AL-KAHFI, ZULQARNAIN DAN MENGIBRAHI PILIHANRAYA ENAM NEGERI

Hari ini hari Jumaat. Kita membaca surah al-Kahfi. Kita bertemu kisah Zulqarnain, pemimpin soleh yang berjalan ke sana sini, turun ke lapangan menyebarkan Islam, keadilan dan rahmah kepada setiap penduduk.

Didiklah anak untuk menjadi seperti Zulqarnain.

Simpan cita-cita untuk berjalan dari satu negeri ke satu negeri, mahu menyebarkan Islam, keadilan dan rahmah kepada setiap penduduk.

Semuanya mesti bermula dengan pengetahuan paling asas iaitulah “hentian-hentian” yang mesti disinggahi “Zulqarnain-Zulqarnain” cilik dalam rumah kita.

Oleh itu, tidaklah rugi untuk cari semula segera peta besar Semenanjung Malaysia dan akhbar-akhbar yang memaparkan dengan lengkap senarai calon yang bertanding.

Esok malam ketika satu persatu keputusan diumumkan SPR, itulah waktu terbaik untuk anak-anak ini mengetahui bahagian-bahagian yang lebih kecil (DUN) yang membentuk sesebuah “negeri” selepas PRU 15 lepas anak-anak berjinak dengan kawasan-kawasan besar (Parlimen) yang membentuk sesebuah “negara”.

Ajar mereka di hadapan televisyen dan media sosial untuk “berjalan” dari satu negeri ke satu negeri, dari satu DUN ke satu DUN, dari satu peti undi ke satu peti undi.

Apa pilihan parti politik yang mereka pilih, jadikan isu kedua untuk anak-anak kita.

Paling penting, dia kenal setiap enam negeri itu, kenapa ada DUN terlalu besar atau terlalu kecil saiznya berbanding yang lain, hargai berapa ramai manusia yang ada di kawasan muka bumi Allah itu, orang tua atau orang muda yang mendominasi kawasan itu, kaum lelaki atau kaum wanita yang lebih ramai di situ.

Matlamatnya hanya satu, anak-anak lebih kenal “Konstantinopel” sebelum misi membuka pintu hati manusia dengan dakwah dilakukan.

Moga satu hari nanti, bila anak-anak ini bermusafir ke serata empat belas di tanah air ini, dia akan sentiasa teringat prinsip Zulqarnain, “di mana bumi dipijak, di situ Islam dijunjung”.

Seperti ungkapan Hassan al-Banna “di mana ada manusia, di situ dakwah dilaksana”. Jiwa besar pendakwah yang merentasi “warna” dan sempadan politik kepartian.

Dari Utara ke Selatan, dari Timur ke Barat, dari Semenanjung ke Borneo, dari kawasan bandar ke kawasan kampung, hidup mati memperjuang rahmat dari kalam Tuhan disebarkan.

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started