Antara ayat yang memotivasikan saya dari surah Saba’ ialah ayat 46.
Kekadang kebenaran itu diraih dengan berada dalam kumpulan kecil berbanding kumpulan besar. Sudah pastinya ia pilihan yang mencabar kerana kumpulan kecil tidak sepopular kumpulan besar yang menjadi pilihan ramai.
Kekadang kita perlu adakan waktu meninggalkan seketika suasana bising dan sesak dalam “group”, lalu pergi mencari guru atau rakan yang boleh berfikir bersama dengan tenang dan boleh dibawa berbincang, atau pilihan terakhir ialah bersendirianlah seketika.
Ia amat penting untuk membenarkan proses BERFIKIR yang telah dimatikan oleh ketua puak atau cuba dihalang oleh komuniti yang telah dimasuki ketaksuban kepada perkara yang salah.
Propaganda diatur oleh musuh yang tidak kelihatan. Natijahnya ialah ketaksuban, iaitu penyakit yang tidak disedari bagaimana ia boleh masuk dalam fikiran. Mudah membuat kesimpulan, penyakit yang boleh terkena pada semua orang.
Maka kekalkanlah kewarasan berfikir dan ketenangan mencari jawapan dengan menseimbangkan waktu bersama kumpulan besar dengan waktu bersendirian.
Semoga Allah merahmati Shekh Dr Solah al-Khalidi yang pernah mengingatkan pentingnya memasuki alam al-Quran seakan-akan itulah kali pertama kita mendengar ayat tersebut.
Janganlah masuk ke dalam al-Quran dengan fahaman atau ideologi tertentu melainkan semata-mata mahukan kebenaran dari wahyu.
Bertemu Sabtu ini inshaallah
بسم الله الرحمن الرحيم
قُلْ إِنَّمَا أَعِظُكُم بِوَاحِدَةٍ أَن تَقُومُوا لِلَّهِ مَثْنَى وَفُرَادَى ثُمَّ تَتَفَكَّرُوا مَا بِصَاحِبِكُم مِّن جِنَّةٍ إِنْ هُوَ إِلاَّ نَذِيرٌ لَّكُم بَيْنَ يَدَيْ عَذَابٍ شَدِيدٍ
Saba’, 34 : 46
Abdullah Muhammad Basmeih : Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara BERDUA (dengan orang lain), atau SEORANG diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)”. Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat).




Leave a comment