NOTA YANG TERTUNDA AKIBAT “BLACKOUT”

Ibrah Tiga Hari Nabi Zakariyya AS Tidak Boleh Bercakap : Perbandingan Gaya Bahasa Surah Ali Imran dan Maryam

Muqaddimah

Kisah Nabi Zakariyya AS dan isterinya diumumkan mendapat anak, Yahya AS telah dikisahkan dalam tiga surah iaitu surah Ali Imran (surah 3, ayat 37 hingga 41), surah Maryam (surah 19, ayat 2 hingga 11) dan surah al-Anbiya’ (surah 21, ayat 89-90).

Kronologi

  1. Nabi Zakariya AS melihat Maryam RA mendapat rezeki ajaib dalam mihrab.
  2. Nabi Zakariyya AS berdoa kepada Allah agar dikurniakan anak kerana bimbangkan masa depan Bani Israil.
  3. Nabi Zakariya AS didatangi Jibril AS yang mengumumkan baginda mendapat anak bernama Yahya AS.
  4. Nabi Zakariya AS terkejut dan meminta tanda dari Tuhannya SWT bahawa isterinya mengandung.
  5. Jibril AS mengkhabarkan baginda tidak akan mampu bercakap selama tiga hari tiga malam.
  6. Selepas tiga hari berkenaan, itulah hari pertama isterinya mengandung.

Surah Ali Imran, 3: 41 (Madaniah)

‎قَالَ رَبِّ ٱجۡعَل لِّيٓ ءَايَةٗۖ قَالَ ءَايَتُكَ أَلَّا تُكَلِّمَ ٱلنَّاسَ ثَلَٰثَةَ أَيَّامٍ إِلَّا رَمۡزٗاۗ وَٱذۡكُر رَّبَّكَ كَثِيرٗا وَسَبِّحۡ بِٱلۡعَشِيِّ وَٱلۡإِبۡكَٰرِ

Nabi Zakaria berkata lagi: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung)”. Allah berfirman: “Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja; dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi”.

Surah Maryam, 19: 10-11 (Makkiah)

‎قَالَ رَبِّ ٱجۡعَل لِّيٓ ءَايَةٗۖ قَالَ ءَايَتُكَ أَلَّا تُكَلِّمَ ٱلنَّاسَ ثَلَٰثَ لَيَالٖ سَوِيّٗا. فَخَرَجَ عَلَى قَوْمِهِ مِنَ الْمِحْرَابِ فَأَوْحَى إِلَيْهِمْ أَن سَبِّحُوا بُكْرَةً وَعَشِيًّا

Nabi Zakaria merayu lagi: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah satu tanda bagiku (yang menunjukkan isteriku mengandung)”, Allah Taala berfirman: ” Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga malam, sedang engkau dalam keadaan sihat”.

Pencerahan

  1. Menurut Dr Solah Abdul Fattah al-Khalidi, Nabi Zakariyya AS tidak perlukan “ayat” (mukjizat) untuk baginda kerana baginda tahu, Allah SWT benar dalam janjinya.
  2. Baginda meminta ayat untuk umatnya Bani Israil yang sedang dalam berada kegelapan dan kerosakan dalam beragama.
  3. Bani Israil mesti dipersiapkan dengan mukjizat lebih ringan dahulu iaitu bisunya baginda selama tiga hari sebelum mukjizat lebih besar iaitu kelahiran Yahya AS pada usia baginda sudah lanjut usia dan isteri mandul.

