RESENSI BUKU: SENI BERFIKIR YANG HILANG

Beberapa Mutiara Berharga Dari “Seni Berfikir Yang Hilang”

  • Walau apa pun isu yang kita bincangkan, ingatlah bahawa kita perlu bertindak “beyond the current issue“. Kita tidak terikat dengan isu semasa, malah kita perlu mengatasinya kerana kita mahu berbincang tentang ilmu. (Halaman 16-17)

  • Jangan biarkan Islam ‘mati’ apabila ia sampai kepada kita. Jika kita tidak menyebarkannya, orang di sekeliling kita tidak dapat mengenali Islam. (Halaman 23)

  • Akhlak itu bukan lalang. Lalang tak memerlukan ladang semak, hanya perlukan tanah. Biarkan saja tanah kosong dan ia akan tumbuh. Akhlak ialah buah yang dipetik daripada pokok. Ada pokok spesifik yang perlu ditanam dan ada baja tertentu yang perlu diberi supaya buahnya boleh dipetik. (Halaman 29)

  • Kalau dakwah dijadikan pendorong untuk kita belajar, dengan sendirinya akan ada peningkatan dalam pembelajaran kita. Kerana audiens dakwah kita akan mula berkembang daripada satu segmen masyarakat ke satu segmen yang lain pula dalam komuniti yang lebih luas. Semakin berkembang ia, semakin banyak jugalah ragam dan perangainya. Semua itu menyebabkan tuntutan menjadi lebih berat. Oleh itu, lebih banyak pula yang kita perlu tahu tentang Islam. (Halaman 37)

  • Manusia yang kehilangan al-Quran seperti mayat hidup. Dia hidup tetapi hidupnya hilang makna. Apabila dia kehilangan al-Quran, dia meraba dalam kegelapan walaupun duduk di bawah sinaran matahari musim panas di padang pasir Sahara. Terang, tetapi buta. (Halaman 42)

  • Al-Quran ini setelah 1000 tahun pun tak habis lagi dikaji, tetapi ia sangat mudah untuk sesiapa pun yang mahu memahaminya. Semua orang ada akses kepada al-Quran. Baca bertatih pun dapat kebaikan. Lancar membaca pun dapat kebaikan. Ia meraikan semua tahap manusia. Mudahnya al-Quran, tidak bererti kita boleh memudah-mudahkan ia. (Halaman 54)

  • Apabila kita membaca tafsir, janganlah tenggelam dalam perbahasan yang sangat bercabang. Biarkan orang yang mengkaji aspek bahasa al-Quran mengkaji sejauh itu. Bagi kita para pendakwah, jangan terlarut begitu jauh. Fokuskan pada bahagian yang sifatnya membantu kita memahami kehendak ayat-ayat tertentu. Kekalkan fokus pada apa yang sepatutnya. Memahami ayat untuk membantu diri sendiri dan orang lain. (Halaman 69)

  • Adalah sikap tidak bertanggungjawab apabila merujuk dan merasakan bahawa asalkan apa yang nak dikatakan itu ada rujukan, maka ia dihukum sahih belaka. Ini adalah sikap yang tidak layak bagi pendakwah apabila ia tidak bertanggungjawab dengan apa yang dikata. Mudah sahaja menuding. “Itu bukan kenyataan saya. Saya hanya merujuk sahaja.” (Halaman 85)

  • Sejarah meluaskan horizon fikiran dalam memahami “sunnatullah”. Satu ayat al-Quran mengenai infaq, apabila disingkap dari aspek sejarah, maka kita akan bertanya sejak bilakah ayat ini diturunkan ? Ertinya, ayat ini telah wujud dalam kehidupan manusia selama 1400 tahun. Dalam tempoh 1400 tahun itu, mereka membaca ayat yang sama. Apakah yang mereka hasilkan dari ayat infaq berkenaan ? Dengan membaca sejarah dan memahaminya, kita bukan sekadar membahas persoalan hukum infaq yang wujud dalam teks semata-mata. Apa telah berlaku kepada umat Islam terdahulu dengan turunnya ayat berkenaan ? Dalam dokumen-dokumen “al-Waqfiat”, ayat infaq seperti ayat 195 surah al-Baqarah paling banyak ditemui. Ia melahirkan Daulah Uthmaniyyah, sebuah kerajaan yang berumur 600 tahun yang satu pertiga dari ekonominya terbina atas sumbangan wakaf. Bahkan, zaman Uthmaniyyah tidak hanya menekankan aspek infaq dan waqaf, tetapi juga memperelok hal ehwal waqaf kerana ayat 195 itu menyebut “wa ahsinuu”. (Halaman 103 dan halaman 115-117)

