Naratif awal final ialah Messi melawan Lamine Yamal iaitu legenda berusia 39 tahun melawan pewaris yang “dimandikan” berusia 19 tahun.
Tetapi final tidak ditentukan oleh salah seorang daripada mereka. Akhirnya ia ditentukan oleh Rodri, Porro, Nico Williams, Ferran Torres, tekanan kolektif dan disiplin posisi.
Itulah kesempurnaan Spain. Mereka mempunyai bintang, tetapi tidak meminta sistem berlutut kepada bintang.
Bahkan Rodri akhirnya boleh digantikan oleh Zubimendi tanpa menyebabkan pasukan kehilangan bentuk.
Sebagaimana terserlah ketika melawan Mesir dan England, Argentina memang pakar dalam mencipta “comeback”, tetapi Spain lebih mahir menghapuskan keadaan yang membolehkan kebangkitan berlaku.
Argentina pula terlalu bergantung kepada Messi sebagai pusat kreativiti. Apabila Spain menutup saluran kepadanya, serangan Argentina hampir terputus sepenuhnya.
Terhadap France, Spain tidak memberi Mbappé ruang untuk berlari dalam situasi transisi.
Terhadap Argentina, prinsipnya sama tetapi sasarannya berbeza. Spain menutup lorong hantaran kepada Messi.
Messi hanya mendapat 54 sentuhan dalam perlawanan yang berlangsung lebih 120 minit. Spain tidak perlu “mengalahkan Messi” setiap kali dia menerima bola. Mereka memastikan dia jarang menerima bola dalam keadaan berbahaya.
Lalu kita belajar sesuatu. Jangan hanya menyerang individu yang menjadi ancaman. Fahami dan putuskan sistem yang menyokong individu tersebut.
Luis De la Fuente tidak perlu menjadi tokoh dramatik di tepi padang. Kepimpinannya terlihat melalui ketenangan dan kesediaan membina sistem sehingga pemain simpanan pun bersedia menjadi penyelesai.
Tidak tepat mengatakan Spain menang hanya kerana Argentina bermain dengan sepuluh orang. Sebelum kad merah lagi, Spain sudah mendominasi bola, wilayah dan peluang, sedangkan Argentina belum melakukan satu percubaan pun.
Jika Spain itu mahu dilihat menawarkan sesuatu ibrah kepada misi pembebasan tanah Zaitun, ibrahnya umat tidak boleh bergantung pada ledakan emosi besar-besaran atau seorang tokoh penyelamat diturunkan dari langit.
Ia mesti menjadi bunyān marṣūṣ iaitu gerakan tersusun yang istiqamah, setiap pihak mengetahui peranannya.
Syaari Ab Rahman
Yayasan Tadabbur
Leave a comment