- Surah Hud paparkan agenda dakwah kepada kaum (umum), surah Yusuf paparkan agenda dakwah kepada individu (khusus). Surah Hud seakan dakwah di luar rumah atau tempat terbuka, surah Yusuf seakan dakwah dalam rumah atau tempat tertutup.
- Surah Yusuf paparkan perjalanan tema-tema surah Hud dengan susunan refleksi atau imej terbalik (ring composition). Seakan-akan apa yang dilalui enam kisah anbiya dalam enam zaman berbeza di enam lokasi berbeza dalam surah Hud, dilalui oleh Nabi Yusuf. Ahsanal Qasas !
Surah Hud : Nabi Nuh (kisah pertama)
Surah Yusuf : Nabi Yusuf dan sujud ikhwah
- Kisah Nabi Nuh usaha selamatkan jantan dan betina menerusi bahteranya untuk lahirkan keturunan baru dunia (ayat 40 ; قُلْنَا احْمِلْ فِيهَا مِن كُلٍّ زَوْجَيْنِ اثْنَيْنِ ). Keturunan baru dunia diumumkan bermula di bukit Judi (ayat 44 ; وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ )
- kisah Nabi Yusuf usaha selamatkan abang abangnya menerusi kuasanya untuk lahirkan keturunan Bani Israil. Keturunan baru Bani Israil itu bermula di Mesir (ayat 93 ; seluruh ahli keluarga mesti berpindah ke Mesir ; وَأْتُونِي بِأَهْلِكُمْ أَجْمَعِينَ )
- Kisah Nabi Nuh usaha dakwah seorang anaknya gagal (ayat 46 ; قَالَ يَا نُوحُ إِنَّهُ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ إِنَّهُ عَمَلٌ غَيْرُ صَالِحٍ )
- Kisah Nabi Yusuf usaha dakwah 10 orang anak-anak Nabi Yaaqub berjaya (ayat 100 adegan sujud taubat ikhwah Yusuf ; وَخَرُّواْ لَهُ سُجَّدًا )
- Kisah Nabi Nuh usaha dakwah anaknya dengan kejadian aneh banjir besar tetapi gagal (ayat 43 ; قَالَ سَآوِي إِلَى جَبَلٍ يَعْصِمُنِي مِنَ الْمَاء )
- Kisah Nabi Yusuf usaha dakwah anak-anak Yaaqub tanpa kejadian aneh tetapi berjaya (ayat 91 papar penyesalan ikhwah ; قَالُواْ تَاللَّهِ لَقَدْ آثَرَكَ اللَّهُ عَلَيْنَا وَإِن كُنَّا لَخَاطِئِينَ )
- Kisah dakwah dan perdebatan Nabi Nuh kepada kaumnya paling panjang dalam al-Quran sehingga mengejutkan pembaca kerana ini surah Hud, bukan surah Nuh (mulai ayat 25 hingga 35)
- Kisah dakwah Nabi Yusuf kepada ikhwahnya dipanjangkan Allah di luar jangkaan pembaca sehingga empat kali pertemuan atau separuh masa kedua surah Yusuf (mulai ayat 58 hingga 100)
- Allah menyebut “jangan sedih dengan perlakuan mereka” kepada Nabi Nuh (ayat 36 ; فَلاَ تَبْتَئِسْ بِمَا كَانُواْ يَفْعَلُونَ )
- Nabi Yusuf menyebut “jangan sedih dengan perlakuan mereka” kepada adiknya Bunyamin (ayat 69 ; فَلاَ تَبْتَئِسْ بِمَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ )
- Kerana ikut wahyu Allah, seseorang boleh mengejek atau menghina perbuatan Nabi Nuh membina bahtera kerana pembinaannya pada musim kemarau dan suasana negeri yang jauh dari perairan (ayat 38 ; وَيَصْنَعُ الْفُلْكَ وَكُلَّمَا مَرَّ عَلَيْهِ مَلأٌ مِّن قَوْمِهِ سَخِرُواْ مِنْهُ )
