
Kita telah tunjukkan solidariti kita bersama rakyat Palestin, sehingga mereka tidak rasa bersendirian menghadapi regim. Kali ini kita diuji untuk menunjukkan empati kepada mereka yang hilang sumber pendapatan, sehingga mereka tidak rasa bersendirian.
Surah al Isra’ bukan hanya menceritakan mengenai masa depan Palestin, bahkan di dalamnya ada agenda membasmi kemiskinan di negeri kita sendiri.
Surah al-Isra’ bukanlah sekadar mendedahkan penyakit sombong Yahudi Bani Israil, bahkan surah ini terlebih dahulu menghapuskan penyakit sombong dalam diri kita sendiri.
Ketahuilah, surah al-Isra’ memerintahkan kita untuk membantu ahli keluarga, adik beradik dan kaum kerabat, serta mereka yang berhampiran yang ditimpa kemiskinan (17:26).
Surah al-Isra’ melarang kita melakukan pembaziran kerana pada makanan yang dibazirkan itu, ada hak orang kebuluran yang berhampiran. Bersaudaralah dengan mereka yang miskin dan janganlah bersaudara dengan syaitan (17:27).
Seandainya kita belum mampu membantu si miskin berkenaan, sekurang-kurangnya berikanlah perkataan yang menggembirakan sehingga hati mereka menjadi tenang (17:28).
Sebaik sahaja Allah kembalikan kelapangan rezeki kepada kita, carilah semula mereka, hulurkanlah bantuan, janganlah bakhil dan berfikir panjang untuk menghulurkan tangan (17:29).
Kerana diuji kemiskinan, jangan membunuh anak (17:31) dan jangan “membunuh” karakter dan masa depan anak.
Kerana ujian kemiskinan, jangan mencari wang dengan pelacuran atau mendekati perzinaan (17:32).
Kerana ujian kemiskinan, jangan mencuri, meremehkan nyawa sehingga sanggup melakukan pembunuhan (17:33) demi memperolehi wang dan harta yang haram.
Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk membantu segera mereka yang ditimpa musibah kemiskinan dan semoga Allah mengangkat musibah pandemik ini dari negara ini.
Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
18 Syawal 1442 H
Leave a comment