
1.BERANI BERTANYA
Apabila anda tidak jelas sesuatu ayat, anda wajar bertanya dan ia bukan satu kesalahan. Tidak semua ayat Allah mampu difahami sepintas lalu. Kekadang Allah sengaja jadikan sesuatu ayat itu kelihatan sulit difahami di pandanganmu bertujuan agar berlaku proses mengaji, merujuk dan bertanya. Tanyalah apa yang menambah iman dan ketenangan dalam beribadah, bukannya untuk mencabar atau mempersoal. Itulah hikmah Malaikat berani bertanya meminta pencerahan dan hikmah dari penciptaan Adam.
2. MENYANTUNI
Mendidik dengan menjawab persoalan yang bermain dalam fikiran penuntut ilmu ialah tugas pendidik yang sangat mulia. “Tafsir” itu sendiri bermakna menjawab persoalan-persoalan yang tidak jelas mengenai sesuatu ayat. Bukan tidak sedikit ayat dalam al-Quran bermula dengan “mereka bertanya kepadamu” ? Allah telah menunjukkan “demontrasi” kelebihan Adam di hadapan Malaikat untuk menjawab persoalan Malaikat itu sendiri.
3. FIRASAT MUKMIN
Hati-hati dengan firasat orang beriman, mereka melihat dengan cahaya Allah. Perhatikan nasihat dan firasat sahabat kepada pemilik dua kebun dalam surah al-Kahfi. Ramalannya telah menjadi kenyataan iaitu kebun sahabatnya itu akan musnah jika kekal dengan sikap “Qarun” apabila masuk ke dalam kebun. Malaikat yang tercipta dari cahaya dan sentiasa taat pada Tuhannya punyai firasat mengenai manusia. Manusia apabila diberikan “freedom of will” seperti bangsa jin, kebanyakan manusia akan mengikut jejak jin iaitu mereka memilih untuk mengikut hawa nafsu dan melakukan kerosakan. Firasat malaikat bukan kenyataan tanpa asas, bahkan ada data dan “track record” dari zuriat Iblis yang menjadi rujukan.
4. PALESTIN
Jangan sekali-kali bersangka buruk dengan rencana Tuhan. Setiap regim yang menumpahkan darah sebagaimana kebimbangan Malaikat, sudah ada al-Asma’ iaitu figura-figura yang diatur Allah untuk mencegah kerosakan dan menghapuskan regim itu. Kisah Nabi Daud membunuh Jalut dalam surah al-Baqarah adalah contoh yang jelas pada kaedah Allah mencegah bumi dari pertumpahan darah. Kisah Nabi Daud ini juga selari dengan hadis sahih Nabi Adam memilih Nabi Daud semasa di alam ruh untuk diberikan 40 tahun dari umurnya. Kebetulan yang indah, hanya dua nama sahaja dalam al-Quran yang Allah sebut secara langsung “khalifah” iaitu Nabi Adam dan Nabi Daud.
5. TABAYYUN
Jangan ulas perkara yang kita tiada ilmu. Setiap kita ada ilmu yang terbatas. Sentiasa memastikan kita beroleh maklumat yang menyeluruh atau tunggu proses itu selesai sebelum diberi apa-apa kesimpulan. Malaikat akhirnya mengakui kekhilafan sudut pandang mereka pada Adam kerana pada waktu itu Adam belum ditiupkan al-Ruh. Kita umpama malaikat, kekadang takkan fahami perbuatan Tuhan pada kita. Kita umpama Musa dalam surah al-Kahfi, kekadang sulit difahami apa yang dilakukan Khadir. “Lack of knowledge of the entire plan”.
6. PENYAKIT GHURUR
Adakah dengan bertambah keilmuan kita dalam agama atau sumbangan kita pada perjuangan Islam, bertambah pula tunduk kita pada Dia ? Adakah kita berwatak seperti malaikat yang tidak pun berfikir dua kali apabila diperintah sujud, meskipun kalau difikirkan logik, malaikat jauh lebih senior dan lebih taat dari manusia ? Atau kita berwatak seperti Iblis yang mula menunggang isu penciptaan untuk menghalalkan rasa kecewanya tidak terpilih ? Rasa ghurur iaitu berbangga dengan pengalamannya “terpaling” berjasa pada Tuhan untuk satu tempoh yang sangat lama sebelum penciptaan Adam.
7. HIDUP BERJAMAAH
Manusia jangan memalaikatkan dirinya kerana itu menjauhkan diri dari sifat manusia yang dipilih Allah untuk menjadi khalifah. Malaikat telah sujud kepada Adam kerana Allah menjadikan pada Adam kelebihan tertentu yang tiada pada makhluk lain termasuk Malaikat. Sifat khalifah ialah mengenali setiap anak-anak Adam, melihat potensi “Daud” pada mereka dan sanggup buat apa sahaja untuk tujuan “empower” bakat anak-anak Adam. Bukan sebaliknya hanya beribadah, melangitkan diri dan menjauhkan diri dari manusia.
8. FITNAH MEDIA SOSIAL
Akhir zaman, media sosial boleh bertukar menjadi racun fikiran apabila anda menjadi ketagihan pada “recognition” orang lain pada diri anda. Anda tidak boleh terima ada orang lebih baik dari anda. Sama ada anda mahu menaikkan diri anda dengan menjatuhkan dia atau anda sentiasa tidak pernah rasa cukup dengan apa yang telah diberikan Tuhan. Ingatlah, awalan al-Quran ialah kisah dengki Iblis pada Adam, akhiran al-Quran ialah penyakit hasad dalam surah al-Falaq dan al-Nas
9. LICIKNYA TIPUDAYA SYAITAN
Manusia itu secara semulajadinya memang suka pada apa yang dilarang. Melainkan yang bertaqwa. Pelbagai kesenangan dalam syurga, pelbagai pokok dan buah-buahannya yang boleh dinikmati, namun syaitan akan memujuk juga anak-anak Adam untuk mendekati “satu pokok” berkenaan, yang asalnya tidak pun signifikan untuk diberi perhatian. Yang dilarang dalam agama ini sedikit sahaja jika dibandingkan dengan yang halal. Namun yang haram itulah yang mahu didekati, kononnya itulah “Khuldi” yang akan memberi bahagia untuk tempoh yang lama.
10. BAHAGIA DENGAN TAUBAT
Seteruk mana pun dosamu, Tuhan akan kembali menerima kamu apabila engkau bertaubat kepadanya dengan penuh kesungguhan. Bahkan boleh berlaku, kehidupan kamu selepas berdosa yang disusuli taubat itu, menjadi lebih baik. Adam tidak turun ke bumi untuk dihina Tuhannya atau dihukum tujuh keturunan. Bahkan Adam turun ke bumi dengan pangkat kenabian selepas dibersihkan dirinya dan isterinya dari dosa.

Rujukan
- Tafsir Tafhim al-Quran, Abul A’la al-Maududi
- Tafsir Tadabburi Quran, Amin Ahsan Islahi
- Sirah Adam, Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi
- Deeper Look, Ustadz Nouman Ali Khan
Leave a comment