USTAZ, MENGAPA AL-QURAN BERMULA DENGAN TUJUH SURAH PANJANG-PANJANG ?

Antara kelebihan mengambil tingkatan Enam dahulunya ialah belajar kenegaraan menerusi Pengajian Am. Alhamdulillah!

Antara kelebihan membaca al-Qur’an dari awal mushaf ialah kita diberikan “silibus” kenegaraan dari langit. Alhamdulillah!

Adakah ada “silibus” yang lebih baik untuk manusia, yang menjelaskan dasar-dasar pembinaan dan kestabilan sebuah negara jika bukan bersumberkan dari Yang Maha Berkuasa dan memberi kekuasaan kepada Nabi Yusuf, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Zulqarnain عليهم السلام dan yang mencabut kekuasaan dari Namrud, Firaun, pemimpin kafir Makkah dahulunya ?

Karya setebal 150 halaman bertajuk “Bagaimana Membaca Tujuh Surah Panjang Dari Perspektif Pembinaan Negara” oleh Shekh ‘Asham Soleh al-‘Uwayyid ini bagus untuk ditekuni dan dihadapkan kepada ahli-ahli politik Muslim dan anak-anak muda yang bercita-cita menjadi negarawan Muslim.

Ia menjawab persoalan bagaimana Islam – menerusi tujuh surah panjang – memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta iaitulah maqasid syariah yang lima.

Terlalu banyak khazanah berharga di celah-celah kisah pertamanya iaitu pengkhalifahan Adam alahissalam selepas bertaubat dan kisah terakhirnya iaitu tiga orang Sahabat yang tidak menyertai Tabuk lalu bertaubat.

  1. Al-Baqarah : membangunkan masyarakat yang memuliakan wahyu, mengikuti segala perintah dan hukum hakam dengan penuh ketaatan tanpa keraguan, sebab-sebab khilafah diberikan dan dikekalkan sebagaimana pada kisah Adam dan Thalut عليهما السلام.
  2. Ali Imran : ketaatan dalam perkara yang dinyatakan dalam al-Baqarah tidak mampu dilakukan tanpa bersumberkan ilmu yang benar dan muhkam, bukan sebaliknya mengandungi syuhbah dan keraguan. Syiar kedua-dua surah ini ialah “tiada ilmu tanpa amal” dan “tiada amal tanpa ilmu”.
  3. Al-Nisa’ : membangunkan masyarakat yang menegakkan keadilan memerangi kezaliman, membantu mereka yang dizalimi dan mustadhafin masakin yang sangat memerlukan.
  4. Al-Maidah : membangunkan masyarakat yang benar dalam setiap perkataannya, tidak melakukan khianat dalam setiap janji ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, bahkan memelihara perjanjian dengan musuh-musuhnya kerana Allah.
  5. Al-An’am : identiti utama masyarakat ini ialah tauhid iaitu mengesakan Allah dan mematuhi segala hukum hakam atau syariat yang telah ditetapkan Allah.
  6. Al-A’raaf : membangunkan masyarakat yang berpendirian teguh, memahami kebenaran dan mengikutinya tanpa keraguan dan bersedia menghapuskan segala penghalang antara dia dan kebenaran yang telah sampai kepadanya.
  7. Al-Anfaal dan al-Taubah : membangunkan masyarakat yang sempurna aqidahnya, akhlaknya dan kenegaraannya dan memahami sunnatullah dalam mendapat pertolongan-Nya dan kekuasaan yang kukuh demi memelihara agama, maruah dan kesejahteraan muka bumi Allah.

Apabila kekuasaan dan kekuatan telah diberikan Allah, maka hendaklah memahami dasar-dasar dalam berhubungan dengan musuh-musuh Islam dari dalam dan dari luar serta mereka yang melanggar arahan selepas mereka kembali bertaubat.

Setiap surah-surah ini, penulis membahaskan munasabahnya dalam susunan mushaf, tema yang menyatukan keseluruhan ayat-ayatnya berdasarkan masa dan lokasi penurunan serta awalan dan akhiran surah, serta riwayat-riwayat mengenai sebab-sebab nuzul yang mengukuhkan tema surah berkenaan.

Lebih menarik lagi, penulis ada memaparkan keunikan setiap surah seperti kalimah yang kerap berulang sehingga menampakkan identiti istimewa surah berkenaan yang tiada pada surah yang lain.

Seorang yang sukakan sesuatu perbahasan surah disusun dengan sistematik dan tersusun, juga seseorang yang sangat sibuk dan mahu baca satu kitab telah menyaring pelbagai pendapat terbaik dari puluhan kitab, pasti menggemari kitab kecil tapi bermakna besar seperti ini.

Selamat membaca, inshaallah.

Syaari Ab Rahman
Bangi
11 Rabiul Awwal 1441 H

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started