PESAN TERINDAH DARI SURAH AL-HUJURAT

HIKMAH PENAMAAN SURAH AL-HUJURAT

Nama surah mengisyaratkan peristiwa yang terjadi pada tahun ke 9 Hijrah iaitu tahun kedatangan para duta dari pelbagai negeri ke Madinah (‘Aam al-Wufud). Sekumpulan Arab dari Bani Tamim telah sampai kepada Masjid Nabawi dan memanggil-manggil Baginda SAW yang sedang berada di bilik-bilik (al-Hujurat) isteri-isteri Baginda SAW.

Nama surah menunjukkan peringatan tegas mengenai buruknya perbuatan dan adab kepada Nabi SAW yang telah berlaku.

Oleh itu, nama surah menjelaskan kesatuan tema surah ini iaitu mendidik orang-orang beriman mengenai akhlak yang khusus dan akhlak yang umum ke arah membentuk komuniti masyarakat Muslim yang dihormati kawan dan lawan.

STRUKTUR TEMATIK SURAH AL-HUJURAT

1. Ayat 1-5 : Penjelasan akhlak khusus kaum mukminin kepada Rasulullah SAW.

  • Kegagalan memelihara kepada Baginda dan hak-hak Baginda kepada ummatnya menandakan kegagalan bertaqwa kepada Allah SWT.

2. Ayat 6-13 : Penjelasan akhlak umum kaum mukminin ke arah membentuk komuniti masyarakat Muslim yang dihormati kawan dan lawan.

  • dari ayat 6-10, bersesuaian dengan dua surah sebelumnya bersangkut paut dengan peperangan dan perdamaian, maka bahagian ini menegaskan bahayanya pertelingkahan yang sangat mahu dilakukan oleh orang-orang fasiq, yang boleh membawa kepada pertumpahan darah sesama kaum Mukminin, menegaskan pendamai dan perdamaian itu sebahagian dari tuntutan iman dan ketaqwaan kepada Allah dan Rasul-Nya, menegaskan kaum Mukminin itu sebenarnya bersaudara
  • dari ayat 11- 13, bahagian seterusnya membongkarkan masalah-masalah hati sesama kaum Muslimin, lelaki dan perempuan, yang telah menjelma dalam bentuk perbuatan lidah dan anggota tubuh mereka, yang boleh membawa kepada permusuhan dan pertelingkahan yang ditegah pada ayat-ayat sebelumnya, memperteguh setiap perintah dan larangan sebagai makna taqwa dan beradab kepada Allah dan Rasul-Nya yang ditegaskan sejak dari awal surah

3. Ayat 14-18 : Penutup

  • mempertegas apa yang dijelaskan di bahagian pertama iaitu beradab kepada Rasulullah SAW bermakna beradab kepada Allah SWT dan sebahagian dari tuntutan taqwa
  • surah bermula dengan tidak menyebut secara jelas siapakah yang telah melakukan adab tidak baik kepada Rasulullah SAW, surah berakhir dengan menyebut mereka ialah satu kumpulan Arab yang menyangka mereka sudah beriman sedangkan mereka baru menerima Islam, bukannya iman.
  • sebagaimana ayat pertama menegaskan makna taqwa dan nama Allah Yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui, maka ayat terakhirnya menegaskan hakikat pengetahuan Allah SWT kepada segala perkara ghaib di langit dan di bumi dan Dia Maha Melihat segala tindak tanduk kaum Mukminin dari zaman surah ini diturunkan sehinggalah hari Kiamat

Wallahu a’lam.

Rujukan :
Dilalah al Asma’ al-Suwar al-Quraniyah ‘ala Mahawiriha wa Maudhu’atiha,
Dr. Umar Ali Hassan Arafat

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started