
Apabila ustaz Abdul Muhaimin hantarkan PDF kitab ini pada group Dreamteam Tadabbur Centre, terus saya buka surah al-Isra’ untuk lihat apa kelainan yang ditawarkan penulis. Kebetulan saya sedang “passionate” dengan surah itu.
Tidak mengecewakan. Penulis mendatangkan tafsir ayat 4 dengan menyebut kedua-dua “kem” tafsir ayat ini iaitu kem yang menyatakan dua kerosakan itu sudah terjadi dan kem yang menyatakan dua kerosakan belum terjadi (semasa surah al-Isra’ diturunkan).
Penulis kelihatan bersahaja dan tenang menyebut kedua-dua tafsiran itu seakan-akan tiada sebab untuk dua kem ini berlaga sedangkan kedua-dua kem itu menawarkan pengajaran yang berharga. Menghormati pandangan ulama klasik dan meraikan pandangan-pandangan semasa, kelihatan menjadi perhatiannya dalam menulis kitab ini.
Lalu jatuhlah cinta saya pada kitab ini dari pintu masuk surah al Isra.
Namun ada sebab lain lagi saya merasakan kewajipan memiliki kitab المُعِينُ على تدبر الكتاب المبين tulisan al-Allamah Majdi Ahmad Makki hafizahullah terbitan Muassasah al-Rayyan tahun 2010 ini.
Pada awalnya, ketika saya mendapati karya tafsir ini hanya sejilid sahaja, saya menyangka ia karya bersifat sinopsis surah seperti Nahwa Tafsir Maudhuie li Suwar al Quran karangan Muhammad al Ghazali RH atau ‘Ijaz al-Bayan fi Suwar al-Quran karangan Muhammad Ali al-Shabuni RH.
Namun ternyata ia memang kitab sinopsis, namun bukan sinopsis surah, tetapi sinopsis ayat! Namun ia juga bukan karya terjemahan (tafsir kalimah atau kumpulan kalimah dalam satu ayat secara ringkas) seperti kitab Zubdah al-Tafasir karangan Dr Sulaiman al-Asyqar RH.
Pembaca tafsir ini akan mendapati setiap ayat disyarahkan dengan “short and precise”, di mana tafsiran ayat dikecualikan dari perbincangan-perbincangan “advance” seperti riwayat-riwayat asbabun nuzul, analisis kalimah, perbezaan qiraah, serta isu-isu yang dibincangkan dunia tafsir di peringkat sarjana.
Seakan akan penulis menjelaskan makna ayat kepada orang tua atau anak-anak kecil yang tidak mampu mendengar syarahan tafsir yang panjang lebar. Penulis seakan akan “fasilitator” yang telah membaca pelbagai tafsir sebelum menulis naratif tadabbur dengan lenggok bahasanya sendiri.
Namun, gaya penulisannya tidaklah bermakna penulis tidak merujuk tafsir-tafsir muktabar. Dalam muqaddimahnya, penulis menyatakan beliau telah mengambil manfaat dari tafsir klasik seperti Tafsir Ibnu Juzayy, al-Nasafi, Ibnu Kathir, al-Tha’alabi, al-Jalalain, dan al-Sharbini dan beberapa tafsir moden yang sudah bersifat mausu’ah iaitu kompilasi dan analisa pelbagai tafsir.
Hanya sahaja ketika menjelaskan makna ayat, beliau seakan-akan merendah diri, meletakkan diri di tempat awam yang mahu mendekati setiap ayat al-Quran dengan kefahaman yang sejahtera dari kesalahan, pertengahan antara sekadar tahu terjemahan dengan perincian yang berjela-jela, tidak mahu dibebankan dengan perbincangan yang sesuai dilazimi oleh guru-guru tafsir atau penuntut ilmu dalam bidang tafsir.
