MENGENAI TEKNIK BUKA AL-QURAN SECARA “RANDOM” UNTUK DAPAT JAWAPAN PADA PERMASALAHAN KEHIDUPAN

Tiada masalah buka al-Quran secara “random” jika yang diniatkan ialah membaca untuk mendapat pahala. Satu huruf 10 kebaikan meskipun tidak mampu difahami atau ditadabburi setiap ayat-ayatnya.

Tiada masalah buka al-Quran secara “random” jika niatnya untuk ambil peringatan dan motivasi dari mana-mana ayat al-Quran. Tadabbur peribadi seperti ini, saya pun kekadang melakukannya tanpa mengambil kira halaman mana. Bersedia menundukkan dirinya di hadapan al-Quran dan bukan menundukkan al-Quran pada diri sendiri.

Samalah seperti menjadi imam. Tiada masalah memilih mana-mana ayat al-Quran untuk dibaca sebagai peringatan dan tadabbur untuk diri dan makmum bersama.

Namun, akan jadi masalah bila al-Quran dibuka secara “random” dengan keyakinan “Allah akan beri jawapan ‘direct’ kepada masalah aku hadapi”. Lebih bermasalah lagi apabila keyakinan itu dijelmakan sebagai “teknik” lalu diajarkan kepada masyarakat awam seperti “teknik bercakap dengan Allah dahulu”, “deal dengan Allah”, “tanya direct dengan Allah”. Seolah-olah, “now everyone can be Moses”.

Kalau nak “jawapan” Allah lebih tepat, dikatakan perlu “feeling” lebih sikit agar halaman yang terbuka lebih tepat dengan permasalahan. Lalu diamalkan pengikut-pengikut dengan tanggapan semua ayat Allah yang “random” itulah pengajarannya sangat “direct” kepada kita. Seolah-olah, semua ayat-ayat Allah SWT boleh difahami secara “direct” tanpa perlu bertanya sesiapa termasuk para ulama.

Sesungguhnya tidak semua ayat-ayat al-Quran wajar “diperlakukan” sedemikian. Dalam ilmu tafsir, kita diajar memang ada ayat-ayat Allah SWT yang jelas makna dan pengajarannya. Itu salah satu bentuk Allah memudahkan al-Quran untuk dijadikan peringatan orang awam dan diamalkan dalam kehidupan seharian. (Al-Qamar, : 17, 22, 32, 40)

Juzuk Amma antara juzuk yang banyak surah-surahnya ringkas, mudah faham dan jelas pengajarannya. Seperti ayat 1 surah al-Humazah. Dengan membelek terjemahan yang sahih, masyarakat awam boleh terus beramal dengan ayat berkenaan iaitu meninggalkan perbuatan mencaci dan mengeji.

Namun demikian, tidak semua ayat-ayat al-Quran boleh difahami pengajarannya dengan mudah atau sekadar bergantung dengan terjemahan. Ibnu Abbas RA telah membahagikan ayat-ayat al-Quran kepada empat kategori. Salah satu kategori itu ialah ayat-ayat yang memerlukan ulama tafsir الراسخون في العلم menjelaskan.

Kenapa ada ayat kena rujuk kitab tafsir atau ulama tafsir? Kerana ayat yang dibuka secara “random” itu barangkali ada yang memerlukan penjelasan dari ayat sebelumnya agar difahami konteks dan maksud sebenar, atau memerlukan pencerahan dari hadis-hadis Nabi SAW atau athar para Sahabah, atau memerlukan pencerahan dari suasana penurunan surah atau ayat berkenaan sama ada sebelum atau selepas hijrah, dan segala macam bentuk penjelasan yang dibahaskan dalam Ulum al-Quran.

Dengan kaedah-kaedah tafsir yang dibahas dalam Ulum al-Quran, maka selamatlah seseorang berjalan di atas ayat-ayat yang tidak jelas maknanya atau pengajarannya. Ini kerana ilmu ini dibangunkan para ulama zaman berzaman kerana mengambilkira banyaknya kesalahan dalam tafsir yang telah berlaku zaman berzaman. Saya tidaklah maksudkan semua ayat memerlukan disiplin tafsir yang mendalam. Tetapi pengamal teknik “random” perlu akui adanya ayat-ayat perlu ditekuni dengan disiplin tafsir dan Ulum al-Quran.

