
Semalam khutbah Jumaat di Selangor telah menyentuh tentang adab ziarah rumah terbuka. Bagus konten yang telah disusun dan disampaikan, izinkan saya menambah lagi inshaallah.
Memang sangat tepat pada waktunya kerana begitu banyak rumah terbuka di hujung Syawal ini diadakan, juga sempena makin ramai kaum muslimin berjaya sempurnakan puasa enam.
Kebetulan yang indah juga, Podcast Siri 4 saya bersama Tuan Fedtri Yahya, beliau ada berkongsi mengenai kisah “rumah terbuka” sepanjang masa di sebuah perkampungan di Turki. (Kisah apa ? Kena dengar Podcast “Kompas 114” inshaallah)
Menariknya, al-Quran ada merakamkan kisah Nabi Ibrahim a.s. menerima kedatangan tetamu dalam beberapa surah seperti Surah Hud, al-Hijr dan al-Dhariyat. Saya pernah mengkaji keunikan “tiga babak satu kisah” ini secara mendalam dalam dissertasi sarjana dahulu. Kini ia ada dalam karya saya bertajuk “Menggali Khazanah Ilmu Munasabah”.

Daripada kisah ini, kita belajar bahawa ziarah bukan hanya soal datang dan makan. Ia soal adab, suasana, dan jiwa yang dibawa masuk ke dalam rumah orang. Mari saya kongsikan ;
PERTAMA : MULAKAN ZIARAH DENGAN SALAM YANG BENAR-BENAR HIDUP
Al-Quran merakamkan:
قَالُوا سَلَامًا قَالَ سَلَامٌ
Salam bukan sekadar lafaz pembuka mulut. Salam ialah doa, isyarat damai, dan cara kita memberitahu tuan rumah bahawa kehadiran kita membawa ketenangan, bukan beban.
Kadang-kadang kita hadir ke rumah orang, tetapi lupa membawa “salam” dalam makna yang sebenar.
Muka letih, adab longgar, tangan sibuk dengan telefon, lalu ruh ziarah itu hilang. Rumah terbuka yang diberkati ialah rumah yang dimasuki dengan doa dan wajah yang menenangkan.
KEDUA : JADILAH TETAMU YANG TIDAK MEMBUAT TUAN RUMAH GELISAH
Dalam kisah itu, apabila Nabi Ibrahim melihat keadaan tetamunya yang luar biasa, Allah merakamkan:
فَلَمَّا رَءَا أَيْدِيَهُمْ لَا تَصِلُ إِلَيْهِ نَكِرَهُمْ وَأَوْجَسَ مِنْهُمْ خِيفَةً
Ayat ini mengajar kita bahawa cara tetamu membawa diri sangat mempengaruhi ketenangan tuan rumah.
Jangan datang pada waktu yang tidak sesuai.
Jangan masuk dengan gaya yang terlalu bebas.
Jangan terlalu banyak soal yang membuat orang tidak selesa.
Jangan duduk dengan wajah dingin dan reaksi kaku seolah-olah sedang menilai rumah orang.
Tetamu yang baik ialah tetamu yang membuat tuan rumah rasa lapang, bukan rasa diperiksa.
Para malaikat walaupun hadir pada waktu yang tidak dijangka oleh Nabi Ibrahim, tidak juga dikenali baginda, namun Allah jadikan penampilan dan perkataan mereka menenangkan baginda.
KETIGA : HARGAI JAMUAN, JANGAN CEREWET DAN JANGAN MEMBEBANKAN
Nabi Ibrahim a.s. segera memuliakan tetamunya:
فَمَا لَبِثَ أَن جَاءَ بِعِجْلٍ حَنِيذٍ
Dan dalam surah lain Allah menyebut:
فَرَاغَ إِلَىٰ أَهْلِهِ فَجَاءَ بِعِجْلٍ سَمِينٍ فَقَرَّبَهُ إِلَيْهِمْ
Lihat betapa halusnya adab tuan rumah yang diajar al-Quran.
Baginda tidak melambat-lambatkan layanan.
Baginda menyediakan jamuan yang baik, bahkan seekor anak lembu gemuk yang dikorbankan.
Baginda menghampirkan makanan itu kepada tetamu dengan penuh penghormatan.
Maka tetamu juga mesti ada adabnya.
Jangan mengkritik makanan.
Jangan membandingkan rumah ini dengan rumah lain.
Jangan meminta yang bukan-bukan.
Jangan jadikan rumah terbuka sebagai ruang untuk menambah kesusahan orang yang sudah pun berpenat menyediakan hidangan.
Bila orang sudah memuliakan kita, balaslah dengan syukur, bukan dengan karenah.
KEEMPAT : HADIR DENGAN JIWA, BUKAN DENGAN BADAN SAHAJA
Allah menyebut tentang Sarah:
وَامْرَأَتُهُ قَائِمَةٌ
Gambaran ini sangat indah. Rumah Nabi Ibrahim bukan rumah yang menerima tetamu secara sambil lewa.
Ada kehadiran jiwa.
Ada perhatian.
Ada kesiapsiagaan.
Ada kebersamaan ahli rumah dalam memuliakan tetamu.
Bukan seorang melayan tetamu dan seorang melayan episod Netflix yang belum selesai.
Sebab itu, antara adab paling penting rumah terbuka ialah benar-benar hadir.
Bukan hadir secara fizikal tetapi jiwa berada di tempat lain.
Bukan datang sekadar ambil gambar, tunjuk baju, lalu tenggelam dalam telefon.
Ziarah yang baik ialah bila mata memandang orang, telinga mendengar orang, dan hati benar-benar mahu menyambung ukhuwah.
KELIMA : TINGGALKAN RUMAH ORANG DENGAN DOA DAN KEBERKATAN
Ketika berita gembira disampaikan, para malaikat berkata:
رَحْمَتُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الْبَيْتِ
Ini adab yang sangat tinggi.
Datang membawa salam, pulang meninggalkan doa. Bukan datang membawa cerita, pulang membawa bahan mengumpat.
Bukan datang untuk membanding-bandingkan rezeki orang lain.
Bukan datang untuk membuka aib keluarga, politik keluarga, atau luka lama yang sepatutnya sudah sembuh.
Rumah terbuka Syawal sepatutnya menjadi ruang lahirnya doa, lembutnya hati, dan eratnya silaturahim.
Kalau ziarah itu membuat tuan rumah rasa dihargai, rasa didoakan, rasa lapang, maka itulah ziarah yang ada adab.
Tetapi kalau selepas tetamu pulang, yang tinggal hanyalah penat, kecil hati, dan rasa terguris, maka ada sesuatu yang perlu diperbaiki pada adab kita.

Akhirnya, kisah Nabi Ibrahim a.s. mengajar kita bahawa memuliakan tetamu bukan perkara kecil.
Dan menjadi tetamu yang beradab juga bukan perkara kecil.
Syawal bukan sekadar musim rumah terbuka.
Syawal ialah madrasah akhlak.
Kita belajar memberi salam dengan jiwa, hadir dengan rahmah, menjaga batas, menghargai layanan, dan meninggalkan rumah orang dengan doa.
Mudah-mudahan setiap ziarah kita akan sebab ukhuwah diperteguh, hati dilembutkan, dan rumah-rumah kita dipenuhi sakinah.
Syaari Ab Rahman
Yayasan Tadabbur
Leave a comment