkan kemarau dan kebuluran kaum musyrikin di Makkah berlaku kerana doa Nabi SAW sebagaimana dijelaskan dalam hadis (Sahih Bukhari 1248 dan Muslim 2798 ; اللَّهُمَّ اشْدُدْ وطْأَتَكَ علَى مُضَرَ واجْعَلْهَا عليهم سِنِينَ كَسِنِي يُوسُفَ ). Manakala peristiwa al-Dukhan dalam surah al-Dukhan ialah azab yang kedatangannya dirahsiakan waktunya oleh Allah SWT sehingga Rasul SAW sendiri perlu menunggu dan menanti disebabkan Baginda pun tiada pengetahuan mengenai detik kejadiannya.
  4. al-Dukhan yang dijelaskan surah al-Dukhan mempunyai ciri yang khusus iaitu مُّبِينٍ yang bermaksud keadaan asap tebal yang jelas dan nyata sehingga dapat dilihat oleh seluruh mata-mata manusia penduduk bumi tanpa kesamaran, menutup penglihatan ke arah langit ( يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاء ) sedangkan hadis al-Dukhan pada zaman Nabi SAW lebih dikaitkan dengan kemarau dahsyat, kelaparan dan kesempitan sumber makanan.
  5. Penyebutan النَّاسَ, ditambah pula dengan penyebutan هَذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ menjelaskan keadaannya yang menyakitkan manusia yang amat ramai dan bukan satu kumpulan manusia di sebuah negeri sahaja.
  6. Al-Quran melaporkan sikap manusia menjelang Kiamat yang apabila permohonan mereka agar dihilangkan bencana azab itu diperkenankan Tuhan, mereka kembali kepada kekufuran ( إِنَّكُمْ عَائِدُونَ ) dan pada waktu itulah Kiamat terjadi dan pembalasan yang lebih berat ( الْبَطْشَةَ الْكُبْرَى ) di Neraka Jahannam akan berlaku pada hari Kiamat.

Mengambil pendapat ini, Muhammad al-Sayyid Maadhi menghitung bahawa genaplah dua belas surah dalam al-Quran mengenai Kiamat dengan surah al-Dukhan mengepalainya, iaitu

  1. Al-Dukhan (44)
  2. Al-Waqiah (56)
  3. Al-Taghabun (64)
  4. Al-Haqqah (69)
  5. Al-Qiyamah (75)
  6. Al-Naba’ (78)
  7. Al-Takwir (81)
  8. Al-Infithar (82)
  9. Al-Inshiqaq (84)
  10. Al-Ghashiyah (88)
  11. Al-Zalzalah (99)
  12. Al-Qari’ah (101)

Wallahu a’lam

Syaari Ab Rahman
1 Safar 1443 H

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started