Beberapa refleksi saya pada surah Yusuf untuk hidup tenang dengan iman di zaman perang sana sini dan fitnah akhir zaman. Zaman musuh kelihatan sangat “usbah”, sangat kuat untuk “humban” sesiapa sahaja yang melawan mereka ke dalam telaga yang mereka pilih.

1.Ingat “mimpi” itu benar. Wawasan agama ini sudah dibangunkan sepenuhnya dalam al-Baqarah. Bacalah semula “mimpi” mengenai daulah. Ringkasannya juga ada dalam al-Isra’, yang Baginda tidak pernah tinggal dari membacanya setiap malam. Bergerak ke arah “mimpi” yang benar itu dari sekarang. Bahkan dua kali Allah ingatkan Yusuf mengenai mimpi itu, agar baginda kekal fokus, jangan hilang sabar, jangan “distracted” dengan perbuatan ikhwahnya sebaik sahaja berlaku apa yang tidak diingini. (12:4, 15)
2. Seperti Yusuf yang mempunyai keturunan yang mulia dan cemerlang, kita kaum muslimin dan ummat Nabi صلى الله عليه وسلم ada tradisi kegemilangan masa lampau yang tidak boleh dipertikaikan ahli sejarah. Tapi, jadilah Yusuf yang meneruskan kehebatan bukti hidup dari sebaik-baik zaman itu, bukan hanya mat jenin yang berangan-angan dan hanya romantis dengan sejarah. (12:6)
3.Menghadapi suasana usbah dan asabiyyah kalangan “adik-beradik serumah”, kekalkan hidup berdamping dengan para ulama dan ilmuwan. Hidupkan Jumaatmu sebagai hari benar-benar terkesan dengan khutbah dari langit. Biar singkat ruang di mimbar “Yaaqub”, asalkan sabar yang indah, jangan mudah reaktif, sentiasa menjadi buah pendidikanmu bersamanya. (12:4)
4. Jangan naif membaca berita. Jangan mudah beremosi dan ditipu dengan konten propaganda musuh yang masuk ke dalam telefon kita. Air boleh dilihat api, api boleh dilihat air. Dengan air mata yang direka, “plavictim” dan mereka-reka bukti palsu ialah formula ampuh mereka. Bacaan pada isu mesti secerdas Nabi Yaaqub semasa membaca wajah anak-anaknya yang sedang berdusta (12:18)
5. Kita tak banyak masa nak hidup atas muka bumi. Kalau perang itu sedang merebak, lagi cepatlah tempoh hayat kita di sini. Jadi, kekalkan fokus mencari pelapis, membangunkan karakter anak-anak, carilah “Yusuf di pasaran hamba” sebelum orang jahat yang menyambarnya. Ingat, ramai anak-anak yatim di situ ada potensi untuk jadi juara. Binalah mereka sebagaimana al-Aziz sangat percaya, boleh membaca potensi gergasi dalam diri seorang kanak-kanak bernama Yusuf itu.
6. Tiga perkara mesti dititikberatkan dalam pendidikan generasi. Hukman mesti bergabung dengan ilman untuk menghasilkan ihsan (12:22). Pertama, didikan agama dan “ilmu keakhiratan”. Mentornya “Nabi Yaaqub”. Kedua, didikan sains dan “ilmu keduniaan”. Mentornya al-Aziz walaupun dia tidak beriman. Ingat, hikmah itu barang yang hilang.
7. Kemudian inilah ujian yang paling penting, ujian ihsan dengan Tuhan dalam apa jua keadaan. khususnya ketika diuji dengan “Zulaikha”, diuji dengan kemahuan lawan jantina, bahkan kini boleh jadi kemahuan pada sesama jantina. Baca doa Yusuf (12:23) ketika hati dan hobi mula suka melayan filem-filem zina mata, zina telinga, zina hati. Musuh akan menyerang dengan 3 “S” (sex, sport, screen) sebelum diajak ke medan tempur.
8. Bantu negeri dan negara dengan pandangan dan kritikan yang membina (12:47-49). Analisa sebaiknya apa isu sebenar, kenapa jadi begitu, apa puncanya, apa solusinya. Sayangi negara walau ia bukan negara asal Yusuf, rakyat pula semuanya bukan Muslim. Menteri-menteri Mesir sangat mengecewakan si raja, maka pilihlah untuk memberi pandangan dan sumbangsaran. Kita takkan tahu idea mana yang ditaqdirkan tepat, kemudian “viral” dan mendapat perhatian pemerintah ketika pemerintah dikelilingi mereka hanya mahukan pangkat dan pengaruh.
