MERDEKAKAN JIWA DENGAN PETUNJUK DARI SURAH AL-MAIDAH (BAHAGIAN 2)

Sempena bulan kemerdekaan, juga menuju kemerdekaan Palestin, ayuh merdekakan jiwa dengan petunjuk al-Quran. Ayuh ambil satu surah sebagai fokus dan pedoman.

Saya cadangkan SURAH AL-MAIDAH!

Mengapa surah al-Maidah?

Kerana ia antara surah yang terakhir diturunkan pada Nabi SAW iaitu selepas pembukaan Makkah. Apa makna turun selepas pembukaan Makkah?

Ia akan mendidik kita apakah agenda penting selepas pembebasan Masjidil Haram dari “penjajahan” jahiliah dan ajaran syirik yang sudah berakar ratusan tahun di tanah suci Makkah.

Apa agenda penting selepas pembebasan Masjidil Haram? Ada masjid lain juga perlu dibebaskan selepas masjid ini? Tidak bolehkah berpada dengan masjid ini kerana itulah tanah suci yang didoakan Nabi Ibrahim AS?

Tanah suci dengan berkat kehadiran Nabi Ibrahim bukan hanya tanah suci Makkah dan Masjidil Haram. Jangan lupa tanah suci Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa yang juga diberkati kerana kehadiran para anbiya dari keturunan anak cucu cicit Nabi Ibrahim.

Pasti ada sebab Baginda diperjalankan ke sana pada malam Mikraj sebelum Baginda berhijrah ke Madinah.

Apa kaitan dengan surah al-Maidah?

Bukankah dalam surah ini sahaja, tiada di tempat lain dalam al-Quran, adanya babak Nabi Musa memimpin ratusan ribu Bani Israil mahu membebaskan Ardhul Muqaddasah iaitu Palestin dan Masjidil Aqsa dari penjajahan?

Perhatikanlah dengan teliti ayat 20 hingga 26.

Bayangkanlah apa agaknya mesej tersirat dari kisah berkenaan pada Nabi SAW dan para Sahabat RA sebagai insan pertama penerima kisah ini.

Tidak sekejap Nabi SAW solat mengadap Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa sekaligus dari penjuru rukun Yamani Kaabah.

Jangan lupa, inilah kisah terakhir Nabi Musa AS yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Kisah yang paling banyak dalam al-Quran iaitu kisah Nabi Musa punyai konten yang paling tepat dengan waktu penurunan yang paling tepat sekali.

Wallahu a’lam

Syaari Ab Rahman
Menuju Pembebasan Jiwa : Mendekati Surah al-Maidah
4 Safar 1446 H

#merdekakanjiwadenganalquran
#kemerdekaanhakiki
#kemenangansebenar
#paradigmaibrah
#tadabburcentre

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started