MUNASABAH TEMA TASBIH SELEPAS 12 WASIAT SURAH AL ISRA’

قُل لَّوۡ كَانَ مَعَهُۥٓ ءَالِهَةٞ كَمَا يَقُولُونَ إِذٗا لَّٱبۡتَغَوۡاْ إِلَىٰ ذِي ٱلۡعَرۡشِ سَبِيلٗا ٤٢

Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah ada tuhan-tuhan yang lain bersama-sama Allah, sebagaimana yang mereka katakan itu, tentulah tuhan-tuhan itu akan mencari jalan kepada Allah yang mempunyai Arasy (dan kekuasaan yang mutlak).

سُبۡحَٰنَهُۥ وَتَعَٰلَىٰ عَمَّا يَقُولُونَ عُلُوّٗا كَبِيرٗا ٤٣

Maha Sucilah Allah dan tertinggilah Dia setinggi-tingginya, jauh dari apa yang mereka katakan itu.

تُسَبِّحُ لَهُ ٱلسَّمَٰوَٰتُ ٱلسَّبۡعُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِيهِنَّۚ وَإِن مِّن شَيۡءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمۡدِهِۦ وَلَٰكِن لَّا تَفۡقَهُونَ تَسۡبِيحَهُمۡۚ إِنَّهُۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورٗا ٤٤

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.

Kedatangan tema tasbih ini amat menarik perhatian saya sebagai pelajar ilmu Munasabah ayat khususnya ketika menelaah hikmah surah kemenangan Palestin ini dibuka Allah dengan lafaz “Subhana” (17:1) dan ditutup Allah juga dengan lafaz yang sama (17:108).

  1. Tasbih mengingatkan saya kepada peristiwa malaikat bimbang penciptaan Adam sebagai khalifah akan membawa risiko pertumpahan darah sedangkan mereka merupakan makhluk yang kekal melakukan tasbih (2:30). Surah al-Isra’ sememangnya menjelaskan peranan khalifah untuk melaksanakan dua belas wasiat al-Quran berkenaan (17:22-39) sehingga Allah mengurniakan kekuatan kepada umat ini untuk memerintah dunia dari kesatuan Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa.
  2. Tasbih juga mengingatkan saya kepada sikap Nabi Daud yang kekal bertasbih bersama gunung dan burung (38:18-19) sehingga Allah mengumumkan baginda sebagai khalifah (38:36) di bumi Palestin. Melahirkan generasi yang kekal bertasbih dan menjalankan tugas khalifah bukan sahaja tema surah al-Isra’, bahkan tema yang konsisten setiap kali kisah ayah yang bernama Daud dan kisah anak yang bernama Sulaiman dipaparkan al-Quran.
  3. Tasbih juga mengingatkan saya kepada sikap Nabi Zakariya (3:41)(19:11) sebelum dianugerahkan Allah anak yang bernama Nabi Yahya. Sekali lagi tema pembinaan generasi khalifah mempertemukan kisah Zakariyya dan Yahya di Palestin dengan surah al-Isra’.
  4. Tasbih juga mengingatkan saya pada peristiwa Musa jatuh pengsan selepas melihat kebesaran Allah jatuh di puncak gunung lalu pecah berkecai. Bangkit dari pengsan, Musa melafazkan tasbih (7:143) sebelum diumumkan Allah sebagai khalifah dan menerima Lauh Taurat (7:144-145).
  5. Tasbih juga mengingatkan saya kepada peranan Nabi Harun terhadap perjuangan Nabi Musa. Menghadapi bangsa uluww dan fasad iaitu Firaun memerlukan kombinasi dan sinergi Musa dan Harun. Apa peranan Nabi Harun ? Membantu Musa kekal bertasbih dan bertenang (20:33) apabila menghadapi kerenah Firaun. Surah al-Isra’ benar-benar menegaskan kepentingan pejuang-pejuang pembebasan al-Quds meninggalkan sikap al-‘Ajilah, gopoh gapah mahukan kemenangan, mudah marah dan mengangkat tangan menumbuk (28:15) dan sebaliknya menjadi “Harun” yang bertenang seketika, memikirkan implikasi setiap tindakan dan mengutamakan kemaslahatan jangka panjang berbanding manfaat jangka pendek.
  6. Tasbih juga mengingatkan saya kepada ‘itab (teguran halus kerana kesalahan ijtihad) Nabi Yunus yang tidak dapat menahan marahnya kepada kaumnya. Sepanjang dalam perut ikan itu, baginda tidak putus putus bertasbih (21:87) menginsafi kesilapannya yang dikuasai kemarahan 69:48).
  7. Tasbih juga mengingatkan saya hikmah tanasub dan relevensi lima surah al-Musabbihat (surah Madaniah yang bertemakan infaq dan jihad) selepas al-Isra’ yang duduk berdekatan dengan surah-surah yang mempunyai kaitan dengan wanita seperti al-Hadid (57) dengan al-Mujadilah (58), al-Hashr (59) dengan al-Mumtahinah (60), al-Taghabun (64) dengan al-Thalaq (64) dan al-Tahrim (66). Barangkali ada tema “ibu yang menghayun buaian bisa menggoncangkan dunia” ada terselit di celahan hikmah susunan berkenaan, wallahu a’lam.

Syaari Ab Rahman

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started