APABILA BURUNG HUD-HUD TERBANG LAJU DENGAN DUA SAYAP SAHAJA UNTUK MISI MENGISLAMKAN SEBUAH LAGI NEGERI…
Tidak mudah mengurus sebuah syarikat bisnes pendidikan tadabbur al-Quran, dengan kedua-dua sayap penyampaian dan sayap penerbitannya memerlukan figura yang sama dan pasukan kerja yang terbatas jumlahnya.
Mujurlah Allah hadirkan puan isteri membantu dan bukan sekadar sedia bekerjasama, bahkan bekerja bersama.

Sebagai COO, puan Nurul Suhadah Shuib telah mengadakan bengkel siri pertama semalam untuk membangunkan SOP syarikat selepas membeli dan mengambil manfaat dari set modul sekolahbisnes dot com.
Mudah-mudahan sebelum tamat 2024, terbangunlah SOP Paradigma Ibrah Sdn. Bhd. asas yang lengkap merangkumi operasi, kewangan, jualan, pemasaran dan HR.
Bagi isteri saya, bekerja dengan ada SOP dilihat satu tuntutan dan merit penting sesebuah syarikat bisnes yang sudah hampir 10 tahun dan mahu terus membesar.
Bagi saya pula, ia lebih dari itu, ia hakikatnya satu ibadah dan manifestasi cara kerja “itqan” yang Allah redha.
Kita tidak boleh “selekeh” dalam pekerjaan atas nama perjuangan al-Quran.
Kita tidak boleh jatuh ke lubang yang sama dua tiga kali.
Musuh kepada kejayaan ialah konsistensi !
Maka apa yang baik-baik dari pengalaman kerja orang-orang dahulu, itu mesti didokumentasi agar organisasi terus releven menyebar ilmu dan budi. Orang lama mungkin pergi, tetapi orang baru tidak terpinga-pinga kerana sudah ada “manhaj” kerja dan SOP.

Bukankah kisah pemuda al-Kahfi mengajar makna jelas mengikut arahan “satu persatu” apabila turun membeli makanan buat para pemuda dalam gua yang kelaparan ?
Jika tidak patuh pada mana-mana “prosedur” yang telah disarankan oleh si ketua yang pastinya lebih berpengalaman, bahaya akan mendatangi para pemuda. Tanda mukmin diberikan rahmat, ia akan fikirkan usaha mengelak bahaya. Perhatikanlah ayat 19 surah al-Kahfi.
Bukankah arahan Zulqarnain pada penduduk hentian ketiga, arahan itu bersifat “satu persatu” hingga diperincikan dalam al-Quran, sehingga jika satu langkah tertinggal atau terlepas pandang, ia akan memberi kesan “kezaliman” pada orang lain atau kegagalan langkah seterusnya ?
Sesungguhnya kisah Zulqarnain bukan hanya kisah kejayaan membangunkan tembok yang kukuh dari serangan Yakjuj dan Makjuj, bahkan “tadabbur” seorang CEO akan melihat ia sebagai kisah kaedah menyumbang produk yang berkualiti dan bertahan lama memberi servis yang tinggi manfaatnya. Perhatikan ayat 96 surah al-Kahfi.
Bukankah itu ruh dan makna “SOP” ?
Allah mencipta masa. Allah tidak memerlukan masa untuk mencipta langit dan bumi serta apa antara keduanya. Namun pasti ada hikmah Allah menyebut perihal “enam masa” semasa proses penciptaan langit dan bumi dalam surah al-Sajdah.
Sama ada surah al-Sajdah atau al-Kahfi, kelihatannya setiap Jumaat kita diingatkan mengenai pengurusan sistematik, profesional dan keperluan kepada “SOP”.
Kita sendiri belajar bagaimana 2-3 ayat turun pada Nabi SAW, memandu “satu-persatu” perjalanan Nabi SAW menuju kemenangan, kemudian Nabi SAW memerintahkan agar ayat-ayat itu ditulis di pelepah tamar, jadikan ia “dokumentasi” yang kelak dinamakan “mushaf” – kalam Allah yang tidak mengalami perubahan, yang tersusun dengan sistematik dari al-Fatihah hingga al-Naas – yang kelak membantu orang yang datang kemudian beroleh manfaat untuk menuju kekuatan dan kemenangan yang sama, dengan izin Tuhannya.
Bergerak dengan SOP bukan mengikuti Barat. Bahkan Barat yang sedang mengikuti “Islam”. Barat tidak mengenali apa itu bekerja sebagai “khalifah”.
Bahkan seorang khalifah itu mesti beriman bahawa tiada makna “SOP”, atau hukum “cause and effect” tanpa lafaz “inshaallah” dan “masha-allah” yang dialpakan sang pemilik dua kebun, yang terlajak untung dengan pelbagai SOP sehingga sentiasa “masyuk” saban hari.
Khalifah dan sifat “bekerja betul-betul selepas memilih kerja yang betul” itu tidak boleh dipisahkan.
Moga satu hari nanti bila saya mati, apa yang sudah ada pada Paradigma Ibrah ini, kerana salah satu dari huruf PISB ialah “B”, moga bolehlah ia menjadi “benchmark” pada mana-mana entiti bisnes berteraskan pendidikan al-Quran. Legasi !

Inshaallah
Syaari Ab Rahman
CEO
Paradigma Ibrah Sdn. Bhd.
Leave a comment