10 PERKARA SAYA BELAJAR DARI BUKU INI

  1. Dalam bab “Solusi Umar dan Salahuddin”, Santi Soekanto menegaskan “mustahil kita membebaskan Masjidil Aqsa tanpa ilmu dan makrifat yang telah digunakan Amirul Mu’minin Umar al Khattab dan Salahuddin al Ayyubi.
  2. Dalam bab “Rencana Strategik Nabi Muhammad SAW Ke Atas Baitulmaqdis”, Prof El Awaisi ada membawa kisah Nabi SAW menggunakan 10 malam di Tabuk untuk mengadakan perdamaian dengan beberapa jajahan Romawi sebagai langkah pertama menuju pembukaan Baitulmaqdis. Besarnya jiwa Nabi SAW !
  3. Dalam bab “Jaminan Keamanan Umar Kepada Penduduk Baitulmaqdis”, Prof El Awaisi ada merumuskan dapatan teks al-Thabari bahawa Umar RA memilih sikap untuk tidak campur tangan masalah keagamaan penduduk Iliya (Baitulmaqdis), bahkan mengukuhkan dasar kebebasan beragama setiap kelompok masyarakat di sana.
  4. Dalam bab “Tanah Suci Baitulmaqdis”, Karen Armstrong ada menyebutkan isi kandungan al-Kitab Ibrani bahawa bukanlah suatu kebaikan apabila hanya menyembah Tuhan di kuil-kuil di Jerusalem jika orang-orang Israel tidak mengasihi orang miskin, orang dalam kesulitan dan orang tertindas di tanah itu.
  5. Dalam bab “Telaah Hadis Keutamaan Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa”, Dr Ahmad Yusuf Abu Halabiya akhirnya mentakhrij 18 hadis dengan 10 darinya sahih, 2 hasan dan 6 dhaif yang kedhaifannya tidak kuat dan termasuk dalam fadhail amal.
  6. Dalam bab “Posisi Baitulmaqdis Dalam Negosiasi Antara Salahuddin dan Richard Lion Heart”, Maher Y. Abu Munshar merumuskan bahawa pengkaji Muslim dan non Muslim telah menggambarkan Salahuddin sebagai satria yang teguh pendirian dan ahli strategi yang bijak, tetapi murah hati terhadap musuh yang dikalahkan, berbuat baik kepada para isteri dan wanita tentera Salib dan manusiawi terhadap para tahanan yang tertangkap.
  7. Dalam bab “Arkeologi dan Arsitektur Baitulmaqdis”, Dr Haitham Fathi al-Ratrout merumuskan identiti keislaman dan kemajuan umat Islam sudah lama terserlah di Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa. Beliau juga mendapati pembina Masjidil Aqsa ialah individu yang sama membina Kaabah di Masjidil Haram.
  8. Dalam bab “Isra dan Mikraj Rasulullah SAW”, Prof. Roslan M Nor ada menjelaskan makna “masjid” (al-Aqsa) yang disebut kerana ketika Nabi sampai, tiada ada sebarang bangunan tunggal dan kompleks masjid terbina di situ. Isu ini seringkali menjadi bahan serangan orientalis yang menafikan kebenaran peristiwa al Isra berkenaan.
  9. Dalam bab “Khutbah Pembebasan Baitulmaqdis Pada Masa Salahuddin”, Dr Karim Faruq Ahmad menganalisis teks khutbah Muhyiddin bin al Zaki dalam solat Jumaat pertama di Masjidil Aqsa sesudah pembebasan Baitulmaqdis oleh Salahuddin al Ayyubi dan membuktikan kuatnya iltizam pemerintah, ulama dan rakyat pada waktu itu dengan manhaj Islam.
  10. Dalam bab “Nubuat Al Quran Mengenai Kekalahan dan Kemenangan Byzantium”, Prof El Awaisi menghuraikan kenyataan al-Tabrasi mengenai kegembiraan kaum Muslimin dalam surah al-Rum bukanlah kerana kerana kemenangan semula Romawi, bahkan tersingkirnya pasukan Parsi dari Baitulmaqdis.

Banyak lagi yang menarik dalam artikel-artikel ilmiah dalam buku ini. Tidak rugi memilikinya kesemua tiga jilid buku ini, inshaallah.

Terima kasih Dr Hajah Ubaidah Mohammad kerana menghadiahkan saya naskhah berharga ini.

Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
24 Zulqaedah 1442 H

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started