Ambil contoh pertama. Seseorang yang sudah lama menghadapi masalah rumahtangga. Lalu dia mengamalkan teknik buka al-Quran “random”. Didapati jari telunjuk menunjuk ke arah ayat-ayat hukum seperti surah al-Nisa, 4 : 34. Lalu dia menampar wajah isterinya dengan keyakinan itulah “jawapan” Allah ! Atau dia terbuka surah al-Tahrim, 66 : 5, lalu dia ceraikan isterinya kerana meyakini itulah “jawapan” Allah kepadanya, difahaminya ayat isyarat Allah akan gantikannya dengan isteri yang lebih baik !

Ambil contoh kedua. Seorang anak perempuan pulang ke rumah ibubapanya. Dia tertekan kerana suaminya tidak menunaikan nafkah dan sudah ada bibit-bibit curang. Dalam hati sudah terlintas mahu meminta cerai. Tiba-tiba ibunya mengamalkan teknik “random”. Didapati halaman yang terbuka ialah surah al-Qasas, 28 : 13. Lalu ibunya, meyakini “jawapan” dari Allah tadi, menyatakan pulang kepada suami itu lebih baik sebagaimana kepulangan semula bayi Musa kepada ibunya !

Ambil contoh ketiga. Seseorang menghadapi masalah kewangan, hidup bujang hutang keliling pinggang. Lalu dia mengamalkan teknik buka al-Quran secara “random”, halaman yang ditakdirkan terbuka selepas proses “feeling” yang mendalam ialah halaman 37 mushaf al-Quran. Nah, ayat yang muncul mengenai perceraian dan penyusuan. Nak kait bagaimana ?

Bukankah kegagalan mengaitkan ayat “random” dengan masalah hidup yang dihadapi boleh menambah stress? Mukasurat yang terbuka, jari menunjuk ke arah satu ayat, didapati tiada kena mengena dengan masalah hidup, lalu dalam hati “Tuhan seperti tidak faham masalah aku nampaknya”. Astaghfirullah.

Hari ini kita hidup di zaman semua perkara mahu segera. Sehingga dalam berdoa, kita pun mahu “jawapan” segera dari Allah SWT menerusi teknik buka al-Quran “random” ini. Bukankah makanan “segera” itu tidak selamanya menyihatkan ?

Kekadang kita terlupa setiap masalah yang menimpa kita, ia ujian dari Allah. Dia menguji kita adakah kita suka berdoa kepadanya atau tidak. Bosankah kita berdoa kepadanya? Di mana akhlak Nabi Zakariya yang sangat sabar dan tidak pernah bosan berdoa memohon zuriat dari Allah SWT ? وَلَمْ أَكُن بِدُعَائِكَ رَبِّ شَقِيًّا

Bosan akan datang apabila tidak kelihatan jawapan segera atau berbentuk fizikal, bertulis dari Tuhan. Lalu mushaf al-Quran itulah yang dianggap kertas-kertas dari langit yang diturunkan kepada pengamal teknik “random”, diletak dan dirapatkan ke dada agar kononnya dikurniakan jawapan dari Allah.

Lupakah kita surah al-Kahfi ambil masa lima belas malam sebelum diturunkan? Lupakah kita bahawa surah al-Nur tidaklah segera diturunkan membersihkan Aisyah RA dari fitnah hadis al-Ifki? Bukankah lebih baik diturunkan segera agar Rasulullah SAW tidak menderita jiwanya. Kita terlupa lambat turun “jawapan Allah” itu ada hikmah yang besar . لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ

Kekadang kita nak “jawapan” segera dari Allah SWT menggunakan teknik buka al-Quran “random” ini. Kita terlupa dosa kita masih bertimbun tanpa istighfar. Kita buka al-Quran secara “random” untuk minta jawapan, kita terlupa istighfar itu sendiri kunci penting membuka khazanah rezeqi dan jawapan dari Allah SWT (Nuh 71 : 10-11).

Kita terlupa, bahawa tiada istighfar itulah yang menghalang kita dari mendapat syifa’, rahmat dan cahaya dari al-Quran sehingga kita tidak pun merujuk ayat-ayat yang sepatutnya, tetapi seperti membaling dadu untuk membuka al-Quran secara “random”.

Kita terlupa bahawa yang disunnahkan ialah istikharah. Istikharah bukan sekadar untuk menghadirkan keyakinan pada salah satu pilihan yang akan dibuat, tetapi menghadirkan tawakkal yang sebenar-benarnya pada apa jua kekurangan bakal berlaku dengan pilihan yang telah tekad dilakukan.

Betapa banyak “teknik-teknik” yang didakwa mujarab sedangkan ia mungkin berkesan pada satu orang, tidak kepada selainnya, berkesan pada satu hari, tidak berkesan pada hari selanjutnya. Lalu kenapa dinamakan “teknik” kalau tidak terjamin kejayaan melakukannya ?

