PBAKL 2025: 10 HARI, 10 PERKARA SAYA BELAJAR

  1. Karya “Game Changer” Menentukan Arah

Karya baru sangat menjadi pemecah gelombang.

Tapi “baru” hendaklah bukan sekadar hanya baru keluar dari kilang, tetapi idea dan pendekatan yang menyegarkan dan jadi keperluan rujukan.

“Kompas 604” (Tadabbur Centre) membawa idea unik iaitu rumusan ikut halaman mushaf.

“Tiada Yang Kecil Di Sisi Tuhan” (Paradigma Ibrah) pula, saya membuka sedikit wacana kerja sepasukan – yang sering dibincangkan di Barat – dari kacamata al-Quran, lebih spesifik lagi surah al-Naml.

Kedua-dua karya ini konsisten memenangi pingat emas dalam carta jualan TC-PISB sepanjang 10 hari.

  1. Infografik & Bahasa Visual Tarik Pembaca Baru

Karya berbentuk diagram, peta minda, dan gaya bullet point sangat membantu pembaca yang ingin belajar “tadabbur”.

Antara kejutan dari laporan jualan kami ialah “Kompas Jiwa Dari 30 Juzuk” karya Hajar Ashikin memenangi pingat perak dalam carta 22 buah karya Paradigma Ibrah Sdn. Bhd. di PBAKL 2025. Mungkin kerana beliau dari Perak 😂

Ini membuktikan bahawa usaha memudahkan gaya penyampaian idea-idea yang “complicated” (dari syarahan saya), rupanya boleh membuka pintu hati mereka yang baru nak berjinak dengan ilmu al-Quran.

  1. Pembaca Tak Disangka Datang Dengan Hikmah

Kehadiran sepenuh masa penulis di PBAKL sebenarnya sangat membantu bukan hanya untuk jualan, tapi ilmu dan kematangan dakwah.

Kita takkan jangka siapa akan hadir reruai kita. Sudah beberapa figura nasional hadir ke reruai kami, tapi saya ghaib seketika sahaja. Ruginya.

Bila ditakdirkan mereka singgah seketika, buah-buah pandangan mereka kepada penulisan dan penyampaian tadabbur sangat bermakna.

Saya sendiri belajar banyak dari perbualan spontan dengan Datuk Husamuddin Yaacob, abang Hisomuddin (Ilham Centre), Dr Basith Byond, Dr Nidzomuddin Alias UPSI dan ramai lagi.

Semuanya jadi “mutaqabilin”, pertemuan tak dijangka di reruai.

Apatah lagi lokasi reruai kami sangat dekat dengan surau, medan saya kerap bertemu dengan agamawan dan pempengaruh yang baik-baik, yang hadir solat awal waktu di situ.

  1. Pengunjung Singapura Dahaga Ilmu Wahyu

Survey harian saya buat, kehadiran pengunjung dari Singapura didapati meningkat dari tahun lepas. Mungkin kerana kurangnya karya atau platform pengajian tadabbur dalam bahasa Nusantara yang mudah diakses di sana.

Bersembang dengan Tuan Abu Bakar dan isteri yang dua kali hadir ke reruai kami, mereka menjadikan PBAKL sebagai medan tahunan untuk dapatkan bahan pencerahan jiwa.

  1. Kurangnya Ziarah Reruai Rakan: Satu Penyesalan

Saya kesal tak sempat ziarah lebih banyak reruai rakan seperjuangan yang sama “padang permainan”. Hanya sempat berjumpa adik-adik saya di “Tentang Kita” dan sahabat seperjuangan saya di “SimplySirah”.

“Mutaqabilin” dengan topi yang sama (penulis, penerbit, pendakwah) sangat kaya dengan nilai, bukan saja belajar kekuatan mereka, tapi juga kesilapan yang perlu dielak.

  1. Karya Mesra OKU Perlu Diperbanyakkan

Saya perasan memang lebih ramai pengunjung OKU hadir tahun ini ke reruai kami. Ini satu isyarat penting bahawa karya tadabbur mesti inklusif.

QR Code untuk bantu OKU penglihatan, infografik mesra OKU pendengaran, semua ini bukan lagi pilihan dan nilai tambah, tapi tanggungjawab.

  1. ASEAN Oh ASEAN

Desas-desus jalan tutup sempena himpunan ASEAN menjejaskan kehadiran.

Walaupun berita itu tidak sepenuhnya tepat, kuasa viral telah mencipta persepsi, dan persepsi itu memberi kesan pada kehadiran dan jualan.

  1. Selalu Akan Ada Yang Baru Mahu Mengenal Tadabbur

Sentiasa ada orang yang baru nak mengenali “tadabbur”.

Ada yang belek-belek karya saya, tidak jadi beli kerana katanya agak tinggi bahasanya, atau agak mahal.

Ada yang tersinggah sekejap di reruai kami kerana dia merana beratur panjang nak beli sebuah novel apa entah di kedai sebelah. Bila ditanya kenapa singgah, jawapnya “dah lama mak saya sebut tadabbur, tiba-tiba ternampak kedai tulis tadabbur”.

Ada yang saya jumpa meluahkan perjalanan hidupnya mencari Tuhan semasa saya “sign” buku yang dibelinya.

Ada yang saya terserempak di cafe makan PPAS, meluahkan dia mengikuti saya di sebuah platform penyampaian namun tidak menyedari kehadiran reruai saya di situ.

Semua pengalaman ini menjadikan saya sedar, kerja kita di PBAKL bukan hanya jual buku, tapi menjadi penunjuk arah kepada hati yang sedang mencari Tuhan.

  1. Pasukan Adalah Tulang Belakang Yang Tak Ternilai

Tanpa pasukan yang cekal, siapalah penulis.

Tim PISB, TC, Buku Faqih dan ALAF, anda bukan sekadar staf jualan, bahkan pendakwah tadabbur untuk 10 hari yang luar biasa.

Moga pengalaman berharga diperoleh walaupun anda tidak memakai uniform penulis.

Niat kita selain bekerja di WTC itu ialah mencari pengalaman dakwah al-Quran dengan pelbagai kategori manusia.

Rahmatan lil Alamin!

  1. Sumber Energi Terbesar: Isteri Saya Sendiri

Istimewa buat isteri saya, Nurul Suhadah Shuib. Beliau bukan sekadar komander perang Paradigma Ibrah, tapi juga PA kesihatan saya sepanjang 10 hari.

Tahun 2024, saya tumbang hari ke-8.

Tahun ini, Allah izinkan saya bertahan hingga ke hari terakhir. Walau tetap tumbang sehari selepas itu.

Tak mudah sebenarnya “bateri sosial” nak bertahan 10 hari tanpa sokongan dan perhatian seorang isteri yang setia.

Rumusannya, PBAKL bukanlah hanya pameran buku.

Ia adalah madrasah terbuka untuk pendakwah yang memilih sayap penyampaian dan sayap penulisan sebagai medan dakwahnya.

Kalau ada rezeki dan kekuatan dari Allah, kita jumpa lagi di PBAKL 2026.

“Menjunjung Titah Langit, Menyantuni Jiwa Bumi.”

Syaari Ab Rahman

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started