Setiap kali ke pejabat di surau al-Sobah, setiap kali itu saya akan melalui SMK Jalan Tiga. Jauh dalam hati, sanubari ini sentiasa berbisik, “Moga ada mutiara dapat aku temui di sekolah bersebelahan pejabatku ini.”
Tidak sekali. Sudah beberapa kali. Bila aku ikhlaskan niat mahu menyebarkan al-Quran pada anak-anak muda dan remaja, Allah terus permudahkan urusan.
Terima kasih ustazah Amida yang menjadi asbab saya dapat terus menyantuni anak-anak tingkatan 3 (kelas bahasa Arab) di sini.
Dari sebuah program besar motivasi bahasa al-Quran diadakan sendiri di surau al-Sobah, hasrat agar dikecilkan lagi jumlah adik-adik kepada yang benar-benar mahu mendalami al-Quran, dipermudahkan Tuhan.
Hari ini bermulalah siri pertama, bulan pertama saya mengendalikan usrah tadabbur pada adik-adik.
Saya letakkan syarat agar yang hadir hanya adik-adik yang mahu sahaja, tanpa pengaruh sesiapa, bukan juga kemahuan ibubapa mereka. Saya mahu temui mereka dan bersembang mengenai mengapa hidup kita memerlukan al-Quran.
Melihat adik-adik ini bermakna melihat masa depan perjuangan tadabbur al-Quran. Melihat mereka bermakna melihat masa lampau saya. Saya pernah berada di posisi mereka, tingkatan tiga SMK biasa ada bahasa Arab, tercari-cari murabbi.
Alhamdulillah, usrah jam 7.30-8.30 pagi tadi saya fokus pada lima gerakan solat yang ada hikmah dan falsafahnya dalam kehidupan seorang remaja.
Saya datangkan lima nas al-Quran bagi menyokong hikmah berkenaan. Semoga adik-adik lebih jelas apa makna “hayya ala al-solah, hayya ala al-falah”.
Menuju hari-hari melepasi umur 40, kepuasan hidup ternyata tidak lagi terletak pada sejauhmana pendapatan bulanan. Bahkan pada membina generasi baru yang sudi meneruskan perjuangan selepas kematian, وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا
Semoga Allah berkati usaha kecil kami dan Tadabbur Centre membuka tirai 2024 dengan kesungguhan mendekati anak-anak muda menerusi USAMAH dan remaja SMK Jalan Tiga.
Apa yang tidak mampu diusahakan semua, jangan tinggal semua. Jika tidak sekarang, bila lagi ? Jika bukan kita, siapa lagi ?
Syaari Ab Rahman
11 Rejab 1445
“Ramadhan, Menuju al-Mukhbitun”





Leave a comment