
Selepas kelas daurah RAFAH sesi 1 selesai dan saya sempat membelek beberapa karya tafsir, ada persoalan belum berjawab dengan puas iaitu rahsia susunan tiga ayat pertama surah yang Nabi SAW sangat cintai lebih dari dunia dan segala isinya.
Tiga ayat pertama surah al-Fath mengumumkan EMPAT faedah Hudaibiyah.
Pertama, Nabi diangkat sebagai insan paling tinggi darjat di Akhirat selepas bergelar ketua para Rasul semasa di dunia. Perbahasan kalimah “za-na-ba” menarik untuk diperhatikan dalam tafsir Ibnu Ashur dan Amin Ahsan Islahi.
Kedua, Nabi diberi “penyempurnaan nikmat” iaitu berlakunya nikmat kekuasaan politik (kerana Makkah ialah “ummul qura” tanah Arab), kekuatan ketenteraan dan masuknya wilayah-wilayah Jazirah Arab bernaung di bawah pemerintahan Nabi.
Ketiga, Nabi akan memimpin “jalan yang lurus” pada ummatnya iaitu tertegaknya syariat tanpa ada halangan dari sesiapa. Semua titah perintah wahyu dapat dilaksanakan tanpa ada lagi yang perlu dikecualikan atau ditangguhkan.
Keempat, Nabi diberi kemenangan demi kemenangan di medan perang. Semua musuh yang mahu menghalang Makkah dan Madinah beroperasi sebagai pusat penyebaran Islam ke seluruh dunia akan digagalkan usaha mereka.
Mari perhatikan keindahan susunan pengumuman empat faedah ini.
Faedah pertama (pengampunan) mesti mendahului tiga faedah selepasnya (penguasaan Makkah dan nikmat musim haji, pengamalan syariat, kemenangan perang) kerana faedah keakhiratan jauh lebih penting dari faedah bersangkut paut dengan keduniaan.
Masih ingat doa Nabi Sulaiman AS dalam surah Saad ? Baginda mahukan maghfirah terlebih dahulu sebelum meminta kerajaan paling besar yang tidak dikurniakan kepada sesiapa selepas baginda.
Faedah kedua (penguasaan Makkah) mesti mendahului faedah ketiga (pengamalan syariat) kerana cara hidup yang menurut syariat Islam sepenuhnya tidak boleh dilakukan jika sempadan negara terdedah kepada bahaya serangan musuh.
Hudaibiyah sendiri menghantar mesej pada Nabi dan para sahabat bahawa apa makna umrah jika dilaksanakan juga pada tahun 6 H jika ia dilakukan para sahabat dengan rasa ketakutan pada tindak balas musuh iaitu kaum Quraish yang masih mentadbir bumi Makkah. Bukankah masing-masing pula sedang berada pada suhu panas pertembungan demi pertembungan sebelum ini, lalu risiko pertumpahan darah yang boleh terjadi pada bila-bila masa di tanah haram berkenaan ?
Bernaung di bawah Madinah dan Makkah bermakna “rumahtangga” kabilah-kabilah dan negeri-negeri di Jazirah Arab telah bersatu sebagai “adik-beradik” yang saling melindungi antara satu sama lain, bersatu seperti satu tubuh yang sempurna tanpa ada lagi “sempadan”.
Faedah ketiga (cara hidup Islam) mesti datang selepas faedah kedua (kemenangan politik) kerana apa beza “pembukaan” dengan “penaklukan”, apa beza kaum muslimin berperang dan kaum kafir berperang jika tiada “pengisian”, tiada para sahabat dan ulama dihantar pada negeri-negeri dan daerah-daerah yang telah tunduk dan dikuasai sepenuhnya ?
Faedah keempat (pertolongan di medan perang) mesti hadir menutup tirai tiga faedah sebelumnya kerana ia bertindak seperti “pagar” yang mesti memelihara keselamatan kaum muslimin di mana-mana sahaja mereka berada untuk satu tempoh masa yang panjang.
Musuh-musuh Islam akan mengintai peluang memusnahkan “rumah” Islam yang telah dibina Nabi SAW. Maka, menghadapi pengganas yang mahu menyerang dengan pedang, ummat ini mesti bersedia menghadapi kedatangan mereka dengan pedang.
Menariknya, faedah keempat diletakkan berasingan dari tiga faedah sebelumnya. Ia berdiri sendiri sebagai ayat 3 dan diasingkan sepenuhnya dari ayat 2.
Mungkin ada hikmahnya. Seakan pemisahan dari ayat 2 itu mengisyaratkan zaman terpisahnya Nabi dengan ummat yang hadir kemudian kerana Nabi sudah wafat.
Seakan mahu meminta perhatian lebih kepada kaum muslimin yang hadir kemudian untuk memberi perhatian pada aspek jihad mempertahan negeri-negeri Islam yang telah dibuka pasukan Nabi SAW.
Seakan-akan inilah perkara yang sering diabaikan ummat yang datang kemudian sehingga apa yang selama ini dibina, roboh satu-persatu kerana tidak mahu berjihad, meninggalkan “surah Muhammad” yang mesti berada di hadapan “surah al-Fath”, kaum muslimin ditimpa penyakit al-Wahnu, sangat ramai di sana sini, namun seperti buih di lautan, ditimpa penyakit cintakan dunia dan takutkan mati.
Wallahu a’lam.
Syaari Ab Rahman
Refleksi Surah al-Fath (RAFAH)
Siri 1
Leave a comment