Allah SWT sendiri tidak “random” menurunkan al-Quran pada Nabi-Nya. Allah SWT memilih surah atau ayat-ayat yang benar-benar menjadi شفاء iaitu penawar, هدى iaitu petunjuk dan تسلية iaitu motivasi kepada Baginda SAW sepanjang di Makkah atau di Madinah.

Pernahkah berlaku Nabi SAW ditanya oleh Quraish mengenai Zulqarnain, ayat yang diturunkan mengenai Luqman ? Pernahkah berlaku Nabi SAW berdarah di Taif, ayat yang diturunkan perintah berjihad ? Kerana itulah al-Quran mengambil masa yang lama iaitu 23 tahun.

Marilah beradab dengan al-Quran sebelum membukanya. Bebaskan kepala kita terlebih dahulu dari apa-apa “masalah” dunia sebelum buka al-Quran. Bukalah al-Quran dengan keyakinan Allah SWT akan beritahu masalah lebih besar dan lebih utama dari semua masalah-masalah itu. Dan kita telah lama lupa dan alpa pada masalah lebih besar dan lebih utama itu.

Kita kena yakin kalam Allah SWT, Al-Quran tegas dan jelas pada memberi peringatan. Al-Quran ini bertindak seakan-akan Nabi Yusuf AS yang melihat ada masalah lebih besar dan lebih utama dari masalah takbir mimpi yang diajukan dua rakan sepenjaranya itu. Berhentilah mengharapkan jawapan “segera” dari Allah. Dia Mengetahui masalah kita memang banyak, tetapi Dia juga Maha Mengetahui mengenai ibu segala masalah, yang kita alpakan ubatnya dan solusinya.

Sebagai penutup, antara sebab isti’azah diperintahkan (al-Nahl 16 : 98) sebelum kita membuka al-Quran kerana adanya gangguan Syaitan dalam bentuk bukan salah bacaan, tetapi salah tafsiran. Salah tafsiran, salahlah tadabburan.

Dunia tafsir membuktikan ulama Syiah menulis tafsir, ulama Muktazilah menulis tafsir, ulama Batiniah menulis tafsir, ulama Zahiriah menulis tafsir dan pelbagai ajaran sesat pun ada ulama masing-masing menulis tafsir, bahkan ada yang lengkap 30 juzuk. Berhati-hatilah teman.

Semoga Allah SWT terus membimbing kita kembali kepada-Nya dengan jalan yang betul ditinggalkan Nabi SAW dan dipraktikkan sebaik-baik generasi al-Quran terdahulu.

Wallahu a’lam.

‎والله الموفق للصواب، وإليه المرجع والمآب

Syaari Ab Rahman
7 Jamadil Akhir 1441 H
Bangi

4 thoughts on “MENGENAI TEKNIK BUKA AL-QURAN SECARA “RANDOM” UNTUK DAPAT JAWAPAN PADA PERMASALAHAN KEHIDUPAN

Add yours

  1. Assalamualaikum Ustaz,
    Benar Ustaz.
    Namun ada pula jawapan dari pengamal kaedah garpu tala ini, “sekiranya anda yakin dengan kaedah ini dan yakin dengan bimbingan Allah, muka surat dari AlQuran yang anda buka juga telah dipilih oleh Allah, maka mustahil untuk anda perolehi ayat-ayat yang memberikan jawapan yang lebih buruk”.
    Saya hanya tepuk dahi apabila mendengar penjelasan darinya, Ustaz.
    Benarlah. Tidak perlu lagi membazir masa berdebat atau menerangkan sesuatu pada pengamal² yang tiada disiplin ilmu. Hanya Allah sebaik² Pemberi Hidayah.

    Like

  2. How do I begin reading and studying the Quran?
    To make your task easy, there are 3 ways of reading and studying the Holy Book*.

    1. Index reading^
    Read the complete index and get acquainted with the many topics in the Holy Quran.

    2. Conventional reading±
    Read everyday one section of the Holy Quran in Arabic (that is if you are able to do so) then read the translation, with the commentary – Don’t worry about ‘Finishing the Book’.

    3. Random reading
    Every morning before leaving home, open the Holy Book at random, and read the translation appearing on the page ‘opened’. That will be Allah’s Message for you for the day.

    * The content of this page (apart from these footnotes), is taken from the front-matter of The Holy Qur’an Translation and Commentary by A. Yusuf Ali, published by the Islamic Propagation Centre International.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: