
وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا فَوۡقَكُمۡ سَبۡعَ طَرَاۤىِٕقَ وَمَا كُنَّا عَنِ ٱلۡخَلۡقِ غَـٰفِلِینَ
وَأَنزَلۡنَا مِنَ ٱلسَّمَاۤءِ مَاۤءَۢ بِقَدَرࣲ فَأَسۡكَنَّـٰهُ فِی ٱلۡأَرۡضِۖ وَإِنَّا عَلَىٰ ذَهَابِۭ بِهِۦ لَقَـٰدِرُونَ
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah menciptakan tujuh (jalan) di atas kamu, dan Kami pula tidak lalai daripada (menyediakan keperluan) makhluk-makhluk Kami. Dan Kami turunkan AIR hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi; dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya.” (Al-Mu’minuun 23 : 17-18)
Ayat di atas mengajar kita betapa pentingnya AIR hujan dari langit di atas kepala kita agar tumbuhnya pohon yang baik di bumi yang memberi rezeki buat kita.
Menariknya, ayat 1 hingga 16, surah ini bermula dengan kisah dari syurga tertinggi, Firdaus sebelum kisah penciptaan manusia di bumi dibentangkan. Ini kerana manusia itu diciptakan dengan unsur ruh yang datang dari tempat yang sangat tinggi, yang kerananyalah Adam di syurga menerima penghormatan sujud dari para malaikat.
Manusia yang hanya tahu memberi makanan kepada tubuh dan gagal memberi makanan kepada ruh hanyalah jelmaan dan kitaran semula manusia “mati” seperti kaum Nabi Nuh, kaum Aad, kaum Thamud, dan kaum Firaun terdahulu sebagaimana menjadi perhatian ayat-ayat qasas dalam surah ini.
Ayat 1 hingga 16 juga menyaksikan bagaimana surah ini bermula dengan kisah syurga tertinggi, yang kita sedia maklumi banyaknya ayat-ayat syurga dalam al-Quran berbicara mengenai AIR sungai syurga sentiasa mengalir di bawah telapak kaki para penghuninya, kemudian dipaparkan pula kisah penciptaan manusia juga bermula dari AIR (nutfah). Dari air bermulanya kehidupan, dan peradaban.
Pada ayat 35 hingga 37 pula beserta ayat 80 hingga 84, dipaparkan pula sikap manusia zaman berzaman, dari zaman kaum Aad hingga ke zaman Quraish, dari dahulu hingga sekarang, adanya spesis manusia yang tidak mempercayai kehidupan semula selepas kematian, sedangkan setiap saat mereka melihat kejadian kelahiran manusia yang berasal dari AIR dan kejadian tanah mati menjadi subur kerana AIR hujan. Kuasa Allah mencipta manusia dari tiada kepada ada, lalu mustahilkah untuk Allah mengadakan semula manusia selepas ia mereput di dalam tanah ribuan tahun lamanya ?
Pada ayat 22 hingga 30 pula, dipaparkan kisah terawal ialah kisah Nabi Nuh kerana AIR (banjir) itulah sumber kehidupan kaum mukminin (menerusi bahtera yang dibina yang dikisahkan dengan terperinci dalam surah ini) ketika AIR yang sama juga menjadi sumber kemusnahan kaum kafir.
Pada ayat 30, dirakamkan doa Nabi Nuh yang tidak dipaparkan dalam mana-mana surah yang lain. Doa agar bahteranya selamat mendarat apabila AIR banjir yang telah lama meninggi mula surut dan merendah ke bumi. Dari ketinggian menuju kerendahan, sama ada Adam mahupun Nuh alaihimassalam, tiada yang diharapkan melainkan keselamatan dan keberkatan semasa proses diturunkan Tuhan dengan penuh kemuliaan.
Pada ayat 50, dipaparkan ialah kisah terakhir dalam surah ini iaitu kisah Maryam dan anaknya yang perinciannya ada dalam surah Maryam, iaitu kisah keduanya menerima perlindungan Allah di kawasan yang tinggi dan mempunyai AIR yang mengalir.
Dari ayat 23 hingga ayat 50, dipaparkan kemusnahan kaum-kaum terdahulu kerana mereka bersikap seumpama “pohon yang menolak AIR hujan dari langit” yang diutuskan Tuhan.
Di penghujung surah pula, pada ayat 97 hingga 98, kita diperingatkan dengan makhluk yang menjadi musuhmu, syaitan yang berusaha menjatuhkan Nabi Adam dari ketinggian syurga kepada kerendahan dunia.
Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
21 Zulhijjah 1441
Bangi
Leave a comment