
Beberapa nota penting saya bawa pulang daripada sesi tiga jam bersama Ustaz Hasrizal, yang keselamatan sesi ustaz telah dijaga rapi oleh Ustaz Manusiawi Khubaib Akhi 💪😁
- Resolusi terpenting bahawa lafaz Iqra’ — اِقْرَأْ — bukan hanya wahyu pertama kepada Baginda SAW atau lafaz pertama Tuhan kepada manusia, bahkan merupakan “enabler” dalam beragama. Apabila akal difungsikan dengan sebaik-baiknya, seluruh amalan beragama akan menjadi lebih bermakna. Bukankah itu antara matlamatnya? Dua asatizah mengisi makna ini dalam seminggu ini. Minggu lepas, “fanzur maza tara” bersama Dr Akram Nadwi dan surah Ibrahim.
- Pulang daripada sesi “tak sedar tiga jam rupanya” tersebut, saya kembali meneliti “Revival of the IQRA! Principle” (إحياء فاتحة اقرأ) karya Randa Hamwi (2024). Saya beli di Wardah Bookstore, Singapura tahun lepas. Penulis mengembangkan enam dimensi اِقْرَأْ daripada medan makna yang direkodkan oleh ahli bahasa kurun ke-10, Aḥmad ibn Fāris dalam معجم مقاييس في اللغة :
قَرَى: يَدُلُّ عَلَى جَمْعٍ وَاجْتِمَاعٍ، وَمِنْهُ الْقَرْيَةُ؛ الْقَرْنُ: الظَّهْرُ وَمَا يَحْمِلُ؛ الْقَرْوُ: الْقَصْدُ؛ الْقَارِئَةُ: الشَّاهِدُ؛ الْقَرْءُ: الْوَقْتُ؛ الْقِرَى: الضِّيَافَةُ.
- Daripada medan makna tersebut, Randa Hamwi mengembangkan اِقْرَأْ sebagai enam tuntutan kehidupan. Pertama, menghimpun — جَمْعٌ وَاجْتِمَاعٌ. “Membaca” bermula dengan menghimpunkan maklumat, pengalaman dan tanda-tanda daripada diri serta alam sekeliling. Namun, kita perlu menapis apa yang dihimpunkan agar tidak sekadar meniru atau terpengaruh.
- Kedua, memikul — حَمْلٌ وَتَحَمُّلٌ. Apa yang diperoleh selepas “membaca” mesti dipikul sebagai amanah. Ilmu bukan sekadar menambah maklumat, tetapi melahirkan tanggungjawab terhadap pilihan dan tindakan.
- Ketiga, menimbang dan menetapkan arah — قَصْدٌ وَعَزْمٌ. Ilmu yang diperoleh selepas “membaca” perlu dipertimbangkan sebelum seseorang membuat keputusan dan bergerak menuju tujuan. Pembacaan yang sebenar memberikan arah, bukan sekadar memenuhi fikiran.
- Keempat, menjadi saksi — شُهُودٌ وَشَهَادَةٌ. Perbuatan seseorang pembaca mesti menjadi kesaksian terhadap apa yang diyakininya. Hidupnya sendiri menjadi bukti kepada hasil pembacaannya.
- Kelima, bertindak pada waktunya — الْوَقْتُ وَالْآنُ. Pengetahuan daripada “membaca” mesti diterjemahkan kepada tindakan pada waktu yang tepat. اِقْرَأْ tidak membenarkan kita terus menangguhkan perubahan kepada masa hadapan yang belum pasti.
- Keenam dan terakhir, melayani dan berkongsi — الْقِرَى وَالضِّيَافَةُ. Kemuncak “membaca” ialah menghidangkan manfaat. الْقِرَى bermaksud layanan atau hidangan kepada tetamu. Seorang pembaca mesti berkongsi yang terbaik daripada ilmu, pengalaman dan kesedaran yang telah dihimpunkannya.
- Kembali kepada sesi bersama UHAJ. Tidak pernah saya tidak sebak apabila pulang daripada sesi bersama Ustaz Hasrizal. Sebak kerana kisah-kisah “titik terendah” dalam kehidupan ustaz ketika berada di tanah air dahulu yang dapat saya rasai dan fahami, kerana pernah melaluinya, walaupun sedikit berbanding struggle sebenar ustaz.
