IBRAH KISAH PEMUDA AL-KAHFI BUAT PENJAWAT AWAM

1. Mulakanlah pekerjaan anda dengan mengangkat tangan berdoa agar Allah memberikan keberkatan kepada pekerjaan anda sehingga apa yang anda lakukan hari ini, manfaatnya berpanjangan walau selepas anda mati.

Perhatikan pemuda al-Kahfi, kisah mereka diabadikan hingga hari Kiamat tanpa mereka sendiri menjangkakan. Berdasarkan ayat 10, kisah kepahlawanan mereka ternyata dimulakan al-Quran dengan aksi berdoa kepada Tuhan.

2. Salinglah membahu dan membantu dengan setiap ahli dalam pasukan dan jabatan masing-masing, sehingga satu bahagian tubuh sakit, yang lain turut sama terasa demamnya. Pemuda al-Kahfi bukanlah para nabi. Bahkan (barangkali) tidak hidup pada zaman mana-mana nabi.

Namun barakah kerja berjamaah, bertemu dan berpisah kerana Allah, walau tahap iman kalangan mereka mungkin berbeza-beza di sisi Tuhan, namun ketujuh-tujuh pemuda berkenaan, tanpa terkecuali walau seorang, telah terpilih untuk melihat tanda-tanda kekuasaan Allah yang menimpa tubuh mereka sendiri selepas 300 tahun.

3. Tegurlah segala bentuk salah laku yang terjadi dalam organisasi walau ia membabitkan pimpinan tertinggi, di setiap peringkat. Jangan bersekongkol dengan kezaliman atau berdiam diri ketika mengetahuinya sehingga lebih ramai menjadi mangsa.

Ayat 14 dan 20 menunjukkan pemuda al-Kahfi memilih untuk menyampaikan kebenaran walau harga yang perlu dibayar sangatlah mahal. Namun Allah SWT telah menggantikan pengorbanan mereka dengan bantuan yang sangat ajaib, yang tidak pun mereka duga selepas mereka dibangunkan dari lena panjang yang disangka seharian.

4. Janganlah culas dengan tugasan. Janganlah bekerja bagaikan melepaskan batuk di tangga. Menjadi khalifah Allah bermakna berusaha menjelmakan nilai-nilai al-Asma al-Husna dalam kehidupan dan pekerjaan.

Berdasarkan ayat 17-18, penjawat awam boleh belajar perihal profesionalisme dan itqan dari kaifiat Allah al-Qayyum memelihara tubuh kesemua pemuda dengan penuh ketelitian, tiada kecacatan dan kerosakan pada perancangan yang telah diatur Tuhan.

Sesuatu yang telah dimulakan, jangan dibiarkan terbengkalai di tengah jalan. Sempurnakan hingga ke garisan penamat.

Apabila sesuatu kerja itu dilakukan dengan sifat rahmah, kesan kebaikannya pasti berpanjangan.

5. Majikan atau kepimpinan berilah sesuatu tugasan berdasarkan tahap kepakaran (al-Qawi) dan kejujuran (al-Amin), bukan semberono atau tangkap muat.

Ayat 19 menjelaskan bagaimana proses shura berlaku kalangan pemuda al-Kahfi untuk memilih seorang yang boleh melakukan pekerjaan paling berisiko iaitu mendapatkan makanan yang halal dan berkualiti untuk kesemua mereka di gua.

Diperjelaskan dengan terperinci langkah-langkah mengelak bahaya agar perjalanan utusan mereka selamat pergi dan selamat pulang.

6. Sentiasa mengkaji ancaman dan membaca bahaya yang boleh datang dari masa hadapan pada organisasi. Sediakan payung sebelum hujan agar konsep tawakkal kepada Tuhan tidak disalahertikan.

Tidak sekali Al-Quran menyebut kalimah anjing dalam kisah yang menjadi sebab nama surah ini al-Kahfi. Pasti ada hikmah dan pelajaran untuk diambil mukmin apabila ayat 18 memaparkan sikap pemuda al-Kahfi mengelakkan ancaman keselamatan semasa mereka tidur dengan membawa bersama anjing mereka.

7. Senjata paling ampuh memerangi rasuah kalangan penjawat awam ialah kepercayaan pada hari pembalasan.

Berdasarkan ayat 21, mesej utama dari kisah bangunnya pemuda al-Kahfi dari tidur selepas dianggap sudah mati ratusan tahun ialah Allah Maha Berkuasa menghidupkan semula manusia yang sudah ratusan bahkan ribuan tahun di dalam kubur.

Bangunnya manusia untuk berdiri di hadapan Tuhan, di situlah segala jenayah akan terbongkar, segala rahsia akan terdedah, pesalah yang berjaya melarikan diri dari mahkamah dunia akhirnya menuju ke lubang Neraka, kekal di dalamnya selamanya.

Barangkali inilah juga sebab kisah Fityah al-Kahfi ini mesti dibaca seminggu sekali sebagai peringatan kepada penjawat awam dan seluruh kaum muslimin.

Kisah-kisah al-Quran sentiasa “hidup” bagi mereka yang memahami bahawa ia ucapan Tuhan buat manusia yang mahukan petunjuk di sepanjang zaman.


Wallahu a’lam
Barakallah fikum

Syaari Ab Rahman
Tadabbur Centre Sdn. Bhd.

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started