
Penyebutan kalimah “aflaha” sangat tepat pada menggambarkan kejayaan orang-orang beriman selepas usaha yang keras dilakukan untuk mempertahankan iman mereka.
Menurut al-Sya’rawi, “aflaha” bermaksud membelah bumi untuk merangsang pertumbuhan benih yang ditanam ke tahap yang paling maksimum. Tanpa pembelahan berkenaan, pelbagai kerosakan boleh mendatangi benih yang tertanam.
Menariknya, ciri-ciri mukmin pewaris syurga Firdaus yang digariskan dalam awalan surah ini tidak hanya memperihalkan sifat “uzlah di atas tikar sejadah” sahaja.
Bahkan dijelaskan pewaris syurga Firdaus ini seorang yang memelihara rumahtangganya dan beramanah dengan tugas kepimpinan yang diberikan kepadanya.
Lihat, beza besar manfaat orang mukmin yang sekadar ‘abid dengan mukmin sebagai khalifah yang menjadi tafsiran kepada sifat pewaris syurga Firdaus ini.
Bandingkanlah pohon yang sekadar tumbuh dengan pohon yang rendang lagi berbuah, manfaatnya pasti lebih besar.
Demikianlah seorang mukmin, seumpama pohon yang bermula dari benih, namun akhirnya menumbuh, meneduh dan menghadiahkan buah akhlak yang mengkagumkan manusia.
Maka tidak perlu hairan jika surah al-Mukminun yang Makkiah ini berjiranan dengan surah Madaniah, memperihalkan cahaya akhlak mukmin yang mesti menerangi orang lain, surah al-Nur.
وَشَجَرَةࣰ تَخۡرُجُ مِن طُورِ سَیۡنَاۤءَ تَنۢبُتُ بِٱلدُّهۡنِ وَصِبۡغࣲ لِّلۡـَٔاكِلِینَ
“Dan (Kami juga menumbuhkan untuk kamu) pokok yang asal tumbuhnya di kawasan Gunung Tursina, yang mengeluarkan minyak dan lauk bagi orang-orang yang makan.” (Al-Mu’minuun 23 : 20)
شَجَرَةࣲ مُّبَـٰرَكَةࣲ زَیۡتُونَةࣲ لَّا شَرۡقِیَّةࣲ وَلَا غَرۡبِیَّةࣲ یَكَادُ زَیۡتُهَا یُضِیۤءُ وَلَوۡ لَمۡ تَمۡسَسۡهُ نَارࣱۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورࣲۚ یَهۡدِی ٱللَّهُ لِنُورِهِۦ مَن یَشَاۤءُۚ
“…lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu.” (An-Nur 24 : 35)
Wallahu a’lam
Bertemu Sabtu ini inshaallah
Syaari Ab Rahman
21 Zulhijjah 1441 H
Bangi
Leave a comment