“Ustaz, mengapa ayat tema “Maulidur Rasul” dalam surah perang, selepas ayat-ayat mengenai peperangan ?”
Indah sekali Buya HAMKA dalam Tafsir al-Azhar memetik kisah Ummu Salamah bagi menggambarkan “munasabah” ayat ini di babak-babak akhir menutup tirai kisah perang Khandaq dalam surah al-Ahzab.
Ummu Salamah isteri Baginda ibu orang-orang beriman berkata :
“Aku bersama Rasul dalam banyak peperangan hebat dan ngeri. Aku bersama Nabi dalam al-Muraisiya’, Khaibar dan Hudaibiyyah. Juga pembukaan Makkah dan Hunain. Namun dari semua peperangan itu, tiada yang paling menyebabkan Nabi lelah melainkan Khandaq.
Kaum muslimin dikepung dari segenap arah, Yahudi Quraizah pula belot. Lalu Madinah dikawal siang hingga subuh, diperdengarkan takbir kaum Muslimin untuk melawan rasa takut.
Diperingatkan bahawa yang boleh melepaskan bahaya hanya Allah, lalu Allah sendiri di akhirnya mengusir musuh-musuh yang mengepung. Mereka meninggalkan Madinah penuh sakit hati dan penyesalan kerana maksud yang tidak kesampaian.”
Apa kita belajar dari kenyataan Ummu Salamah ini teman-teman ?
Buya HAMKA menukilkan : “Memang ada yang bergoncang fikirannya, berpenyakit jiwanya, pengecut, munafiq, tidak berani bertanggungjawab, bersedia-sedia hendak lari menjadi Badwi kembali ke dusun-dusun, tenggelam dalam ketakutan melihat jumlah musuh yang akan menyerbu. Tetapi masih ada lagi orang-orang yang mempunyai pendirian tetap, tidak pun putus harapan, tidak kehilangan akal. Mengapa ada kelompok itu ? Kerana mereka melihat Rasulullah pemimpin besar mereka begitu.
Mendengar sahaja berita kedatangan musuh yang besar bilangan, beliau terus bersiap mencari akal buat bertahan bermati-matian. Dia dengar nasihat Salman al-Farisi untuk menggali parit pertahanan. Nasihat Salman, dia paling segera melakukan. Dia memimpin para sahabat bersama-sama melakukan penuh kesungguhan.
Untuk menimbulkan kegembiraan bekerja siang dan malam menggali tanah, menghancurkan batu-batu yang menghalang, beliau turut memikul tanah galian dengan bahunya yang semampai.
Ketika tiba giliran perlu memikul, beliau pun turut memikul, sehingga tanah tanah dan pasir mengalir bersama keringatnya di atas rambutnya yang tebal. Semua dikerjakan para sahabat dengan gembira dan bersemangat, kerana baginda sendiri gembira dan bersemangat.”

Mahalnya makna “uswah” rupa-rupanya.
😭😭😭
الله صل على محمد وعلى آله وصحبه وبارك وسلم
Rujukan :
Tafsir al Azhar,
Surah al Ahzab
Leave a comment