FATIH, HARI INI BELAJARLAH MAKNA “JEMAAH” DARIPADA SEPANYOL

  1. Sepanyol tidak menewaskan Perancis hanya kerana mereka lebih banyak menguasai bola. Mereka menang kerana berjaya mengawal apa yang boleh dilakukan oleh Perancis apabila mendapat bola.
  2. Perancis memiliki penyerang individu yang lebih menggerunkan seperti Mbappé, Dembélé dan Olise. Namun, Sepanyol memiliki sesuatu yang lebih berharga iaitulah hubungan dan persefahaman yang lebih baik antara para pemain.
  3. Bintang-bintang Perancis kelihatan seperti individu yang terpisah-pisah, sedangkan Sepanyol bermain seperti sebuah pasukan elit yang telah berlatih bersama setiap minggu.
  4. Apabila rancangan asal Perancis tidak lagi berfungsi, mereka mula mencari seorang wira. Sepanyol pula terus mencari penyelesaian secara bersama.
  5. Perancis memiliki lebih ramai pemain yang mampu mencipta keajaiban. Namun, Sepanyol membentuk permainan sehingga Perancis memerlukan keajaiban hanya untuk menghasilkan satu peluang yang benar-benar berbahaya.
  6. Yā bunayya, bakat boleh memenangi beberapa detik dalam perlawanan. Namun, persefahaman secara berjemaah mampu menguasai keseluruhan permainan.
  7. Sepanyol tidak menunggu Mbappé menerima bola untuk menghalangnya. Rodri, Fabián Ruiz dan barisan pertahanan terlebih dahulu menutup segala laluan yang boleh membawa bola kepadanya.
  8. Inilah pertahanan yang bijaksana. Jangan sekadar menghentikan orang yang berbahaya. Tutup jalan agar dia langsung tidak berpeluang memasuki permainannya!
  9. Sepanyol juga tidak sibuk mencipta penyelesaian baharu pada setiap masa. Mereka menemui penyelesaian yang tepat, lalu mengulanginya dengan penuh disiplin sehingga Perancis akhirnya runtuh.
  10. Sepanyol melakukan banyak hantaran. Namun, banyaknya hantaran itu bukanlah seni yang sebenar. Seninya terletak pada kebijaksanaan mereka mengetahui bilakah masanya untuk berhenti mengedarkan bola dan mula menembusi pertahanan lawan.
  11. Yā bunayya, sebuah “jemaah” bukanlah sekadar himpunan individu, bintang atau pempengaruh yang hebat. Kekuatan jemaah terletak pada mutu hubungan dan kesatuan gerak antara mereka.
  12. Sebuah bangunan tidak menjadi kukuh hanya kerana setiap batunya kelihatan indah. Bangunan itu menjadi teguh apabila setiap batu berada pada kedudukan yang tepat, memainkan peranannya dan menyokong batu-batu di sisinya.
  13. Itulah umpamanya بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ — bunyānun marṣūṣ, sebuah binaan yang tersusun kukuh.

Abu Muhtadi 😁

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started