BERSAMA HIKMAH HURUF “NUN” DARI DR. MUHAMMAD ABDULLAH DIRAZ رحمه الله

Mengapa ada surah bermula dengan huruf-huruf yang tidak membawa apa-apa “makna” seperti apa yang dibawa oleh sesuatu kalimah dan ayat ?

Benarkah huruf seperti ن ini tiada “makna” atau kita yang gagal melakukan tadabbur kepadanya ?

Seperti diungkapkan Prof. Muhammad Abdullah Diraz, Maha Suci Allah dari berfirman kepada kita dalam sesuatu yang tidak dapat difahami.

Lalu apa makna “nun” di permulaan surah al-Qalam ?

Prof. menegaskan terlebih dahulu bahawa beliau berpegang teguh dengan manhaj salaf dengan tidak membahaskannya dan meyakini bahawa tetap ada rahsia di sebaliknya yang hakikat akhirnya hanya diketahui Allah SWT.

Namun itu tidak menghalang Prof. dari memberikan sudut pandang tadabburnya pada rahsia wujudnya kalimah sebegini di permulaan 29 surah dengan surah al-Qalam surah terakhir menurut turutan mushaf dari 29 surah sebegini.

Asalkan menepati dua syarat menurutnya iaitulah ;

  1. Tidak melampau batas pada menjelaskan maknanya sehingga keluar dari daerah teks dan kontekstual yang sepatutnya.
  2. Tidak menyatakan kefahaman tadabburnya kepada sesuatu nas itulah yang sebenarnya dikehendaki Allah.

Ada tiga hikmah kewujudan huruf “nun” dan seumpamanya menurut Prof. Dr. Muhammad Abdullah Diraz.

Pertamanya, ia mengajar kita pentingnya sifat merendah diri dan tawadhu’ di hadapan madrasah al-Quran. Jangan rasa diri sudah terpelajar sehingga merasa “dewasa” dan gagah di hadapan al-Quran. Kita kena sentiasa seumpama kanak-kanak yang perlu belajar menyebut sesuatu huruf dengan betul sebelum diajar membaca dan peringkat yang lebih tinggi darinya.

Kedua, ia mengajar kita untuk membaca al-Quran secara tartil dan perlahan-lahan, jangan gopoh-gapah. Sebutlah satu huruf ke satu huruf dengan jelas sehingga perbezaan tempat keluar huruf dari rongga mulut itu kelihatan jelas. Ini kalam Allah عز وجل , bukan kalam manusia.

Ketiga, ia membuktikan bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم yang Ummi telah belajar ilmu dari mahaguru yang bukan dari manusia. Apa maksudnya ?

Inshaallah saya akan jelaskan pandangan ini 28 Januari bersama Akademi Sinergi inshallah.

Surah al-Qalam, surah membangun peradaban !

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started