  • Dengan membaca sejarah, ayat wudhuk, tayamum dan mandi wajib tidak sekadar perbincangam fiqah semata-mata. Ayat inilah yang telah membentuk tamadun umat Islam yang kita kenal sekarang. Ternyata ayat itu adalah ayat yang merevolusi. Satu ayat revolusi yang mengubah pandangan manusia kepada kebersihan. Kebersihan bukan sekadar mengutip sampah di tepi-tepi jalan, tetapi kebersihan yang membabitkan pembangunan tamadun. (Halaman 104)

  • Apabila membaca kitab sejarah, bukan semua perkara dalam kitab itu benar. Sebaliknya kita perlu menyaring dengan disiplin ilmu. Salah satunya dengan membaca muka surat pendahuluan. (Halaman 170)

  • Syekh Yusuf al-Qaradhawi mengajar kita, sekiranya mahu memahami psikologi, jangan ikut beliau kerana beliau bukan pakar psikologi. Beliau cuba memberitahu kita bahawa ilmu psikologi amat penting. Jika anda mahu mendalami psikologi, dengar nasihat pakar psikologi. Harus dihormati kepakaran ahli-ahli dalam bidang masing-masing. Listen to the specialist ! (Halaman 199)

  • Falsafah paling tinggi ialah, otak yang paling pandai itu, saat bersolaf akan diletak di bawah untuk sujud di hadapan Tuhan. Malanglah jika semakin kamu berfalsafah, semakin kamu mendongak ke langit sedangkan kentutnya masih berbau busuk.” (Halaman 202)

  • Syekh al-Qaradhawi membaca buku psikologi popular Dale Carnegie pada tahun 1975 kerana kertas kerja ini dibentangkan 1976. Pada hemat saya, ia adalah sesuatu yang agak terkehadapan pada masa tersebut. Lebih-lebih lagi untuk seorang Syekh dan ustaz (halaman 204)

  • Betapa banyak gerakan-gerakan Islam atas nama wehdatul fikr (kesatuan fikiran) ia telah menyekat proses berfikir anggotanya dalam kaderisasi. Apabila kita menggerakkan proses pembinaan kader dalam dakwah, kita menghalakan manusia secara berjemaah untuk menjayakan dakwah, tetapi saranan untuk berfikir secara individu tidak boleh diabaikan. Jemaah perlu mencari jalan untuk mencungkil buah fikiran setiap individu supaya cenderung untuk berfikir, bukan melarutkan anggota jemaah sehingga tenggelam tidak berfikir. (Halaman 206)

  • Kita tidak perlu “berkhutbah” untuk menjual sesuatu produk. Ada cara tertentu untuk menghasilkan iklan yang baik. Perlulah belajar psikologi. Kesan tidak memahami psikologi, banyaklah lahir perkara mengarut yang terhasil dari tangan manusia. Para pendakwah yang tidak mendalami ilmu psikologi, kemungkinan akan menggunakan bahasa-bahasa sarkastik. (Halaman 214)

  • Orang yang lari dari mengkaji pemikiran semasa itu samalah seperti orang yang lari dari medan perang fizikal. Semua agamawan dan pendakwah mesti memahami apakah pemikiran semasa yang menyerang masyarakat kita. (Halaman 223)

  • Kurangkanlah menyalahkan takdir dalam berdakwah dan menganggap ujian Tuhan sebagai punca kegagalan dakwah kita. Halakan tudingan jari kepada diri kita sendiri yang barangkali kurang memahami realiti masyarakat, negara dan dunia lalu memilih cara berdakwah yang tidak saintifik. (Halaman 259)

Untuk makluman, karya ini berusaha menjelaskan kepentingan enam ilmu kepada pendakwah. Naskhah asal yang boleh dirujuk ialah Thaqafah al-Daiyah karangan Shekh Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi. Ia dibentangkan Shekh di sebuah persidangan antarabangsa di Madinah pada 1976.

Namun, ternyata isi kandungan kitab itu masih releven !

Terima kasih ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang berada jauh di Finland.

Tahniah IMAN Publication atas penerbitan karya yang membumikan Thaqafah Daiyah berkenaan dan merangsang saya untuk merujuk dan membaca karya asal Shekh inshaallah.

“Buku ini mengandungi kerangka yang berkhasiat untuk merawat kejuzukan minda umat Islam akibat sistem pendidikan yang mengkelas-kelaskan murid mengikut aliran sejak sekian lama. Implikasinya, kita gagal menghormati batas keupayaan diri sendiri, lalu membabitkan diri dengan perkara-perkara yang kita tiada ilmu mengenainya. Tanpa ilmu, kita menjadi seperti tikus membaiki labu.” (Halaman 7)

Wallahu a’lam

Syaari Ab Rahman
Ulasan buku sempena 13 Ramadhan (sepatutnya)
5 Syawal 1441 H
Bangi

#SBYH #seniberfikiryanghilang

One thought on “RESENSI BUKU: SENI BERFIKIR YANG HILANG

Add yours

Leave a reply to Kak Iman Cancel reply

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started