SIAPAKAH DUA “KUMPULAN” YANG MENYEBABKAN PEMUDA AL-KAHFI DIBANGKITKAN ?

ثُمَّ بَعَثْنَاهُمْ لِنَعْلَمَ أَيُّ الْحِزْبَيْنِ أَحْصَى لِمَا لَبِثُوا أَمَدًا

Abdullah Muhammad Basmeih : Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). (Al-Kahfi, 18 : 12)

Menurut Dr Muhammad Inayatullah Subhani, “hizb” pada ayat ini tidaklah merujuk pada pemuda al-Kahfi sebagaimana pandangan kebanyakan ahli tafsir.

Para pemuda itu hanya berbeza pandangan, namun semua mereka tetap bersatu pada matlamat dan keimanan.

Kalimah “hizb” digunapakai pada satu kumpulan manusia yang besar yang bersatu pada matlamat yang sama.

Maka “hizbain” (dua kumpulan) merujuk pada dua kumpulan yang saling bertentangan matlamat. Ia seperti “hizb” Allah (kumpulan kebenaran) dan “hizb” syaitan (kumpulan kebatilan).

أَلا إِنَّ حِزْبَ الشَّيْطَانِ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Al-Mujadilah ayat 19

أُوْلَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Al-Mujadilah ayat 22

Maka “hizbain” pada ayat 12 surah al-Kahfi ini merujuk kepada dua “hizb” ;

Pertama, “hizb” Allah iaitu para pemuda al-Kahfi.

Mereka terlalu kerdil dari sudut jumlah, di hadapan mata kaum kafir, mereka umpama garam di atas makanan yang boleh ditepis begitu sahaja.

Kedua, “hizb” syaitan iaitu mereka yang kafir dan memerangi pemuda al-Kahfi.

Mereka kelihatan gagah perkasa, seluruh dunia seakan memihak kepada mereka, seluruh tentera dan senjata di tangan mereka untuk merejam pemuda al-Kahfi. يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِي مِلَّتِهِمْ !

Ketika “hizb” kedua menyangka dengan ketinggian kuasa dan ketajaman senjata, mereka akan hidup lebih lama dari “hizb” pertama, Allah al-Qawiyy al-Aziz tunjukkan sebaliknya !

Ketika “hizb” kedua menyangka istana dan tembok-tembok kebal mereka akan bertahan selamanya manakala apa yang cuba dilegasikan “hizb” pertama hanya akan bertahan beberapa hari sahaja sebelum dimusnahkan sepenuhnya, Allah al-Qawiyy al-Aziz tunjukkan sebaliknya !

Allah mahu memperlihatkan kepada “hizb” kedua iaitu ahlul batil bahawa kali ini mereka akan tersalah perhitungan sama sekali.

Allah mahu memperlihatkan kepada “hizb” pertama iaitu ahlul haq bahawa Tuhan akan memihak kepada mereka kali ini.

Walaupun mereka berjumlah kerdil sahaja, legasi mereka inilah yang akan diabadikan dan legasi musuh mereka yang akan dimusnahkan oleh makhluk bernama masa !

Sang matahari yang tidak pernah berputus asa mencari lokasi terbitnya, akhirnya muncul bersinar menenggelamkan kegelapan ketika dia menyangka dia akan menang lagi pusingan seterusnya !

Yang menyangka mereka akan hidup lebih lama, itu yang dimatikan lebih awal. Yang menyangka ajal mereka akan tiba pada esok hari, itu yang dipanjangkan umurnya jauh lebih lama.

Allahu Akbar !

Syaari Ab Rahman
24 Zulqaedah 1443 H

(Terkasima dengan beberapa buah pandangan penulis. Inilah contoh “tadabbur” sehingga kepelbagaian sudut pandang ulama ini menyebabkan kita akhirnya perlu memilih mana yang terbaik penghujahannya. Semoga dikurniakan masa membaca beberapa halaman lagi)

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started