TENGOK LEBAH PUN, BOLEH TERINGAT PALESTIN ?

Pertembungan Muslim dan Zionis di Palestin bukanlah pertembungan atas dasar siapa lebih berhak ke atas tanah air ini sahaja. Bahkan ia pertembungan nilai الِّشِّفاء yang dibawa ummat Muhammad dan nilai الِّشِّقاء yang dibawa ummat Bani Israil Zionis.

Apa yang mahu “diperjalankan” ke Palestin bukanlah sekadar umat tauhid penduduk asal tanah Syam itu, bahkan fitrah keamanan dan kemanusiaan kepada semua bangsa manusia. Palestin dahagakan keamanan dan kemanusiaan sebagaimana manusia dahagakan madu lebah.

Penawar dari agama fitrah itu pada ruh yang dahagakan keamanan untuk beribadah sebagaimana penawar dari madu lebah itu pada fitrah tubuh yang dahagakan kesihatan khususnya di musim pandemik ini.

Hidup maju tetapi menolak wahyu seumpama tubuh sakit mengelak dari diberikan madu yang mempunyai penawar pada kesakitan tubuh.

يَخْرُجُ مِن بُطُونِهَا شَرَابٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاء لِلنَّاسِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَةً لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

“…(Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya (lebah itu) minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.” (An-Nahl, 16 : 69)

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاء وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ وَلاَ يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلاَّ خَسَارًا

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. (Al-Israa’, 17 : 82)

Demikianlah tautan indah surah ke 16 (al-Nahl) yang namanya kerana kisah perjalanan makhluk lebah dan surah ke 17 (al-Isra’) yang namanya kerana kisah perjalanan Nabi SAW ke tanah Palestin yang diberkati.

Sebagaimana perpindahan lebah dari satu tempat ke satu tempat bermula dengan wahyu, lalu diberikan kebaikan yang banyak kepada manusia sendiri dengan perpindahan itu, demikian perjalanan Nabi Ibrahim AS, satu-satunya kisah nabi dalam surah al-Nahl, yang perpindahannya dari Ur ke Palestin bermula dengan wahyu, lalu ketibaannya telah diberkati, diberikan kebaikan yang banyak kerana darinya lahirnya “ummat” dan para anbiya’.

Surah-surah yang turun di penghujung Makkiah ini benar benar mengisyaratkan agar Nabi SAW bersiap sedia dengan perpindahan (hijrah) yang diberkati dan dilimpahkan pelbagai rezeqi, yang akan menukar fasa kekalahan dan kehinaan kepada fasa kemenangan dan kemuliaan.

Wallahu a’lam

Syaari Ab Rahman
23 Syawal 1442

Rujukan :
Tafsir Surah al-Isra’
Dr Ahmad Nawfal

Dilalah Asma’ al Suwar al Quraniyyah
Dr Umar Ali Hassan Arafat

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started