SEMOGA LEBIH BANYAK KARYA-KARYA SEBEGINI DI PASARAN BUKU KANAK-KANAK, INSHAALLAH

Ketika saya membaca Sirah Nabi Ismail nukilan Syazwani Wahab keluaran Ikon Syabab, saya terkejut apabila karya tersebut menyebut kisah ziarah Nabi Ibrahim AS ke rumah anaknya Nabi Ismail AS yang ramai tidak ketahui, namun direkodkan dalam Sahih Bukhari.

Ketika membaca Sirah Nabi Hud nukilan Rokhaizat Rahmat keluaran Ikon Syabab yang sama, saya terkejut apabila ada 4 halaman aktiviti bertemakan kesyukuran dilampirkan sebelum pembaca dibawa ke babak seterusnya. Seakan-akan tidak mahu larutkan anak-anak dengan hanya sekadar kisah, karya ini berusaha ke arah mengutamakan bagaimana mengelakkan anak-anak terkena penyakit kaum Aad dengan pendekatan yang sangat praktikal.

Ketika membaca Sirah Nabi Yunus nukilan Wan Nur Syakira Wan Musa, saya terkejut dengan tulisan penulis berkenaan di atas ilutsrasi berlayarkan lautan biru yang indah iaitu pada halaman 16-17, “tindakan Nabi Yunus keluar meninggalkan kaumnya bukanlah perintah wahyu, bahkan hanya ijtihad baginda sahaja yang merasakan tugasnya sudah selesai dan perlunya lokasi baru dakwah apabila dakwah di lokasi sebelumnya ditolak”. Lalu terus saya merasakan penulis merupakan orang yang teliti dalam menyaring maklumat dan berhati-hati ketika mengulas sifat manusiawi para Nabi yang juga maksum pada masa yang sama.

Mungkin anda menyedari karya kisah-kisah anbiya keluaran Ikon Syabab ini sangat mesra kanak-kanak, mengaktifkan otak kanan “syabab” dengan warna warni ilustrasi yang sedap mata memandang.

Namun bagi saya, ada yang lebih berharga dari semua itu. Iaitulah methodologi pengibrahan yang sangat baik dengan tawaran aktiviti-aktiviti membumikan ibrah bersesuaian dengan tahap kefahaman kanak-kanak.

Ilustrasi yang cantik namun merujuk Israiliyyat dan riwayat-riwayat yang batil, bagi saya karya yang bermasalah. Fakta yang sahih dan padat namun persembahannya membosankan anak-anak, bagi saya karya sebegitu juga kurang membantu.

Jika sasaran kita ialah anak-anak, kisah kisah anbiya mesti dipaparkan dengan penuh rasa tanggungjawab. Tanggungjawab itu mesti digalas dalam bentuk merujuk sumber yang benar iaitu al-Quran dan al-Sunnah dan kreativiti dalam mencorak persembahan yang releven dan munasabah dengan psikologi kanak-kanak.

Saya melihat Ikon Syabab menggalas tanggungjawab ini dengan baik. Mudah-mudahan tim ini terus diberikan kekuatan. Saya doakan lebih banyak karya-karya kisah anbiya yang berat-berat sifat tulisannya, namun apabila memasuki “kilang” Ikon Syabab, kanak-kanaklah menjadi peminat nombor satu kisah-kisah anbiya dan kelak di masa hadapan, merekalah barisan hadapan yang menjadi pejuang kisah anbiya yang sebenar sebelum sebahagiannya diselewengkan dalam Perjanjian Lama dan Baru. Inshaallah

Kecaknaan kepada isu-isu kebahasaan dalam al-Quran juga punyai cabaran yang tersendiri. Segelintir kita beranggapan untuk anak-anak tidak perlulah dihuraikan makna yang mendalam kepada satu kalimah. Namun bagi saya, jangan rendahkan upaya kefahaman anak-anak. Salah kita yang menerangi, bukan anak yang mahu memahami.

Percubaan karya Sirah Nabi Yunus ini ketika menghuraikan kalimah التقم (il-ta-qa-ma) yang menimpa Nabi Yunus AS dengan warna-warni dan infografik yang mudah difahami wajar dipuji dan inilah usaha yang sama dilakukan Tadabbur Centre ketika menawarkan karya Tadabbur Juzu’ Amma yang juga bakal ke pasaran dalam masa terdekat, inshaallah.

Seperkara lagi, banyak tulisan karya-karya kisah para anbiya tidak menulis nas-nas al-Quran dengan pelbagai sebab. Ada yang menulis tidak pula menggunakan tulisan Rasm Uthmani yang baik. Namun bagi saya, kesungguhan Ikon Syabab menulis nas-nas al-Quran dengan Rasm Uthmani yang baik, bahkan dibesarkan dan diwarnakan secara khusus, itu kayuukur penting bagi saya melihat kesungguhan sesuatu pihak yang mahu memartabatkan ilmu al-Quran.

Setiap karya ada kelebihan dan kekurangan. Baki lagi sikap penting kita perlukan ialah saling melengkapi dan menegur antara satu sama lain ke arah lebih ramai rakyat Malaysia di segenap peringkat umur terkesan dengan al-Quran. Tahniah Ikon Syabab atas usaha ini !

Syaari Ab Rahman
Felo Pendidik
Tadabbur Centre Sdn. Bhd.
13 Sya’ban 1442 H
Kajang

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started