TADABBUR SURAH AL-MASAD

TADABBUR SURAH AL-MASAD
@IKIM.FM

Muqaddimah

  • Surah ini berbicara mengenai Abu Lahab dan isterinya. Allah kurniakan pada mereka kecantikan, harta, kebangsawanan, bahkan dalam keluarga dan kejiranan Nabi. Namun tentangan merekalah yang diberikan paling sengit kepada Nabi.
  • Abu Lahab pernah membaling batu kepada Nabi SAW hingga berdarah tumit kaki baginda.
  • Setiap kali musim haji, Abu Lahab mengikut dengan rapat jejak Nabi untuk “counter attack” setiap dakwah yang dilakukan.
  • Selepas kewafatan Abdullah anak lelaki Nabi, dialah mengejek “batara Muhammad” dan berpesta merayakan.
  • Dia juga memaksa dua anak lelakinya menceraikan isteri masing yang merupakan anak nabi iaitu Ruqayyah dan Ummu Kulthum.
  • Dialah ketua jawatankuasa penyeksa kaum Muslimin yang lemah, jumlah penyeksa seramai 25 orang.
  • Isterinya Abu Lahab bernama Urwah binti Harb atau Ummu Jamil memanggil Nabi sebagai Muzammam (yang terkutuk)

Lima Faedah Surah al Masad

M : Masa depan sentiasa benar

  • Al Quran benar ketika beritahu kisah masa depan seperti kekalahan Yahudi perosak di masa hadapan (al Isra)
  • Benar janji Allah Abu Lahab dan isterinya di neraka kerana tidak pernah bertaubat, tidak pernah sedetik beriman hingga ke detik mati
  • Allah mengambil alih urusan peperangan antara Abu Lahab dan isterinya dengan Nabi SAW apabila mereka memaki Nabi di bukit Safa
  • Allah umumkan – berdasarkan pengetahuan-Nya yang Maha Sempurna – kekalahannya bukan di dunia, tetapi merana menderita selamanya dalam Neraka.
  • Menjadi satu-satunya manusia dalam al-Quran yang diumumkan dengan terang-terangan kedudukannya dalam Neraka.

A : Ancaman materialistik selepas kemenangan

  • Walaupun menang, penghalang dakwah akan sentiasa ada
  • Hikmah munasabah lepas al Nasr : Penghalang dakwah bukan batang tubuh, bahkan jiwa rakus materialistik selepas menang sehingga lupa mentasbihkan Tuhan dan mengaibkan diri
  • Abu Lahab dengan hartanya, Ummu Jamil dengan kecantikannya
  • Penjatuh peradaban : materialistik cintakan kekayaan dan tidak senang dengan nikmat orang lain hingga mengeji dan mengumpat (surah al Humazah)

S : Sejarah sentiasa berulang

  • Musuh sentiasa ada walau dalam keluarga sendiri : isteri Nabi Nuh, Luth, ayah Ibrahim, ikhwah Yusuf
  • Satu satunya surah yang dari awal hingga akhir mengenai seorang musuh Allah dan musuh Nabi paling ketat kerana tentangannya sengit dari awal hingga akhir kematiannya
  • Surah ini beri kekuatan pada pendakwah menghadapi ujian dari ahli keluarga terdekat sendiri. Hidayah di tangan Allah
  • Munasabah surah dengan surah selepas : Tiqa Qul jelaskan isu mana kubu pertahanan dan siapa sebenarnya musuh orang beriman
  • Kafir itu tiga jenis.
  • Pertama, penyembah berhala sahaja, sudah diberi hujah, tidak mahu didengar.
  • Kedua, penyembah berhala dan penentang ajaran Islam. Tidak cukup dengan syirik, dia menghalang gerakan Islam sedaya upayanya.
  • Ketiga, penentang ajaran Islam dan penghina secara langsung batang tubuh Nabi SAW habis habisan.

A : Azab neraka setimpal dan menghina

  • Azab neraka bersesuaian dengan amalannya di dunia :
  • Nama surah merujuk kepada perihal isteri Abu Lahab yang dihina dalam Neraka di hari Kiamat. Bersesuaian dengan apa yang telah dilakukannya ke atas Nabi di dunia dahulu.
  • Isterinya sentiasa meletakkan batang-batang pokok berduri dan diletakkan di hadapan pintu rumah Nabi di malam hari untuk tujuan menghalang Nabi keluar berdakwah di paginya nanti
  • Tiada yang akan membantu mereka di dalam azab Allah kelak meskipun mereka paling kaya dan paling ramai anak semasa di dunia.
  • Nama surah menjelaskan tiada musuh-musuh Allah dan Rasul-Nya melainkan akan mendapat penghinaan di hari Akhirat. Di dunia barangkali musuh-musuh Islam dilepaskan dari azab yang menimpa ummat terdahulu, namun di Akhirat mereka tidak akan terlepas
  • Makna Masad : nama surah bermakna tali yang dipintal. Ia diletakkan pada golongan hamba yang bekerja mencari atau mengambil kayu api kepada tuannya. Ia satu bentuk penghinaan yang berlaku pada zaman Arab Jahiliyyah. Maka nama surah ini kiasan dari Allah menghina isteri Abu Lahab

D : Dengki dan dendam penyakit berbahaya

  • Hammalatal Hathab juga boleh membawa makna majazi iaitu pembakar api perkauman dan penyemarak api kebencian bangsa Arab kepada Bani Hashim dan Nabi Muhammad SAW
  • Al Quran tidak sebut nama kerana kiasan kepada manusia bahawa kluster penyakit ini berpanjangan
  • Tidak wajar menyatakan tidak boleh baca surah ini dalam solat kerana kononnya ia akan guriskan hati Nabi kerana Abu Lahab itu bapa saudara Nabi :
  • Tiada dalil Nabi sedih bila dibacakan surah al Masad atau Nabi larang bacaannya dalam solat
  • Mengatakan surah ini tidak wajar dibaca dalam solat bermakna surah ini ada kekurangan dari sudut pengibrahan. Bukankah itu bermakna Allah itu lemah pada menjadikan al Qurannya bermukjizat dari aspek pengajaran ? Maha suci Allah dari lemah menjambatankan surah ini dengan keadaan semasa. Allah sendiri umum setiap kisah-kisah-Nya ada ibrah, maka surah ini sebahagian dari kisah-kisah al-Quran. Kita yang tak baca sampai habis surah ini akan gagal menemui diri kita dalam surah ini. Kesempurnaan mesej ibrah pada surah (gabungan ayat-ayat) itu sendiri, bukan ayat-ayat yang dipetik secara “isolated” dari konteks surah

Wallahu a’lam

Syaari Ab Rahman
16 Syawal 1442 H

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started