
TADABBUR AYAT 4
SURAH YUSUF
Oleh : Syaari Ab Rahman
إِذْ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَا أَبَتِ إِنِّي رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِي سَاجِدِينَ
(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku”. Yusuf: 4
- Mengapa Allah beri wahyu (berbentuk mimpi) kepada Yusuf ? Kerana Allah tahu ada perkara baik atau buruk akan berlaku di masa akan datang, yang akan menguji kita sebagaimana menguji Yusuf sedangkan baginda masih kanak-kanak, sebagaimana kita seperti “kanak-kanak” dalam memahami qadha dan qadar Allah. Begitulah kita apabila Allah bagi nikmat masa membaca wahyu iaitu al Quran. Mungkin Allah nak beri “bekalan” kepada kita menghadapi musibah yang kelak akan berlaku dalam masa terdekat yang kita tiada apa apa pengetahuan mengenainya.
- Perubahan mesti bermula dari mereka yang paling dekat dengan kita. Ada sebab surah Yusuf yang memaparkan “personal touch” dan surah sebelumnya, surah Hud yang memaparkan “mass crowd speech”. Bezakan antara “perkaderan” dan “pengucapan awam”. Bezakan antara bercakap kepada kumpulan besar untuk dakwah umum dengan membina generasi dengan jumlah yang sedikit iaitu dakwah khusus. Utamakan pembinaan pelapis di masa hadapan daripada sekadar melahirkan peminat dan pengikut sahaja kerana jika kita mati, siapa akan teruskan perjuangan kita penuh “passionate” seperti kita, atau apa yang kita dah mulakan mungkin berkubur di tengah jalan kerana kegagalan membina pelapis. Inilah misi Nabi Yaaqub dari ayat 4. Perhatiannya kepada anaknya Yusuf mendapat perhatian Allah sehingga dialog anak ayah ini dijadikan ayat al Quran. Akhirnya, fahamlah kita bahawa Mesir tidak akan meraih penyelamat jika tidak bermula dari dialog ayah dengan anak, dialog seorang yang mahu membina pelapis yang lebih baik darinya.
- Allah sebut nama anak tapi Allah tak sebut nama ayah. Nama ayah akhirnya disebut al Quran di tengah surah Yusuf nanti. Anak ialah mantee dan ayah ialah mentor. Biarlah yang terkenal kelak anak, biarlah sejarah mengabadikan kepahlawanan si anak, meskipun orang tidak tahu siapa ayah yang sebenarnya menjadi mentornya. Inilah kejayaan tarbiyah generasi terdahulu kerana mereka mempunyai mentor, ulama dan guru yang ikhlas mahu mendidik generasi tanpa mengharapkan apa apa pulangan (return of investment, ROI) keduniaan.
- Dasar penting dalam tarbiyah dan dakwah ialah komunikasi antara penyampai dan pendengar, iaitu kemahiran mendengar dengan baik. Ini hikmah “raitu” dua kali kerana ia menunjukkan secara isyari (isyarat) bahawa Yaaqub bertanya lebih lanjut mengenai mimpi itu, meminta kepastian, lalu melakukan “re-phrase” apa yang diajukan anakandanya, sehingga anaknya mengulang kenyataan yang sama kali kedua, namun dengan maklumat yang lebih mendalam, yang lebih berharga untuk ayah mengenalpasti “real problem” dari “presentes problem” agar kesimpulan dan nasihatnya kelak matang dan komprehensif. Pernahkah anda melihat filem memaparkan soal siasatan polis kepada mangsa dengan tiga hari berturut diajukan soalan yang sama tetapi mekanisme menjawab berbeza-beza ?
- Apabila kita ada kesulitan atau masalah peribadi, luahkan kepada yang pakar dan jangan pendam. Memendam itu boleh menambah tekanan di mental dan jiwa. Namun luahkan pada yang boleh dipercayai, boleh menyimpan rahsia dan boleh memberi nasihat berguna. Seperti ibu Nabi Musa yang amat tertekan selepas meletak anaknya Musa di atas Sungai Nil, namun beliau akhirnya meluahkan masalahnya kepada anak perempuannya. Dengan izin Allah, anak perempuan itulah menjadi asbab Allah turunkan bantuan kepada ibu Musa dan janji Allah untuk menggembirakan si ibu berlaku.
- Jadikan diri kita sebagai sebab orang lain dapat hidayah. Apabila Yusuf menjadikan sebelas bintang sujud, itu bermakna sebelumnya tanpa peranan Yusuf, mereka tidak mahu sujud.“Li” bukan sekadar bermaksud sujud kepadaku, bahkan sujud kepada Tuhan (taubat) keranaku, kerana peranan yang aku mainkan sehingga kesemua sepuluh abang abangku yang keras hati berubah menjadi bintang yang tinggi. Besar pahala Yusuf selaku “al-Sabiqun” kerana kesulitan yang dihadapinya demi memberi cahaya kepada orang lain. Bukan sahaja kepada penduduk Mesir, bahkan kepada abang abangnya sendiri. Yusuf melalui zaman kanak kanak menuju dewasa yang amat menyakitkan, namun itu berbaloi demi mengubah sikap abang-abangnya.
- Sebelas bintang cerah dengan kehadiran ibubapa iaitu matahari dan bulan. “Matahari” dan “bulan” takkan sujud kepada anak. Yang sujud hanyalah sebelas bintang iaitu adik beradik Yusuf. Namun perubahan mereka mesti berlaku di hadapan mata ayah ibu mereka. Apa hikmahnya ? Agar semua ayah ayah ibu ibu nampak apa kayu ukur “kejayaan” anak. Sekeping ijazah ? Kerjaya yang stabil ? Kereta besar ? Isteri kaya ? Apakah makna anak ramai jika tidak menjadi “bintang cerah” ? Apa makna berbangga dengan kuantiti anak yang ramai jika tidak berada di kedudukan yang dimuliakan Allah ? Apa matlamat hidupmu sebagai ibubapa ?
- Meskipun saudara-saudara Yusuf melakukan kesalahan jenayah besar, mereka tetapi mulia di akhirnya kerana taubat. Taubat, itulah yang mengubahmu dari kehinaan kepada kemuliaan di sisi Tuhanmu. Allah tidak sebut abang abang itu sekadar bertaubat, bahkan Allah sebut mereka sebelas bintang cerah. Benar benar mereka mulia meskipun kisah mereka di awal surah ini amat menyakitkan hati. Sama seperti Nabi Adam, Nabi Yunus atau pasukan pemanah di Uhud. Kesilapan itu jangan dikenang dan diratapi terlalu lama. Pulihkan hati segera, kembali pada Tuhan dan mohon kekuatan istiqamah.
- Surah bermula dengan “anak cari ayah” dan bukannya “ayah cari anak”. Ini menandakan suasana pendidikan yang sangat mengujakan dan inilah sebaik baik kaedah dakwah dan program. Peserta dibangunkan motivasi untuk bertanya dan mencari sebab-sebab untuk hadir, bukan menyertai program kerana terpaksa atau mengikut arahan atau mengikut kawan atau sekadar mengisi masa lapang. Yaaqub berjaya menjadi ayah yang prihatin mendengar, pendekatan yang interaktif dan selalu memberi perhatian sehingga Yusuf amat suka pedagogi ini lantas mencintai ayahnya, Ya Abati !
Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
15 Muharram 1443 H
Leave a comment