MEMASUKI USIA 42, MAHU LEBIH BANYAK MASA DENGAN ANAK-ANAK MUDA

Usrah Anak Muda al-Sobah (USAMAH) di pejabat saya semalam, saya jelaskan mengapa perlu frasa إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ ketika Allah mengarahkan Musa dari Lembah Thuwa menuju Firaun.

Frasa ayat fa-sa-qa pada ayat 32 dari surah al-Qasas yang menggambarkan rosaknya fitrah Firaun dan regimnya sehingga tiada manusia waras boleh menerima perbuatan itu.

Tidak perlu jadi “pengikut Musa” yang beriman untuk menolak tindakan regim kefiraunan zaman berzaman itu. Usahkan hukum agama, undang-undang antarabangsa pun dilanggar oleh binatang buas ini.

Melawan regim tidak boleh hanya ikut-ikutan dan marah sahaja. Kelak “perjuangan” itu jadi bermusim. Kerana hal-hal fakta dan data mengenai kezaliman itu, semua “ke laut”.

Kita tidak perlukan suara ICJ sebenarnya untuk faham kezaliman yang sudah berlarutan menghampiri 300 hari dengan jumlah korban sudah menghampiri 40 ribu syuhada’.

Namun sekurang-kurangnya, khusus buat generasi anak muda, mereka diharapkan boleh faham apa itu “pendudukan haram”, apa itu makna perjuangan menghadapi regim “tidak bermula sejak 7 Oktober”.

Paling penting adik-adik USAMAH boleh rasa takjub dengan hikmah penyebutan إِلَى فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ pada Firaun berkenaan dalam al-Quran.

Juga saya kongsikan pada adik-adik dalam siri ke 11 USAMAH setiap bulan ini mengenai ketakjuban saya pada hikmah kisah penasihat Firaun dalam surah Ghafir sebaik sahaja saya mendengar keputusan The Hague ini semalam.

Pelbagai “nasihat” sudah diberikan, Firaun tetap Firaun. Semoga ajal mereka di “laut merah” semakin hampir.

‎وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ الْحُسْنَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ بِمَا صَبَرُواْ وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُ وَمَا كَانُواْ يَعْرِشُونَ

(7:137) Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi).

Memasuki usia 42 tahun, saya mahu lebih banyak masa membangunkan pelapis, di samping lebih banyak masa bersama keluarga dan dunia pahala selepas mati, penulisan. Inshaallah

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started