BEBERAPA MAKNA TERSIRAT DARI KISAH NABI ADAM AS DALAM SURAH AL-A’RAAF

1. PENGURUSAN KONFLIK
Apabila ada sesuatu konflik, hadapilah dengan bersemuka, usah pendamkan rasa. Iblis memilih untuk berdiam diri dengan memendam rasa irihatinya semasa Allah mengumumkan Nabi Adam sebagai khalifah. Tidak bersikap seperti Malaikat yang berani memohon pencerahan, Iblis mengikut perasaannya lalu membuat kesimpulan sendiri, kononnya Tuhan telah melakukan kesilapan dalam keputusan-Nya memilih Adam dan bukan dia sebagai khalifah.

2. FITNAH MATERIALISTIK
Iblis mahu kekalkan naratif kebenciannya dengan melihat Adam hanya dari tanah, bukan turut sama dimasukkan unsur ruh. Sedangkan sudah jelas di hadapan matanya sendiri bagaimana ruh yang istimewa ciptaan Tuhan itu telah ditiupkan masuk ke dalam tubuh Nabi Adam. Apabila Iblis menyebut “Adam dari tanah”, ia bermakna itulah kempennya hingga hari Kiamat. Ia mahu kita melihat hidup kita hanya mementingkan hak tubuh sahaja, abaikan hak ruh, besar-besarkan penampilan zahir dan kulit, tidak perlu hal-hal batin dan isi. Iblis juga mahu kita kekal melihat diri hanya dari unsur tanah sahaja, unsur yang sama membentuk binatang, agar manusia punyai sifat kebinatangan. Hidup hanya mementingkan kepentingan materialistik, menjadi tamak dan rakus, lalu membenarkan telahan malaikat iaitu Bani Adam bakal menumpahkan darah.

3. PENYAKIT ASABIYYAH
Bukan sifat ahli Syurga apabila mahu takabbur. Bagaimana takabbur bermula ? Anda rasa anda betul walau segenap bukti dan dalil sudah dikemukakan. Sanggup jatuh menjatuhkan antara satu sama lain demi status dan reputasi. Meskipun telah sampai pada anda kebenaran, hanya kerana fakta itu diungkapkan datang dari kumpulan lain, ia langsung tidak diterima. Iblis kekal menimbulkan isu “Adam dari tanah”, memejamkan mata dari fakta “Adam juga ditiupkan al-Ruh” dan sudah diberikan kelebihan tertentu untuk melayakkannya menjadi khalifah.

4. JANGAN RASA PALESTIN KALAH
Jangan nampak Allah SWT seakan mengalah, atau takut nak bertindak pada Iblis apabila ia memohon agar dipanjang umur. Selepas diperkenankan Tuhan, Iblis siap melafazkan akan menggunakan peluang penangguhan ajal itu untuk membuktikan kesilapan Tuhan kerana anak-anak Adam akan disesatkan bersamanya masuk ke Neraka. Allah sengaja memberikan “istidraj” pada Iblis sebagaimana Dia berhak memberi harta benda dan anak-pinak pada musuh-musuh-Nya dan mana-mana regim. Regim akan rasa mereka menang kerana seakan mereka boleh buat apa sahaja tanpa halangan. Kononnya Tuhan telah takut pada mereka. Sedangkan Allah menunjukkan Dia tidak pun terkesan dengan permintaan Iblis, Dia tidak sekali-kali takut dengan implikasi keputusan yang dibuat kerana Dia Maha Sempurna. Iblis merasakan dia berjaya pasang perangkap, sedangkan dia sebenarnya sedang menggali kuburnya sendiri.

5. FITNAH KETIKA BERAMAL
Iblis pernah berada di jalan lurus untuk satu tempoh yang lama. Iblis bersumpah akan duduk di permulaan jalan yang lurus, namun menghalang anak-anak Adam yang memilih untuk istiqamah di atas jalan yang lurus berkenaan. Setiap kali anak Adam membuat keputusan untuk berada di jalan yang lurus atau beramal soleh atau meninggalkan maksiat, ketika itulah Iblis akan mencelah dan mengganggu dengan upaya was-wasnya dari depan, belakang, kanan dan kiri Bani Adam.

6. PENYAKIT MEMBANDINGKAN
Iblis membisikkan pada Nabi Adam dengan kononnya realiti apabila turun ke bumi. Adam dibisikkan dengan seandainya dia beroleh kelebihan mendapat status malaikat di Syurga, maka tidak perlu bersusah-susah lalui hidup di dunia. Nabi Adam dialpakan dari rencana Tuhan yang sudah sangat rapi untuk dia turun berbakti di bumi. Adam dialpakan dengan kualiti “ahsani taqwim” yang Allah telah kurniakan padanya dan zuriatnya untuk memimpin bumi. Adam dialpakan dari fakta bahawa malaikat itu sudah sujud padanya, mengiktiraf kelebihannya yang dianugerahkan Tuhan, maka mengapa perlu mengidamkan pangkat malaikat yang kekal di syurga pula ? Adam diwas-waskan untuk tidak bersyukur dan menghargai jalan yang telah Tuhan tetapkan padanya.

7. PENYAKIT KHULDI
Adam dan zuriatnya akan diwas-waskan dengan kemahuan syahwah yang tidak pernah cukup, mahukan kedudukan yang lebih tinggi kerana ia kononnya menjamin hidup yang lebih bahagia untuk satu tempoh yang lama. Sungguh inilah tipudaya Iblis pada anak-anak Adam hingga hari Kiamat.

“Ini bukan hanya kisah Nabi Adam dan Iblis. Ini kisah mekanisme serangan Iblis kepada bangsa manusia dan orang beriman zaman berzaman. Mereka tidak pernah berehat, mereka tidak kelihatan, mereka makhluk berpengalaman. Maka ingat, apa jua kisah mengenai sikap Iblis, itulah sikap yang Iblis mahukan ia menimpa anak-anak Adam. Iblis mahu bawa anak-anak Adam merasai apa yang dia rasa. Tersakiti!”

Syaari Ab Rahman
MAKNA Kisah Nabi Adam (Siri 2)
Paradigma Ibrah Sdn. Bhd.

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started