SEGALA KARAKTER “ISLAM” PADA DOA NABI YUSUF ALAIHISSALAM

  1. Awal doa mengenai ciri utama ISLAM iaitu keseimbangan antara dua mazhab keterlaluan iaitu mazhab ilmu tanpa amal (الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ) dan mazhab amal tanpa ilmu (الضَّالِّينَ). Akhir doa, Baginda memohon agar kelak diwafatkan sebagai MUSLIM.
  2. Kombinasi ilmu duniawi ( رَبِّ قَدْ آتَيْتَنِي مِنَ الْمُلْكِ ) iaitu ilmu mengurus kerajaan dengan ilmu ukhrawi ( وَعَلَّمْتَنِي مِن تَأْوِيلِ الأَحَادِيثِ ) iaitu ilmu tafsiran mimpi dan memahami ucapan. Kedua-dua ilmu “sains” dan “agama” itu dari Tuhan, tiada pemisahan !
  3. Kombinasi antara keperluan dari langit dan keperluan dari bumi ( فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ ). Inilah agama yang menjelaskan apa keperluan ruh yang berasal dari tempat yang tinggi dan apa keperluan tubuh yang berasal dari tempat yang rendah. Keseimbangan antara keduanya sehingga manusia memahami bahawa mereka unik dan berbeza dari tabiat kemalaikatan di langit dan berbeza pula dari tabiat kebinatangan di bumi.
  4. Kombinasi antara pengharapan kepada Tuhan di dunia dan pengharapan kepada Tuhan di akhirat. Inilah agama yang membulatkan pengharapan kepada Allah ketika Yahudi meletakkan pengharapan di dunianya kepada akalnya ( إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِي ) dan Nasrani meletakkan pengharapan di akhiratnya kepada Isa bin Maryam. Islam sebaliknya, أَنتَ وَلِيِّي فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ !
  5. Kombinasi antara sifat bersendirian dan sifat berkumpulan. Sendirian untuk lebih banyak mengenang kematian, bukannya menolak sepenuhnya keduniaan. Berkumpulan untuk lebih memelihara amal soleh, bukannya untuk berbangga-bangga dengan kuantiti puak dan keturunan. تَوَفَّنِي مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ !

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu… (al-Baqarah, 2 : 143)

Syaari Ab Rahman
Teladan Akhlak Surah Yusuf al-Siddiq (TASYA)
Siri 26 (Siri Akhir 😭😭😭)
Ahad, 6 Ramadhan 1442 / 18 April 2020

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started