- Maafkan saya dan isteri, ustaz, kerana tidak sempat bertemu dan bertanya khabar selepas sesi selesai. Maafkan juga daku puan isteri Nurul Suhadah Shuib kerana hasratmu untuk mendapatkan tandatangan pada buku ustaz – yang telah selesai dibacanya – tidak kesampaian. Murid-murid ustaz yang beratur agak panjang, merekalah yang lebih wajar diutamakan.
- Lafaz al-jāhiliyyah al-ūlā — الْجَاهِلِيَّةُ الْأُولَىٰ — dalam Surah al-Aḥzāb, ayat 33, apabila dilafazkan sendiri oleh al-Quran, sama seperti lafaz al-ḥashr al-awwal — لأول الحشر — dalam Surah al-Ḥashr, ayat 2, sudah cukup memberikan isyarat yang menggerunkan tentang kemungkinan berulangnya sesuatu peristiwa dalam sejarah.
فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الْأَبْصَارِ
- Saya ingin melengkapkan dapatan ustaz dengan satu sudut tafsiran daripada Amin Ahsan Islahi pada ayat berkenaan. Lafaz al-ūlā — الْأُولَىٰ — memberikan isyarat halus bahawa zaman Jahiliyyah telah berakhir dengan kedatangan Islam itu sendiri. Islam, yang asas pembinaannya bermula dengan lafaz Iqra’ — اِقْرَأْ — telah melemahkan akar budaya Jahiliyyah. Maka, sesiapa yang masih berharap budaya tersebut dapat dihidupkan semula atas nama “agama” – seperti tabarruj wanita itu sendiri – sebenarnya sedang hidup dalam khayalan. Ia takkan berlaku kerana Islam dan jahiliyyah tak duduk bersama.
- Dalam tafsir Maḥāsin al-Ta’wīl, al-Qāsimī pula menambah refleksinya berikut: الْجَاهِلِيَّةُ الْأُولَىٰ جَاهِلِيَّةُ الْكُفْرِ قَبْلَ الْإِسْلَامِ، وَالْجَاهِلِيَّةُ الْأُخْرَىٰ جَاهِلِيَّةُ الْفُسُوقِ وَالْفُجُورِ فِي الْإِسْلَامِ. Maksudnya, Jahiliah pertama ialah Jahiliah kekufuran sebelum Islam, sedangkan “Jahiliah yang kemudian” boleh muncul dalam kalangan umat Islam dalam bentuk kefasikan, kefajiran dan pengulangan akhlak Jahiliah. Deep !
- Pesan buat diri. Jangan berbangga kerana telah menulis banyak buku. Masuklah sebentar ke dunia akademik untuk menilai semula: “Apakah sebenarnya yang telah aku tuliskan kepada masyarakat?” Inilah اِقْرَأْ bagi seorang asatizah dan agamemnon seperti aku.
- Kebodohan boleh menjelma bukan sahaja dalam bentuk individu, bahkan secara sistemik. Seseorang — termasuk diriku sendiri — boleh terperangkap dalam ekosistem السُّفَهَاءِ berkenaan. عِيَاذًا بِاللَّهِ!
- Sentiasalah menyemak kemajuan dan “growth” pembaca atau pelajar yang “loyal” belajar daripada kita. Tanda kematangan mereka ialah apabila mereka mampu memberikan pandangan yang berbeza daripada apa yang kita utarakan, bahkan berani mengkritiknya.
- Semoga ustaz dipermudahkan urusan menyambung pengajian PhD di Ireland. Kami di sini tumpang bangga, terinspirasi dan mendoakan kejayaan ustaz pada peringkat yang lebih tinggi di sana. Moga Allah terus memilh ustaz untuk membuktikan makna وَمَا تَغِيضُ ٱلْأَرْحَامُ وَمَا تَزْدَادُ ۖ, bahawa setiap sesuatu keterbatasan dalam diri atau sesuatu yang disempitkan laluannya oleh Tuhan, hakikatnya menandakan ada sesuatu yang lain sedang dibuka luas oleh Tuhan pada waktu yang sama.
- Semoga Allah menyembuhkan abang ustaz atau mengurniakan keampunan kepada beliau.
Fi amanillah ustazna
Syaari Ab Rahman
Yayasan Tadabbur
Leave a comment