Lima Sebab Kita Wajar Bersama Surah al-Mu’minun Sepanjang 2026

  1. KEHAMBAAN (SPIRITUAL)
    Agar 2026 menjadi tahun solat yang lebih hidup dan khusyuk. Allah memulakan surah ini dengan kejayaan orang beriman yang solatnya penuh penghayatan (23:2). Solat yang khusyuk melahirkan jiwa yang beramanah. Manusia tidak diciptakan dengan sia-sia (23:115), tetapi untuk memikul peranan sebagai khalifah yang membawa keamanan di bumi.
  2. KEIBUBAPAAN (EMOSIONAL)
    Agar 2026 menjadikan kita ibu bapa yang lebih sedar tentang amanah anak. Proses penciptaan manusia dihuraikan dengan sangat teliti (23:14) supaya kita faham bahawa setiap anak hadir dengan tujuan dan misi. Menariknya, surah ini tidak menyebut nama Maryam atau Isa, sebaliknya menggambarkan “anak yang dibawa ibunya” ke tempat yang mulia (23:50), seolah-olah mendidik kita melihat anak lebih besar daripada nama dan status.
  3. PEKERJAAN (INTELEKTUAL)
    Agar 2026 kita bekerja dengan visi, legasi dan destinasi. Doa Nabi Nuh (23:29) mengajar kita agar setiap “bahtera” yang dibina — projek, kerjaya, perniagaan — dipandu Allah ke destinasi yang diberkati. Surah ini juga mengingatkan betapa manusia sering lalai sehingga saat kematian datang dengan penuh penyesalan (23:99–100). Kerja yang baik ialah kerja yang sentiasa sedar akan akhirnya.
  4. KESIHATAN (FIZIKAL)
    Agar 2026 kita lebih peduli tentang pemakanan dan gaya hidup sihat. Allah sendiri memerintahkan para Rasul agar menjaga apa yang mereka makan (23:51).Tubuh yang lemah akan melemahkan misi kehambaan, keibubapaan dan pekerjaan. Kesihatan bukan isu sampingan, ia sebahagian daripada amanah.
  5. KESABARAN (SOSIAL)
    Agar 2026 kita lebih bertaqwa dalam dunia media sosial. Sama ada sebagai pengguna yang menjauhi perbualan sia-sia (23:67), atau sebagai pendakwah dan influencer yang tidak reaktif, mudah marah dan terpancing emosi. Doa perlindungan daripada bisikan syaitan (23:97–98) mendidik Nabi agar tidak membalas keburukan dengan keburukan. Ini satu pelajaran besar untuk zaman digital hari ini.

Surah al-Mu’minun bukan sekadar bacaan.
Ia peta kehidupan.
Mungkin inilah surah yang wajar menemani langkah kita sepanjang 2026.

Syaari Ab Rahman
Yayasan Tadabbur Malaysia

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started