Alhamdulillah, sesi di UITM Jasin saya tidak gunakan slide powerpoint, sebaliknya memanfaatkan papan putih. Kerana dibuat di surau, saya mulakan sesi dengan mendekatkan siswa-siswi yang agak jauh dari saya agar mereka boleh berinteraksi dengan lebih berani dengan saya.

Tajuk diberikan ialah RASULULLAH AS A LEADER : ADAB DENGAN BAGINDA. Jadi saya mulakan dengan defisini “leader” iaitu apa makna khalifah, uswah dan qudwah kerana ketiga-tiga kalimah ada dalam al-Quran dan membawa makna “leader”.
Saya kaitkan makna “khalifah” dengan nasyid al-Asma al-Husna yang adik-adik ini nasyidkan di awal sesi sebagai formaliti program. Namun saya tidak mahu mereka hanya mengambil “kulit” dari nama-nama Allah dan tidak memahami isi. Lalu saya huraikan kaitan nama-nama Allah itu dengan fungsi kita sebagai “khalifah”.
Saya kongsikan pula beza kalimah “uswah” dan “qudwah” dalam al-Quran dan mengapa surah mengenai isteri-isteri Nabi SAW terpilih untuk mengumumkan “leadership” Nabi ialah “uswah” buat orang beriman, bukan sekadar “qudwah”.
Saya kaitkan pula dengan mengapa seorang Nabi yang singkat umur hidupnya di alam dunia terpilih menjadi ketua para Rasul dan Anbiya’ sedangkan sebelum baginda ada ramai para Anbiya’ lebih panjang umur hidupnya, bahkan besar juga liputannya dalam Kitabullah.
Dua jam sesi dan adik-adik bertahan di atas karpet surau, duduk tanpa bersandar, tanpa disediakan juadah makan tengahari, ia tidaklah mudah. Sebab itu saya mahu ambil kesempatan ini memuji komitmen mereka dan penganjur iaitu Persatuan Mahasiswa Surau al-Taqwa, PERMATA.
Moga mereka terpilih menyertai usrah USAMAH-Tadabbur Circle yang saya dan Hazmi akan adakan atas talian setiap dua minggu sekali secara percuma dengan kumpulan siswa-siswi IPTA-IPTS seluruh negeri. Inshaallah
Jadi adik-adik UITM JASIN, jangan lupa walau Ramadhan sudah meninggalkan kita,
JA: JAngan kita tinggalkan al-Quran,
SIN : SIrah Nabi jadikan motivasi kehidupan.
Barakallah fikum

Syaari Ab Rahman
UITM JASIN
11 Syawal 1445 H


Leave a comment