TADABBUR SURAH AL-TIN

  1. Nama surah berkaitan dengan ayat pertama. Sebahagian besar para ulama menyatakan ayat pertama surah ini mengisyaratkan tanah Syam dan Baitulmaqdis yang diberkati kerana diutusnya ramai para anbiya Bani Israil sehingga berakhir dengan terutusnya Nabi Isa AS. Thur Saina’ merujuk kepada lokasi kerasulan Nabi Musa manakala tanah Haram merujuk kepada lokasi kerasulan Rasulullah SAW.
  2. Sumpah dilakukan kepada al-Tin kerana sudah ada surah al-Thur yang merujuk lokasi Nabi Musa AS dan surah al-Balad yang merujuk lokasi perjuangan Nabi Muhammad SAW.
  3. Nama surah juga dikaitkan dengan lokasi perjuangan Nabi Nuh AS iaitu bukit Judiyy sebagaimana nama bukit itu disebut dalam surah Hud. Dikatakan di situlah generasi baru mukmin yang memakmurkan bumi Allah dilahirkan. Di situlah saksi kemenangan perjuangan Nabi Nuh AS dan benarnya janji Allah SWT untuk selamatkan orang mukmin apabila pendaratan mereka berakhir dengan bahtera diabadikan Allah SWT hingga dapat disaksikan generasi terkemudian sebagai peringatan.
  4. Bersesuaian surah ini dengan dua surah sebelumnya (al-Dhuha dan al-Sharah), Nabi SAW terus dididik dan dimotivasi untuk mempunyai azam dakwah yang kental pada dekatnya kemenangan dan cerahnya masa depan perjuangan menerusi tiga sumpah yang ada kaitan dengan perjuangan para Rasul Ulil Azmi.
  5. Nama surah menunjukkan risalah Rasulullah SAW mengenai hari pembalasan ialah risalah yang sama dibawa para anbiya terdahulu. Bahkan kesempurnaan penciptaan manusia itu terletak pada memelihara fitrah yang diberikan Allah iaitu adanya hari pembalasan.
  6. Ketiga-tiga sumpah berkaitan dengan tema kehidupan selepas kematian kerana buah tin dan buah zaitun itu pastinya berasal dari tanah yang asalnya mati sebelum didatangi hujan. Manakala Thur Saina’ menyaksikan tongkat Musa AS dari kayu mati Musa ular hidup. Tanah Haram pula dihidupkan Allah dengan air zam zam selepas doa Nabi Ibrahim AS untuk isterinya dan anakandanya Ismail yang ditinggalkan di Makkah. Maka risalah yang dibawa Rasulullah SAW mengenai kehidupan selepas kematian ialah risalah yang sama dibawa para Rasul terdahulu.
  7. Susunan sumpah dan nama surah pula menunjukkan sifat orang beriman itu seperti pohon, ia membesar dan berkembang lalu memberi manfaat kepada ramai manusia, meneduhi dan membuahi manusia sekelilingnya dengan manfaat.
  8. Dari sudut sains, antara buah terbaik untuk tubuh manusia iaitu buah Tin dan buah Zaitun membuktikan Allah sangat mengetahui apa keperluan terbaik manusia, maka surah membicarakan sempurnanya hidup manusia kerana diciptakan dengan fitrah bertuhan (cahaya pertama) dan keinginan kepada risalah para Rasul (cahaya kedua). Allah SWT jua paling tahu apa yang terbaik untuk tubuh dan ruh manusia.
  9. Surah bermula dengan tanah mati lalu dihidupkan Allah SWT dengan pepohon dan bebuah (seperti al Tin dan al Zaitun), surah berakhir dengan penegasan sikap Allah di hari pembalasan yang tiada lagi kematian. Itulah hari kehidupan selepas kematian, manusia yang sudah mati ribuan tahun akan menjadi seperti satu benih yang disiram, kemudian tumbuh sebagai manusia yang sempurna untuk berjalan menuju hisab.

Wallahu a’lam

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started