LEGASI NABI MUSA DALAM SURAH AL-ISRA’ DI Wacana Al-Quran JAM 5.30 PETANG INI, INSHAALLAH

وَآتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ وَجَعَلْنَاهُ هُدًى لِّبَنِي إِسْرَائِيلَ أَلاَّ تَتَّخِذُواْ مِن دُونِي وَكِيلاً
Dan Kami telah memberikan Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami jadikan Kitab itu petunjuk bagi Bani Israil (serta Kami perintahkan mereka): “Janganlah kamu jadikan yang lain daripadaKu sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kamu kepadanya)”. (Al-Israa’, 17 : 2)
Menjadi Allah SWT sebagai “al-Wakil” dengan hanya meminta pertolongan dari-Nya, itulah legasi Nabi Musa AS yang diabadikan dalam ayat 2 surah al-Isra’. Meminta pertolongan kepada selain Allah untuk menang ke atas Palestin bermakna meninggalkan legasi Musa iaitu legasi untuk menang ke atas kumpulan “Firaun” zaman berzaman yang melakukan kerosakan dan kesombongan.
Keyakinan bahawa Allah akan membantu mereka yang beriman kepada Allah al-Wakil, dijelaskan dalam perincian kisah Nabi Musa dalam surah yang sama, di penghujungnya.
قَالَ لَقَدْ عَلِمْتَ مَا أَنزَلَ هَؤُلاء إِلاَّ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ بَصَائِرَ وَإِنِّي لَأَظُنُّكَ يَا فِرْعَوْنُ مَثْبُورًا
Nabi Musa menjawab: “Sebenarnya engkau (hai Firaun) telah pun mengetahui: tiadalah yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran; dan sebenarnya aku fikir, engkau hai Firaun, akan binasa”. (Al-Israa’, 17 : 102)
Apakah legasi Nabi Musa menerusi ayat 102 ini ? Keyakinan bahawa kebatilan akan kalah !
Perhatikan ayat ini. Menarik tafsiran dan sudut pandang Dr Usamah Fathi Abu Bakar yang diterjemahkan sahabat saya, ustaz Ahmad Akram Mahmad Robbi.
Pertamanya, Musa menggunakan ‘lam al-qasam’ menunjukkan ‘taukid’ atau penegasan yang kuat, tidak mengandungi keraguan sedikitpun. Itulah sifat kebatilan bahawa riwayat hidupnya akan ditamatkan.
Keduanya, Musa menggunakan kalimah ‘zhan’ bermaksud sangkaan. Ini kerana Musa tidak tahu bagaimana Allah akan membinasakan Firaun, bilakah Firaun akan dibinasakan, adakah kehancurannya sebelum atau selepas kewafatan Musa, semuanya tidak diketahui, samar-samar mengenai perinciannya. Apa yang pasti hanya satu sahaja, dia akan dibinasakan !
Ibrahnya ?
Kepada yang sedang menuju ke Masjidil Aqsa yang terjajah, janganlah sesekali sangsi bahawa kumpulan Zionis yang mengikuti jejak Firaun yang sesat. Mereka itu pasti akan dibinasakan dan akan beredar daripada al-Quds dan bumi Palestin. Namun, persoalan tentang bagaimana, atau bila akan terjadinya kebinasaan mereka itu secara pasti dan terperinci, semuanya dalam ilmu Allah SWT.
Semua orang beriman bersumpah dengan nama Allah Yang Maha Agung bahawa al-Quds dan al-Aqsa akan disucikan dari kotoran Yahudi. Harapan orang beriman kepada Allah SWT agar usaha mereka mendekati kemenangan akan diperkenankan.
Namun bagaimana ? Bukankah Negara Zionis itu sebuah negara yang sombong kerana mereka lengkap bersenjata dan bersikap tirani ? Saudara, anda bukanlah orang yang pertama menyangka Yahudi itu kuat dan mempunyai pertahanan yang kukuh.
هُوَ الَّذِي أَخْرَجَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مِن دِيَارِهِمْ لِأَوَّلِ الْحَشْرِ مَا ظَنَنتُمْ أَن يَخْرُجُوا وَظَنُّوا أَنَّهُم مَّانِعَتُهُمْ حُصُونُهُم مِّنَ اللَّهِ فَأَتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ حَيْثُ لَمْ يَحْتَسِبُوا
Dia lah yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab – dari kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka… (Al-Hasyr, 52 : 2)
Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
14 Syawal 1442 H
(Jangan lupa solat sunat khusuf dan merenung tanda-tanda kebesaran Allah SWT pada gerhana bulan jam 7.19 hingga 8.52 malam ini inshaallah. Bulan, bumi dan matahari sentiasa mematuhi perintah Allah untuk tidak saling berlanggaran. Kita bagaimana ? )
Leave a comment