9. Buat pemerintah negara kaum muslimin dan ulil amri. Yusuf hadir separuh masa kedua surah ini untuk kalian jujurlah dengan amanah dan kuasa. Santunilah rakyat jelata di bawah (12:59), tanpa lensa kamera. Jangan selesa dengan kuasa di atas. Ada ramai “bunyamin” yang sedang dibuli mental mereka dalam rumah. Krisis ekonomi dan makan minum tak cukup akan jadi punca macam-macam masalah jenayah lain seperti mencuri, berzina, membunuh. Negara umat Islam takkan kuat kalau di sana sini pijak memijak, rasuah, prejudis dan berpecah.
10. Selagi ada perangai “gengster” di sekolah, selagi itu “gengster” dunia tak boleh ditumpaskan. Manusiawi dan kemanusiaan mesti mula dari rumah dan sekolah. Buat ibubapa dan cikgu-cikgu di sekolah atau IPT. Hidupkan empati, hidupkan “taakhi”, kempenkan ambil berat sesama para pelajar dan siswa. Jadikan babak Yusuf menenangkan Bunyamin dan memberi jaminan keselamatan padanya (12:69) sebagai dasar penting sekolah. Bukan hanya kejar rangking atau straight A’s.
11. Sesama para ulama dan asatizah, jangan sampai perbezaan pandangan sampai ke tahap memburukkan dan menyindir. Belajar berhadapan dengan matang sesuatu isu dan mendengar teliti hujah lawan. Ikhwah Yusuf telah belajar bahawa mereka tidak selamanya betul. Mula-mula kata yakin mereka tidak ambil cawan raja, namun hasil siasatan teliti mereka salah. Sombong masa jatuhkan Yusuf dahulu ternyata tidak membantu mereka dalam kes adik Yusuf kali ini. Insafi kita tidak selalu betul, sentiasa ada yang lebih berilmu dan akan membetulkan kita. Jadikan (12:77) sebagai prinsip menghadapi khilaf kalangan agamawan.
12. Bertaqwalah dalam mengendalikan media sosial. Ia dicipta untuk cepat popular dengan jalan reaktif. Jangan jadikan ia medan melepaskan kemarahan. Banyak masalah boleh selesai dengan menangguhkan sikap reaktif pada isu dan ambil sikap bertenang seketika dan berfikir respon yang lebih baik (12:77). Terikut-ikut algorithm hanya menjadi sesama umat Islam bertelagah, issue oriented dan bercakaran dalam perkara remeh temeh.
13. Kerajaan mesti beri perhatian pada pembangunan institusi keluarga. Setiap keluarga ada ketua. Selain ayah, yang paling sulung boleh main peranan seperti abang sulung ikhwah Yusuf (12:80). Tegur sesama adik-beradik jika ada salah laku. Wujudkan suasana saling memberi peringatan. Keluarga yang kuat akan jadi melahirkan anak-anak yang sentiasa bersemangat dalam hidup, akan jadi inspirasi keluarga lain hingga satu persatu batu-bata inilah yang akan membentuk “rumah” negara yang kuat.
14. Separuh masa kedua surah Yusuf bukan mengenai kejayaan politik dan ekonomi Yusuf. Tapi kejayaan menyelamatkan adik beradiknya dari gangguan syaitan dan ancaman murka Allah di akhirat. Seorang ayah yang sabar dalam mendidik anak, seorang Yusuf yang pintar menyusun strategi dakwah abang-abangnya, itulah keutamaan dari surah Yusuf pada waktu ini untuk kaum muslimin di zaman fitnah akhir zaman. Melahirkan mujaddid agama mesti bermula dari rumah (25:74).
15. Tidak pernah lupa berdoa ketika lemah atau ketika kuat, sentiasa menjadi hamba yang faham tujuan hidup. Ini pula asas penting untuk hidup di mana-mana zaman sekalipun. Yaaqub sentiasa mengadu pada Tuhannya ketika sakit menanggung ujian (12:86). Yusuf sentiasa mengadu pada Tuhannya agar terus kuat dengan ujian kuasa dan pengaruhnya, kekal berbakti pada ibubapa (12:100), sentiasa ingat “i am nothing without Allah’s plan” (12:101)
16. PENUTUP : Surah Yusuf bukan turun dalam keadaan vakum. Ia turun pada tahun dukacita. Umat pada waktu ini juga seakan di tahun yang sama. Tanah Zaitun terus sakit dan disakiti tanpa pembela. Perang di sana sini, tumpah darah seorang yang tidak berdosa seakan sudah tiada nilai di sisi manusia. Moga surah Yusuf jadi hidayah dan panduan untuk mengatur langkah pertama menuju bantuan Allah mendatangkan bantuan-Nya dan al-Mahdi yang disabdakan Nabi. Usah bincang bila kemenangan. Fokus pada sudah dibuat untuk Allah dekatkan kemenangan.
Leave a comment