INDAHNYA HUBUNGAN SURAH AL-NAML DAN AL-MUJADALAH

Penggunaan kalimah مع yang diucapkan permaisuri Saba’ dalam ayat 44 mengajar kita dua makna serentak.

Pertamanya, agar membesarkan Allah itu lebih daripada orang yang menyampaikan dakwah itu sendiri. Agar jangan sampai menyanjung dan mempertuhan orang-orang soleh. Ini kerana kalimah tersebut menggambarkan erti duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.

Keduanya, permaisuri Saba’ tetap menzahirkan rasa terima kasih kepada baginda kerana menjadi asbab pengislamannya. Tanpa kebijaksanaan dan hikmah siasah yang tinggi dari baginda, barangkali permaisuri Saba’ akan kekal dengan naratif yang salah dan kekal وَصَدَّهَا مَا كَانَت تَّعْبُدُ مِن دُونِ اللَّهِ .

Ini juga persamaan yang indah dengan perintah agar kaum muslimin apabila selesai majlis dengan Nabi صلى الله عليه وسلم (al-Mujadalah ayat 11 ; وَإِذَا قِيلَ انشُزُوا فَانشُزُوا ), segera bangunlah dan pulanglah kepada keluarga dan kehidupan seharian.

Usah menunjuk-nunjuk kita penyokong tegar Baginda sehingga Nabi perlu diberitahu peranan dan besarnya pengaruh yang boleh kita bawa pada mengembangkan Islam.

Usahlah membebankan masa Nabi dengan persoalan-persoalan yang boleh sahaja diajukan kepada orang-orang kanan Baginda. Barangkali Nabi sudah pernah menjawab persoalan sebegitu, cuma jawapannya tidak sampai kepada penanya. Nabi juga ada isteri, anak-anak dan keluarga untuk disantuni dan “dipantulkan” al-Quran selepas para Sahabat menikmati pantulan itu.

Masa untuk para sahabat dan kita mengamalkan al-Quran, bukan lagi sekadar mendengar syarahan tanpa sebarang perubahan sikap dan penambahbaikan nilai dalam pekerjaan seharian.

Bukankah surah al-Asr yang disunnahkan untuk dibacakan selepas majlis ilmu itu menuntut kita bangun dan menyebarkan apa telah kita dengar kepada orang lain ?

Indah surah-surah yang memaparkan kisah wanita sama ada di permulaan surah atau di tengah-tengah atau di hujung. Tadabburlah !

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started