“Sakinah”, “mawaddah” dan “rahmah” antara matlamat penting diperingatkan surah al-Rum (30:21) untuk dicapai oleh setiap insan yang dipilih Allah memasuki alam berumahtangga.
Jika dalam surah al-Kahfi, “rahmah” menjelma dalam salah satu bentuknya iaitu berbezanya sudut pandang pemuda kepada gua yang mereka sangka sekadar tempat bersembunyi.
Manakala dalam kisah Musa dan Khadir عليهما السلام “rahmah” menjelma dalam bentuk berbezanya sudut pandang Musa kepada musibah yang sering dilihat sebagai semata-mata keburukan yang semata menyakitkan.
“Rahmah” sebeginilah yang diperlukan oleh kita ibubapa iaitu berubahnya sudut pandang kita kepada sesuatu termasuk anak-anak kita sendiri.
Anak-anak tidak dilihat sekadar amanah yang perlu dipelihara tumbesaran dan pendidikan mereka, bahkan sebagai asbab untuk ibubapanya sendiri mempelajari serba serbi seni kehidupan sebagai khalifah, atau sebaik-baik “manusia”.

Apabila ustaz Hasrizal Abdul Jamil berkongsi “77 Studies That Every Parent Needs To Know” tulisan Edward Watson, fahamlah saya betapa banyak lagi perihal dalam fikiran dan sains pembelajaran anak-anak yang belum saya fahami.
Alhamdulillah, dihadirkan Allah ke program anjuran Khalifah Education Foundation Khalifah Model School ini seakan tepat pada masanya. Kebetulan pada petang hari sama saya sudah atur bersama isteri untuk melakukan Retreat Keluarga di Hulu Langat.

Kami mahu melangkah masuk tahun 2023 dengan keazaman yang lebih serius untuk mempertingkat kualiti pendidikan keibubapaan kami agar kehidupan ini benar-benar menjadi medan pembelajaran, dari kehidupan berdua dahulu sehinggalah kehidupan berlima kini.
Di sinilah diharapkan turunnya salah satu “rahmah” Allah kepada kita ibubapa dengan Dia sudi mengilhamkan kita ilmu dan teknik yang baru untuk mendidik anak-anak yang sama.
Mustahil untuk menerima “rahmah” berbentuk ilmu kehidupan dan kejiwaan sebegini jika tidak menekuni kajian-kajian semasa dari Barat atau Timur mengenai psikologi pendidikan anak-anak.
Semoga Allah memberkati ustaz yang sudi memberi masanya kepada kami seketika dengan berkongsi sudut pandang ilmu dan pengalaman beliau mengenai topik “Strategi Keibubapaan Berasaskan Sains Keibubapaan” .


Ketika ustaz berkongsi kepentingan naratif baru dalam perbualan dengan anak-anak mengenai “cita-cita” iaitu dari “profesional base” kepada “values base”, terus saya teringat mengapa Allah memperkayakan Nabi Yusuf dengan seni تأويل الأحاديث yang tidak sebatas pentafsiran mimpi bahkan kemampuan Baginda memahami apa yang tersirat dari ucapan manusia di sekelilingnya.
Yusuf عليه السلام tidak pun tahu apa profesion, karier dan jawatan menantinya di masa depan. Namun yang jelas mimpi itu telah melorong baginda melalui “madrasah” pengkhalifahan yang diperkayakan di dalamnya kualiti-kualiti manusiawi dan komunikasi yang hanya ada di Mesir dan tidak di Palestin sehingga Allah SWT sendiri mengatur untuk Baginda perlu ke sana.
Inshaallah, “A Parent’s Guide to The Science of Learning” akan dijadikan rujukan penting bukan sekadar dalam proses mendidik anakanda Fatihah, Fatih dan Farahi, bahkan untuk saya sendiri lebih menghargai kisah-kisah keibubapaan dalam al-Quran yang pasti ada khazanah rahsia yang amat diperlukan manusia sepanjang zaman.
“Masyarakat yang suka membaca dan menghargai ilmu serta kajian-kajian semasa akan mengurangkan “bising” di media sosial kerana mengulas isu untuk menjadi popular tidak lagi menjadi pilihan dan kemahuan.”
Terima kasih sekali lagi UHAJ.
Semoga Allah melindungi dan memberkati ustaz sekeluarga di bumi Ireland. Inshaallah
Syaari Ab Rahman
31 Disember 2022

Leave a comment