Anda tidak akan perasan penulis menggunakan pelbagai kaedah tafsir seperti kaedah munasabah ayat kerana penulis tidak pun menyebut “munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya ialah…”, walhal penulis sedang mengaplikasikannya.
Anda tidak akan perasan penulis menjelaskan asbabun nuzul surah kerana penulis tidak pun menyebut “ayat ini diturunkan kerana peristiwa…” sedangkan penuntut ilmu tafsir akan menyedari itu sebenarnya asbabun nuzul.
Apa yang menarik dan unik pada kitab setebal 625 halaman ini ialah anda akan mendapati setiap ayat dijelaskan dengan ringkas dan ringan, tetapi maksud sampai dan jelas. Seseorang yang banyak membaca kitab-kitab tafsir klasik atau moden yang bersifat tahlili dan terperinci, akan mendapati tafsir ini meskipun ringkas, namun “puas hati” kerana ia tetap menyampaikan maksud yang asas dari setiap ayat dengan gaya bahasa penulis sendiri.
Benarlah nama kitab ini menonjolkan sisi “tadabbur” penulis tanpa perlu menyalin semula maklumat tafsir yang sudah ada pada kitab-kitab tafsir muktabar, yang boleh dirujuk sendiri jika pembaca memilih pencerahan yang lebih terperinci. Penulis kelihatan berusaha ke arah membumikan kefahaman dengan pendekatan “seakan-akan Allah berkata begini”.
Keratan halaman mushaf diletakkan kecil di atas, kemudian 60% setiap halaman disajikan dengan “hasyiyah” iaitu makna setiap ayat. Dalam perkataan lain, tafsir itu diusahakan “saiz”nya selari dengan keratan setiap halaman mushaf. Mushaf yang sama ada nas, mushaf yang sama memuatkan tafsir setiap ayat “secukup rasa” dengan halaman tu.
Penulis berusaha mendatangkan kelainan yang bersesuaian dengan zaman, merai dan menyantuni akhir zaman yang menyaksikan “semua perkara mahu cepat” termasuk dalam hal memahami ayat ayat Allah.
Saya sudah mempunyai dua tiga tafsir Arab di rumah yang sangat ringkas, sejilid sahaja, namun ia agak bersifat “terjemahan” yang kurang kepuasannya.
Saya juga ada tafsir yang berjilid-jilid, namun kekangan masa menyebabkan tidak mampu menghabiskan huraian satu-satu ayat yang mencecah 2-3 halaman huraian dari penulisnya.
Dalam muqaddimah, penulis, Majdi Makki menjelaskan beliau mengambil inspirasi dari gaya tafsir Ma’arij al-Tafakkur, Shekh Abdul Rahman Habannakah dan berusaha berjalan dengan sudut pandang almarhum yang sempat menyelesaikan tafsirnya pada surah-surah Makkiyah sahaja.
Semoga lebih banyak tafsir berorientasi “what’s the point” dari sesuatu ayat dihasilkan demi memudahkan awam memahami al-Quran, pertengahan antara sifat terlalu banyak perbahasan dengan terlalu ringkas tanpa kepuasan.
Setiap kitab tafsir, panjang atau pendek, tahlili atau muyassar, atau bersifat pertengahan antara keduanya, ia tetap mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Bergantung kepada siapa yang mahu membeleknya, untuk tujuan apa dia membeleknya. Yang sempurna hanyalah kalam Allah قُرْآنًا عَرَبِيًّا غَيْرَ ذِي عِوَجٍ jua. Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
26 Syawal 1442 H
Follow & share 👇
FB : https://www.facebook.com/syaariabrahman
IG: https://www.instagram.com/syaariabrahman/
Telegram: https://t.me/syaariabrahman
Twitter: https://twitter.com/syaariabrahman
TikTok : http://www.tiktok.com/@syaariabrahman
Shopee : https://shopee.com.my/paradigmaibrah
Website : http://www.abufarahi.school.blog
Leave a comment