Perbandingan

  1. Dalam surah Ali Imran, dinyatakan tiga “hari” Nabi Zakariya AS tak boleh bercakap. Dalam surah Maryam, dinyatakan tiga “malam” baginda tak boleh bercakap.
  2. Dalam surah Ali Imran, Nabi Zakariyya AS yang diperintahkan melakukan tasbih. Dalam surah Maryam, Nabi Zakariyya yang memerintahkan kaumnya Bani Israil bertasbih.
  3. Dalam surah Ali Imran, tasbih diperintahkan pada waktu petang dan pagi. Dalam surah Maryam, tasbih diperintahkan pada waktu pagi dan petang.
  • ‘Ashiyy (zuhur hingga maghrib)
  • Ibkar (terbit fajar hingga dhuha)
  1. Dalam surah Ali Imran, Nabi Zakariyya AS menggunakan bahasa isyarat (ramza) kepada kaumnya. Dalam surah Maryam, dijelaskan keadaan Nabi Zakariyya AS yang sihat tanpa cacat cela (sawiyya) ketika tidak boleh berbicara berkenaan.

Hikmah dan Tadabbur

  1. Munasabah ayat-ayat sebelum
  • Disebut “siang” dalam surah Ali Imran, barangkali kerana faktor optimisme dengan keberolehan anak kerana Nabi Zakariyya AS telah melihat rezeki mencurah-curah masuk ke dalam mihrab Maryam dengan cara yang sangat ajaib.
  • Disebut “malam” dalam surah Maryam, barangkali kerana faktor pesimisme dengan masa depan Bani Israil sehingga baginda amat terdesak kepada adanya pelapis yang akan menyelamatkan Bani Israil.
  1. Masa depan Nabi Yahya AS
  • Disebut “siang” dalam surah Ali Imran, barangkali kerana Jibril AS memperincikan masa hadapan Yahya AS dengan empat sifat yang menggembirakan ( مُصَدِّقًا بِكَلِمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَسَيِّدًا وَحَصُورًا وَنَبِيًّا مِّنَ الصَّالِحِينَ )
  • Disebut “malam” dalam surah Maryam, barangkali kerana tidak diperincikan siapa Yahya di masa hadapan melainkan namanya tidak pernah diberikan kepada sesiapa sebelumnya ( لَمْ نَجْعَل لَّهُ مِن قَبْلُ سَمِيًّا )
  1. “Malam” pada surah Maryam kerana ia surah Makkiah, masa depan Islam masih tidak menentu dalam fikiran para Sahabat ketika itu. Manakala “hari” siang (yaum) pada surah Ali Imran kerana Islam sudah memperolehi kekuasaan di Madinah. مراعاة مقام التنزيل menurut Dr Umar Abdul Kafi.

Wallahu a’lam

Ibrah

  1. Allah SWT berkuasa menghalang seketika sahaja kemampuan bercakap Nabi Zakariyya AS sedangkan Baginda sihat. Allah SWT yang sama berkuasa menghalang seketika rahim isterinya dari berfungsi sedangkan logiknya, tiada apa yang menghalang keduanya untuk mendapatkan anak. Akhirnya selepas tiga hari tiga malam, Nabi Zakariyya AS kembali dapat bercakap dan isterinya pula sudah hamil. Dua kegembiraan pada satu masa selepas episod ujian dari Allah.
  2. Tujuan Allah menciptakan lidah dan suara untuk berzikir dan bertasbih. Seakan-akan mereka yang tidak berzikir dan bertasbih telah gagal mensyukuri nikmat suara, bibir, lidah dan hati. Al-Khalidi menyatakan bahawa Nabi Zakariyya AS dimatikan kemampuan bercakap apabila keluar dari rumahnya sedangkan apabila berzikir di dalam rumahnya, lidah baginda dibolehkan semula berzikir dan bertasbih.
  3. Sebagai perbandingan yang menarik, Nabi Zakariyya AS tidak boleh bercakap walaupun sudah lama berbicara sebagai Rasul kepada Bani Israil, sedangkan bayi Isa bin Maryam tiba-tiba dibolehkan bercakap menjelaskan masa depannya sebagai Rasul. Semua Bani Israil terkejut melihat apa yang menghalang Nabi Zakariyya AS bercakap. Bani Israil yang sama terkejut melihat apa yang menyebabkan bayi Isa bin Maryam AS itu boleh bercakap.

Wallahu a’lam

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started