MEMAKNAI “AYAT PERKAHWINAN” DALAM AL-QURAN

  1. Min anfusikum” bukan sekadar pasangan daripada jenis kamu, tetapi pasangan yang membantu kamu menjadi manusia yang lebih penuh dan lebih manusiawi.

Ungkapan ini membawa makna bahawa pasangan itu sangat dekat dengan fitrah diri kita. Kehadiran seorang lagi bukan sekadar melengkapkan hidup dari sudut luaran, tetapi membantu seseorang menjadi lebih lembut, matang, penyayang, bertanggungjawab dan beradab. Ertinya, perkahwinan dalam ayat ini bukan hanya soal “ada teman”, tetapi proses menjadikan manusia lebih benar-benar manusia, iaitulah “khalifah”.

  1. Sakinah ialah matlamat, manakala mawaddah dan rahmah ialah jalan untuk sampai kepadanya — dan pandangan al-Qurtubi sangat membantu membezakan kedua-duanya.

Sakinah ialah keadaan hubungan yang tenang dan ekosistem yang selamat. Mawaddah pula ialah kasih yang hangat, tertarik, romantik dan dizahirkan. Rahmah ialah kasih yang matang, melindungi, sabar dan sanggup berkorban.

  1. “Litaskunū ilaihā” datang dalam rasa fi‘il mudhari’, seolah-olah memberi isyarat bahawa sakinah bukan sesuatu yang siap sekali, tetapi perlu sentiasa dibina dan diperbaharui.

Ketenangan rumah tangga bukan sijil automatik selepas akad. Ia kerja berterusan. Ia perlu diperbaharui dengan komunikasi, rasa selamat, keinginan untuk pulang kepada rumah, dan kebolehan untuk kembali reda selepas penat bergerak dalam hidup. Sebab itu sakinah bukan sekadar “tidak bercerai”, tetapi benar-benar rasa tenteram bila bersama. Inilah support system yang mesti terus hidup.

  1. “Yatafakkarun” di hujung ayat mengajar kita supaya mengubah cara memandang majlis kahwin, pasangan suami isteri dan kisah-kisah nikah cerai dalam sesebuah rumah tangga.

Ayat ini tidak ditutup dengan hukum, tetapi dengan seruan untuk berfikir. Maksudnya, al-Quran mahu kita berhenti melihat perkahwinan secara cetek. Jangan pandang kahwin hanya sebagai acara, pelamin, foto dan adat. Jangan pandang pasangan suami isteri hanya sebagai dua orang yang tinggal serumah. Jangan pandang kisah rumah tangga sekadar bahan cerita dan gosip.

Sebaliknya, renungkan bagaimana dua insan dari dua planet berbeza, tiba-tiba boleh menjadi tempat pulang jiwa yang sama, lalu lahir antara mereka mawaddah dan rahmah. Itu sebab ayat ini ditutup dengan yatafakkarun.

  1. Ayat perkahwinan dalam Surah al-Rum menunjukkan bahawa kebangkitan umat bermula dari rumah, bukan terus dari medan kuasa.

Dalam rangkaian tujuh ayat wa min ayatihi, susunannya bergerak daripada diri sendiri, kemudian pasangan, kemudian masyarakat yang lebih luas. Ini memberi isyarat bahawa pembentukan umat dan kebangkitan tidak bermula terus dengan politik atau peperangan, tetapi dengan pembinaan manusia dan rumah tangga yang stabil.

Sebab itu ayat kahwin diletakkan dalam surah yang bercakap tentang Rom dan Parsi, agar sesiapa yang mahu mengurus dunia, dia mesti terlebih dahulu belajar mengurus rumah.

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ٢١

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (30:21)

Barakallah fikum

Bertemu selebihnya pada hari Ahad ini

Syaari Ab Rahman
Tadabbur Centre

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started