- Kerana ikut wahyu Allah, seseorang boleh menghina perbuatan Nabi Yusuf membina “bahtera penyelamat” kepada ikhwahnya sehingga membuatkan ayahnya buta mata (ayat 84 mengenai buta mata ; وَابْيَضَّتْ عَيْنَاهُ مِنَ الْحُزْنِ فَهُوَ كَظِيمٌ )
- Hanya selepas kisah pertama, Allah menegaskan kisah Nabi Nuh sebagai wahyu dari Allah yang tidak diketahui manusia (ayat 49 ; تِلْكَ مِنْ أَنبَاء الْغَيْبِ نُوحِيهَا إِلَيْكَ )
- Hanya selepas babak terakhir, Allah menegaskan kisah Nabi Yusuf sebagai wahyu dari Allah yang tidak diketahui manusia (ayat 102 ; ذَلِكَ مِنْ أَنبَاء الْغَيْبِ نُوحِيهِ إِلَيْكَ )
Surah Hud : Nabi Hud (kisah kedua)
Surah Yusuf : Yusuf dan rencana perubahan
- Kisah Nabi Hud mencabarkan agar kaumnya melakukan “kayd” (konspirasi jahat) kepadanya, namun tiada seorang pun yang gagah perkasa dari kaum Aad itu berani melakukan apa apa (ayat 52 mengenai saiz tubuh mereka ; وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَى قُوَّتِكُمْ ) (ayat 55 mengenai cabaran “kayd” Nabi Hud ; مِن دُونِهِ فَكِيدُونِي جَمِيعًا ثُمَّ لاَ تُنظِرُونِ )
- Kisah Nabi Yusuf melakukan “kayd” kepada abang-abangnya tanpa seorang pun berani menyedarinya, jauh sekali menentangnya (ayat 76 mengenai “kayd” itu ilham dari Allah ; كَذَلِكَ كِدْنَا لِيُوسُفَ )
Surah Hud : Nabi Soleh (kisah ketiga)
Surah Yusuf : Yusuf menerima jawatan
- Kisah Nabi Soleh menjadi harapan kaumnya sendiri untuk memimpin masa depan kaum Thamud namun ditolak baginda (ayat 62 ; kalimah مَرْجُوًّا قَبْلَ هَذَا )
- Kisah Nabi Yusuf yang diberi jawatan kepimpinan untuk memimpin masa depan Mesir (ayat 55 ; قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَائِنِ الأَرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ )
- Kisah Nabi Soleh dengan mukjizat unta betina yang mesti dibiarkan hidup memakan hasil muka bumi Allah (ayat 64 ; فَذَرُوهَا تَأْكُلْ فِي أَرْضِ اللَّهِ )
- Kisah Nabi Yusuf mengurus Mesir ketika musim kemarau (tujuh ekor lembu kurus) memakan simpanan musim subur (tujuh ekor lembu gemuk)(ayat 43 ; وَقَالَ الْمَلِكُ إِنِّي أَرَى سَبْعَ بَقَرَاتٍ سِمَانٍ يَأْكُلُهُنَّ سَبْعٌ عِجَافٌ )
Surah Hud : Nabi Ibrahim (kisah keempat)
Surah Yusuf : Yusuf dan dakwah di penjara
- Kisah Nabi Ibrahim, satu-satunya kisah tiada babak dakwah kepada kaumnya (mulai ayat 69)
- Kisah Nabi Yusuf, satu-satunya kisah dakwah baginda kepada kaumnya iaitu dalam penjara (mulai ayat 36 hingga 41)
- Kisah Nabi Ibrahim dalam rumah didatangi para Malaikat (mulai ayat 69 ; وَلَقَدْ جَاءَتْ رُسُلُنَا إِبْرَاهِيمَ بِالْبُشْرَى )
- Kisah Nabi Yusuf dalam penjara didatangi dua banduan (ayat 36 ; وَدَخَلَ مَعَهُ السِّجْنَ فَتَيَانَ )
- Kisah Nabi Ibrahim dikurniakan keturunan Ishak dan Yaaqub (ayat 71 ; فَبَشَّرْنَاهَا بِإِسْحَاقَ وَمِن وَرَاء إِسْحَاقَ يَعْقُوبَ )
- Kisah Nabi Yusuf berdakwah dengan menyatakan dia berketurunan Yaaqub dan Ishak (ayat 38 ; وَاتَّبَعْتُ مِلَّةَ آبَائِي إِبْرَاهِيمَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ )
