Buat adik-adikku petugas Paradigma Ibrah , Tadabbur Centre , Yayasan Tadabbur dan semua petugas di PBAKL nanti
Di sebalik komitmen padu “menjaga kubu” dan reruai masing-masung, cari dan ciptakan masa untuk capai LIMA FAEDAH lain selain jual buku sepanjang “hari raya” P.E.S.T.A Buku PBAKL 2026.
P — Pengetahuan
Tambah ilmu baru, khususnya mengenai dunia “tadabbur” al-Quran dan kajian-kajian terkini mengenai al-Quran. Balik dari PBAKL nanti, kongsikan sekurang-kurangnya satu buku baru yang ditemui dari luar reruai kita.
E — Engagement
Eratkan hubungan dengan kawan-kawan lama, keluarga, pembaca dan komuniti buku. Siapa insan istimewa yang kita sempat disapa, disantuni dan dihubungkan semula hari ini?
S — Self-enrichment
Perkaya diri dengan buku-buku genre baru di luar bidang kita, sambil menyokong karya penulis lain yang membawa kebaikan pada ummat. Beli atau sekurang-kurangnya belek satu buku luar bidang kita.
T — Temu tokoh
Bertemu tokoh-tokoh yang dijemput dalam acara pentas untuk mengambil inspirasi daripada pengalaman dan kejayaan mereka. Apa satu pelajaran yang boleh kita bawa pulang dari perkongsian tokoh berkenaan ?
A — Analisa
Analisis faktor buku bestseller dan tingkah laku pembeli. Kenapa buku itu laku? Kenapa orang berhenti di satu reruai? Kenapa ada yang beli dan ada yang tidak? Kenapa di sana beratur panjang, tetapi di sini lengang? Jangan hanya menjual. Perhati, catat dan belajar daripada gerak pasaran.
BAGI PENULIS PULA
Seperti saya, sesi “meet and greet” bukan sekadar formaliti kerja seorang penulis di pesta buku.
Niatkan ia sebagai ibadah.
Saya teringat kepada Nabi Yusuf AS yang turun sendiri menyantuni rakyat ketika agihan gandum di musim kemarau berbahaya menimpa Mesir. Inilah waktu kita merasai sedikit makna وَلَمَّا جَهَّزَهُم — bukan sekadar menyedia “gandum” yang dimahukan pengunjung, tetapi bertanya khabar pengalaman hidup para pembaca, kisah mereka bersama al-Quran jika ada, kemudian buatlah kesimpulan dari dapatan pertemuan-pertemuan yang pastinya tidak kebetulan di reruai berkenaan.
Itupun jika masa penulis mengizinkan perbualan itu berlaku.
Moga PBAKL kali ini bukan hanya menjadi pesta jual beli, tetapi medan menyambung hati manusia dengan ilmu Qurani.

#MenjunjungTitahLangit #TadabburPlus #ParadigmaIbrah #TadabburCentre #YayasanTadabbur
Leave a comment