SELAMAT SAMPAI KEPADA-NYA DENGAN SURAH AL-MU’MINUN

Surah al-Mu’minun ialah surah tentang SELAMAT SAMPAI.

Ia mengajar bahawa hidup bukan sekadar penentuan destinasi, bahkan kaedah keselamatan hingga selamat sampai ke hujungnya.

Surah ini dibuka dengan berita kejayaan paling agung, iaitu orang beriman yang SELAMAT SAMPAI ke Firdaus. Bukan semua yang beriman disebut berjaya, tetapi hanya mereka yang memenuhi ciri tertentu.

Allah kemudian membawa manusia kembali ke permulaan hidupnya, ke dalam rahim ibu. Dari setitik nutfah hingga menjadi manusia sempurna, setiap tahap berlaku dengan tertib sehingga SELAMAT SAMPAI bayi itu ke garisan penamatnya di alam rahim, cukup sembilan bulan. Perjalanan ini menunjukkan bahawa keselamatan tidak berlaku secara tiba-tiba, tetapi melalui proses yang dijaga oleh Allah pada setiap peringkat.

Dalam kisah pertama surah ini iaitu kisah Nabi Nuh, keselamatan bukan pada pembinaan bahtera itu sendiri, tetapi pada doa baginda agar SELAMAT SAMPAI ke Gunung Judy. Bahtera hanyalah wasilah, manakala kejayaan ke destinasi itulah tanda pertolongan Allah.

Allah juga menyebut kisah Maryam dan Isa sebagai contoh mukmin yang SELAMAT SAMPAI ke tempat yang diberkati dan diatur rezeki yang mendamaikan, dataran tinggi dan tenang. Ayat ini menenangkan kerana ia menunjukkan bahawa keselamatan bukan hanya selepas mati, tetapi juga boleh dianugerahkan di dunia kepada mereka yang dipelihara Allah.

Keselamatan amanah kerasulan pula dikaitkan dengan perkara yang sering dipandang kecil, iaitu menjaga makan dan minum. Surah al-Mukminun satu-satunya surah melaporkan perintah Allah pada anbiya agar menjaga makan minum mereka agar mereka SELAMAT SAMPAI pada matlamat menyempurnakan amanah kenabian di dunia.

Namun surah ini tidak menutup dengan kejayaan semata-mata. Ia memperlihatkan manusia yang TIDAK SELAMAT SAMPAI ke Syurga, yang hanya menyedari kesilapan ketika maut menjelang. Ketika itu, permintaan untuk kembali sudah tidak lagi bermakna.

Surah al-Mu’minun akhirnya mengingatkan bahawa hidup ini bukan tentang sejauh mana kita berjalan, tetapi tentang SELAMAT SAMPAI. Dan keselamatan itu hanya milik mereka yang Allah namakan sebagai al-Mu’minun.

Syaari Ab Rahman
Tadabbur Centre

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started