- Kisah Nabi Ibrahim sediakan makanan tetapi tidak dijamah tetamunya (ayat 70 ; فَلَمَّا رَأَى أَيْدِيَهُمْ لاَ تَصِلُ إِلَيْهِ )
- Kisah Nabi Yusuf berdakwah ketika makanan sudah nyaris sampai untuk dijamah sahabatnya (ayat 37 ; قَالَ لاَ يَأْتِيكُمَا طَعَامٌ تُرْزَقَانِهِ )
Surah Hud : Nabi Luth (kisah kelima)
Surah Yusuf : Yusuf dan godaan isteri al-Aziz
- Kisah Nabi Luth berdakwah kepada kaum yang aneh kerana menjalin hubungan haram sesama jantina (ayat 79 ; مَا لَنَا فِي بَنَاتِكَ مِنْ حَقٍّ )
- Kisah Nabi Yusuf diuji dengan ujian yang aneh iaitu isteri orang besar mahu menjalinkan hubungan haram dengan Baginda (ayat 23 ; وَرَاوَدَتْهُ الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا عَن نَّفْسِهِ )
- Kisah Nabi Luth dikepung rumahnya oleh kaumnya, lalu Allah selamatkannya (ayat 78 ; وَجَاءَهُ قَوْمُهُ يُهْرَعُونَ إِلَيْهِ )
- Kisah Nabi Yusuf dikepung isteri al Aziz, lalu Allah selamatkannya (ayat 23 ; قَالَ مَعَاذَ اللّه )
- Allah menyebut isteri Luth tidak selamat (ayat 81 ; إِلاَّ امْرَأَتَكَ إِنَّهُ مُصِيبُهَا مَا أَصَابَهُمْ )
- Isteri al-Aziz akhirnya tidak selamat dari suaminya sendiri (ayat 25 ; وَأَلْفَيَا سَيِّدَهَا لَدَى الْبَابِ )
Surah Hud : Nabi Syuaib (kisah keenam)
Surah Yusuf : Yusuf, kafilah dan pasaran hamba
- Kisah Nabi Syuaib memerangi penindasan sistem kapitalis dalam ekonomi kaum Madyan, perhatikan kalimah ba-kha-sa (ayat 85 ; وَلاَ تَبْخَسُواْ النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ )
- Kisah Nabi Yusuf dalam genggaman kafilah yang mahu membawa baginda ke pasaran hamba yang zalim di Mesir, perhatikan kalimah ba-kha-sa (ayat 20 ; وَشَرَوْهُ بِثَمَنٍ بَخْسٍ دَرَاهِمَ مَعْدُودَةٍ )
Surah Hud : Nabi Musa (kisah ketujuh)
Surah Yusuf : Yusuf, mimpi dan telaga
- Hanya kisah masa depan Firaun dalam neraka. Tiada perincian mengenai kisah dakwah Musa dan Harun atau kerenah Firaun sebagaimana banyak diceritakan dalam pelbagai surah (ayat 98 ; يَقْدُمُ قَوْمَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَأَوْرَدَهُمُ النَّارَ وَبِئْسَ الْوِرْدُ الْمَوْرُودُ)
- Kisah Nabi Yusuf melihat melihat masa depannya yang gemilang (ayat 4 ; إِنِّي رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِي سَاجِدِينَ )
- Firaun memimpin kaumnya masuk ke dalam neraka. Tiada sebarang bantuan datang (kalimah aw-ra-da)(ayat 98 ; يَقْدُمُ قَوْمَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَأَوْرَدَهُمُ النَّارَ وَبِئْسَ الْوِرْدُ الْمَوْرُودُ )
- Yusuf dibawa ikhwahnya masuk ke dalam telaga penuh. Allah hadirkan bantuan kepadanya (kalimah aw-ra-da) (ayat 19 ; فَأَرْسَلُواْ وَارِدَهُمْ فَأَدْلَى دَلْوَهُ )
Wallahu a’lam
Banyak lagi tanasub yang ditemui. Doakan penulis diberi masa dan idea untuk mengembangkan lagi.
Syaari Ab Rahman
Daurah Kompas Anbiya’
Tadabbur Centre
16 Muharram 1444

Leave a comment