
Antara yang dikongsikan pagi tadi dalam siri pertama dari empat siri Daurah “27 Kunci Tadabbur al-Quran”, ialah persoalan kenapa ada sebahagian salaf dan para imam terdahulu begitu tekun mengkhatamkan al-Quran dalam Ramadan, bahkan lebih sekali.
Pada saya, kunci ke-7 nukilan Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi seakan memberi jawapan pada faktor mengapa beberapa kali khatam ini berlaku pada mereka selain faktor keberkatan masa diizinkan Allah pada wali-walinya.
Saya percaya mereka bukan sekadar “khatam” kerana faktor mengejar gandaan pahala semata-mata atau sokongan suasana Ramadan, tetapi kerana mereka percaya, setiap kali al-Quran diulang, mereka menemui sesuatu yang sebelum ini tidak mereka temui, seolah-olah al-Quran sentiasa “baru” pada mereka. وَلَا تَشْبَعُ مِنْهُ الْعُلَمَاءُ وَلَا يَخْلَقُ عَنْ كَثْرَةِ الرَّدِّ وَلَا تَنْقَضِي عَجَائِبُهُ !
Inilah yang disebut Dr. Solah sebagai mereka masuk ke alam al-Quran tanpa “kajian terdahulu”, tanpa sebarang agenda khusus, tanpa prasangka tertentu, tanpa rasa “aku dah tahu”. Betul-betul menjadi “ummi” dan “ma ana bi qari’” di hadapan Kitabullah. Bila fikiran benar-benar kosong untuk tunduk mengadap kalam Tuhan, al-Quran jadi sumber asal yang menyegarkan.
Dr. Solah mengibaratkan seperti seseorang yang minum air dari sumber yang asal, bukan air paip yang sudah bercampur.
Kita percaya bahawa 11 bulan sebelum Ramadan, mereka sudah melalui jihad ilmu untuk memahamkan umat tentang pelbagai ilmu agama dari Kitabullah. Maka, bila Ramadan hadir, ia menjadi musim untuk mereka kembali kepada mata air yang asal, minum terus dari “telaga zam zam” iaitu al-Quran itu sendiri, hingga menyegar jiwa, dan menghidupkan semula rasa.
Setiap kali ulang al-Quran dari al-Fatihah hingga al-Nas, mereka menemui apa yang dulu tak nampak. Mereka mengulang untuk menemui, bukan mengulang kerana ‘target’ tertentu atau trend tertentu. Bila ulang dengan hati yang bersih, ayat yang sama boleh memunculkan makna, haluan, dan tamparan rohani yang berbeza.
Kunci 7 menuntut kita meletakkan al-Quran di depan, bukan di belakang. Dr. Solah mengkritik mereka yang masuk ke dalam al-Quran dengan idea dan pegangan hidup yang bercanggah, lalu memaksa ayat Allah untuk mengikut fikrah dan ideologinya tertentu, hingga akhirnya lahir kesimpulan yang pelik dan jauh daripada نور القرآن.
Barakallah fikum
Inshaallah bertemu di sesi kedua Ahad depan.
Leave a comment