
- Berdoa minta agar diberi kekuatan menghadapi takdir Allah. Apabila takdir Dia tiba-tiba mengatasi tadbir kita, itulah “Hudaibiyah” yang mendatangi diari kehidupan kita. Rencana Allah sentiasa mengatasi rencana hamba-Nya. Rencana “Kami” sentiasa memberi kebaikan yang banyak berbanding kemahuan kita.
- Kemenangan Islam ialah membuka pintu hati manusia kepada Islam, bukan sekadar kemenangan di medan perang, kekuasaan atau politik pilihanraya. Ayuh bekerja “memenangkan Islam” walau pada waktu ini, kita dihalang dari “memasuki” Masjidil Aqsa sebagai penguasa. Ada ramai non-Muslim di sekeliling anda. Ada ramai anak muda Melayu Muslim di luar sana yang batin mereka meminta pertolongan anda untuk diisi dan dibacakan “surat-surat yang ada cop mohor Nabi SAW” selepas Hudaibiyah.
- Jangan membuat keputusan-keputusan penting semasa marah. Jauh media sosial semasa marah. Jauhi kumpulan yang merosakkan atau selalu membakar sentimen kepuakan. Kepahlawanan sebenar pada menahan marah, bukan pada bertumbuk dan menumpahkan darah. Bertenanglah seketika, kembalikan “mindfulness”, kembalikan tomakninah dalam solat, kembalikan kewarasan dan sikap objektif agar terhasilnya keputusan yang lebih matang dan ahsan.
- Buatlah persiapan untuk mengerjakan musim haji. Jika belum dapat giliran atau giliran lambat lagi, ingatlah peristiwa Hudaibiyyah kerana 1400 orang para sahabat itu pun “belum dapat rezeki” menziarahi Baitullah ketika mereka nak sangat-sangat, rindu sangat-sangat. Jangan hanya kejar “title” atau pahala sahaja dalam mindset haji, bahkan fikirkan dari sekarang bagaimana nak berukhuwwah merentas daerah, negeri, bahkan bangsa dan negara. Kuasai bahasa Inggeris atau bahasa Arab komunikasi dari sekarang agar musim haji menghadiahkan begitu besar jumlah kawan-kawan baru dari serata dunia untuk saling ingat mengingati selepas meninggalkan tanah suci dan musim haji. Pergi lewat sedikit namun dengan ada persiapan lebih baik dari gopoh-gapah ke sana tanpa ada penghayatan dan persiapan.
- Janji Allah memenangkan Palestin pasti berlaku. Jangan sekali ragu “mimpi Rasul” tahun 6 H itu. Tasbihkan segera fikiranmu jika syaitan meragukanmu. Kemudian fokuslah pada bekerja mengislah ummat, usah didebatkan bila kedatangan Mahdi, Nabi Isa dan detik perang dunia ketiga. Belajar dari Umar RA, insan paling kritikal dengan Hudaibiyyah, insan yang sama paling kuat bekerja membuktikan kebenaran Hudaibiyyah, menundukkan Romawi dan Parsi sebagai laluan ke arah Masjidil Aqsa jatuh ke tangan kaum Muslimin.
Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
Refleksi Surah al-Fath (RAFAH)
Siri 1
Leave a comment