
Kisah Pertama
Sudah banyak kisah anbiya’ menghadapi pemerintah yang musyrik. Bahkan ada dipaparkan kisah seorang remaja menghadapi pemerintah yang zalim iaitu Nabi Ibrahim (21:60). Namun belum pernah kita diberitahu kisah bagaimana sekumpulan remaja menghadapi pemerintah dan kaum yang memerangi aqidah mereka, di zaman tiada nabi diutuskan !
Sesuailah kisah ini dipaparkan dalam surah al-Kahfi yang bertemakan akhir zaman.
Akhir zaman yang anak-anak muda memerlukan kisah inspirasi untuk menentukan mengapa tujuan mereka hidup, “circle” bagaimana yang perlu mereka cari dan apa ancaman terbesar untuk mereka hadapi pada usia mereka seperti pemuda al-Kahfi.
Kisah Kedua
Al-Quran sudah pernah merakamkan kisah Abu Lahab dan isterinya, atau kisah Qarun. Namun ramai masih cenderung merasakan ia kisah sejarah dan ia kisah berkait zaman Nabi Musa dan Bani Israil. Hadirnya kisah pemilik dua kebun tanpa dijelaskan siapa, zaman mana, lokasi kejadian menunjukkan penyakit Qarun itu boleh berpindah ke dalam diri semua kaum muslimin.
Kita tidak menyembah berhala sebagaimana Bani Israil menyembah anak patung lembu Samiri, namun kisah pemilik dua kebun kena tepat pada masanya kerana tidak kelihatan pada zahir nas bahawa si pemilik dua kebun itu seorang yang menyembah berhala.
Sesuailah kisah ini dipaparkan dalam surah al-Kahfi yang bertemakan akhir zaman.
Zaman semua perkara yang dihajatkan sangat mudah untuk diperolehi, sehingga akhirnya yang dibangga dan disembah itu ialah usaha dan teknologi, bukannya Tuhan itu sendiri.
Kisah Ketiga
Kisah Nabi Musa menghadapi kezaliman pemerintah Firaun atau kezaliman kaumnya sendiri Bani Israil sangat banyak dalam al-Quran. Namun di lokasi manakah Nabi Musa menjadi seorang murid, yang belajar makna keterbatasan ilmu dalam mentafsirkan sesuatu kejadian musibah depan mata ? Hanya dalam surah al-Kahfi !
Sesuailah kisah ini dipaparkan dalam surah al-Kahfi yang bertemakan akhir zaman.
Zaman manusia begitu mudah mengulas apa sahaja yang berlaku di hadapan matanya, tanpa ilmu dan tanpa sikap berhati-hati dan tanpa “wallahu a’lam”.
Kisah Keempat
Kisah Nabi Sulaiman memimpin dunia ada di beberapa tempat dalam al-Quran. Untuk apa lagi kisah Zulqarnain dipaparkan ? Umat yang sedang “struggle” di zaman tiada lagi nabi mungkin akan lebih hargai kisah dalam al-Quran mengenai seorang yang bukan nabi melebarluaskan keamanan dunia.
Sesuailah kisah ini dipaparkan dalam surah al-Kahfi yang bertemakan akhir zaman.
Bahkan jika dibandingkan dengan kisah Nabi Sulaiman yang tiada sesiapa boleh menghalang perjalanan baginda, Zulqarnain pula muncul dengan keterbatasannya dalam beberapa perkara seperti tidak mampu menghapuskan Yakjuj dan Makjuj. Hanya mampu membataskan sahaja kerosakannya.
Unsur realistik sebegini sangat diperlukan oleh umat yang mahu bangkit sedikit demi sedikit meskipun masih banyak halangan di sana sini kerana “superpower” dunia masih lagi di tangan kaum kafir.
Di sebalik keterbatasan Zulqarnain itu, kita sedang belajar pendekatan berinteraksi dengan pelbagai bangsa untuk jadi kuat, ke sana ke sini melakukan “empowerment” potensi rakyat jelata, kelihatan di sini prinsip penting untuk memulakan perubahan secara domestik sebelum peringkat yang lebih besar.
Kita perlukan kisah Zulqarnain untuk “fasa 1” dan barulah kisah Nabi Sulaiman sebagai “fasa 2” jika mahu dilihat kisah ini dari sudut politik dan pemerintahan Islam sebagai “superpower” dunia di masa akan datang.
Inshaallah.
Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
6 Syawal 1447
Leave a comment