AL-QURAN SEBAGAI RAHMAT?

Apa makna kenyataan di atas ? Ia bukan slogan kosong, tetapi berakar dari ayat 3 surah Luqman, surah yang berakarkan kisah seorang ayah yang penyayang.

Apa maknanya?

Di mana anda berada, masalah apa pun anda hadapi, al-Quran seperti menjadi penasihat sulit anda yang sangat menyayangi anda.

Ketika anda terlalu ingat pada anak kecil yang sakit sedangkan anda di perantauan, tiba-tiba Allah memperdengarkan ke telinga anda bacaan Yassin ayat 23 mengenai mudharat yang berlaku pada seseorang mukmin adalah sebenarnya rencana penuh kasih sayang dari Al-Rahman.

Ketika anda teringatkan hutang yang perlu diselesaikan, lalu anda terus langsaikan segera tanpa berfikir panjang, kemudiannya anda mula memikirkan kedudukan kewangan yang kurang stabil, tiba-tiba Allah memperdengarkan ke telinga anda ayat terakhir surah al-Jumuah mengenai Allah sebaik-baik pemberi rezeqi.

Ketika anda melihat kubur-kubur orang-orang yang sudah mati ratusan tahun dahulu, namun nama mereka terus dikumandangkan hingga ke hari ini, tiba-tiba Allah cetuskan dalam hati anda kisah lelaki yang dimuliakan Allah dalam surah Yaasin. Lalu anda membelek kisah itu dari ayat 20 hingga 27, lalu anda diberitahu menerusi ayat-ayat itu rahsia untuk menjadi lelaki yang mulia dan dimuliakan meskipun sudah mati.

Ketika anda berada di perkampungan yang diasaskan oleh pemerintah Muslim yang mahu mendamaikan dua kaum yang sering bercakaran, tiba-tiba Allah mengilhamkan anda surah al-Jumuah. Lalu teringatlah anda surah itulah yang diturunkan di awal-awal perjuangan Nabi di Madinah ketika mendamaikan Aus dan Khazraj.

Ketika anda berkunjung ke gereja yang telah dimasjidkan, tiba-tiba Allah mengilhamkan pada surah al-Saff. Lalu anda membeleknya dan meyakini satu hari nanti Nabi Isa akan hadir sekali lagi bagi membuktikan benarnya Injil pada menyatakan Muhammad صلى الله عليه وسلم sebagai Rasul yang akhir.

Ketika anda merentas lautan dalam, menyaksikan burung-burung terbang rendah mematuk ikan yang telah direzeqikan, tiba-tiba Allah ilhamkan kepada anda ayat-ayat mengenai kekuasaan Allah pada menyelamatkan bahtera Nuh, peti tabut bayi Musa dan Nabi Yunus di dalam perut ikan.

Di mana jua anda berada, di daratan atau di lautan, Al-Quran tidak berpisah dari hidup anda.

Fikiran anda sentiasa dikepung ayat-ayat al-Rahman.

Anda sangat merasakan adanya penasihat sulit ini yang bukan sekadar menegur, bahkan sentiasa memotivasikan anda.

Lalu, bagaimana mahu membumikan al-Quran sebagai rahmat dan penasihat ?

Hafaz ayat-ayat Allah.

Fahami tafsirannya sebaik mungkin.

Tiada tazakkur tanpa tadabbur.

Ya Allah, baluti kehidupan kami dengan rahmat kalam-Mu, rahmati kami dengan rahmat al-Quran.

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started